Homestay Senau di mata dunia

Posted on September 29, 2011

1


Homestay Encik Zam Haji Nor

Nama Kampung Senau dalam bahagian Mukah, Sarawak – diambil sempena nama Sungai Senau – sudah berada di persada antarabangsa sebagai sebuah Homestay yang pernah dihuni pelancong dari luar negara yang ingin merasai suasana desa nelayan.

Kedudukan Kampung Senau agak terpencil kerana terletak di tepi Batang Oya, kira-kira 30 minit perjalanan darat dari bandar Mukah sering dijadikan tempat kumpulan besar penuntut pengajian tinggi sekitar Mukah mengadakan program universiti masing-masing.

Homestay Encik Zam Haji Nor

Sejak perkhidmatan feri dihentikan menyeberang Batang Oya, selepas Jambatan Oya siap dibina dan dibuka kepada pengguna jalan raya lebih lima tahun lalu, Senau tidak lagi berada di laluan utama antara Mukah dan Matu-Daro.

Namun kewujudannya sebagai pusat homestay yang sudah diwartakan sebagai salah satu lokasi homestay negara, sedikit pun tidak terjejas di mata dunia kerana sudah melekat di laman web Kerajaan sedia untuk dilayari menerusi internet pada bila-bila masa.

Jalan kecil sepanjang 200 meter dari jalan kampung lurus menuju ke rumah Encik Zam sungguh permai

Cuma ia perlu lebih komitmen pihak berwajip untuk mempromosikannya dari masa ke masa. Jika tidak ia tidak lebih dari hanya sebuah nama produk pelancongan yang tidak bernilai sekalipun ada nilai tambah di Senau sebagai tumpuan pelancongan agro.

Tunggulah…apa reaksi agensi pelancongan di Sarawak nanti apabila projek pembinaan lapangan antarabangsa kira-kira 20 kilometer dari Senau menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun akan datang?

Bilik tidur lengkap dengan kipas angin selesa untuk pengunjung

Ramai belum tahu Program Homestay Kampung Senau telah  mendapat Johan Anugerah Desa Wawasan Nelayan Peringkat Negeri 2008 dan naib johan di peringkat Kebangsaan pada tahun sama.

Dinaik taraf sebagai Kampung Gerakan Daya Wawasan (GDW) pada 23 Disember 1997, di bawah seliaan Kemas, ia maju setapak demi setapak.

Semenjak dinaik sebagai GDW, pelbagai aktiviti lawatan dan kursus kepimpinan telah dihadiri oleh ahli Jawantankuasa Kampung (JKKK).

Homestay di Senau diwujudkan pada tahun 1999. Ini memberi pendapatan lumayan kepada penduduk setempat.

Ruang tamu di homestay Encik Zam

Dalam proses pembangunan pelbagai projek disalurkan oleh pihak kerajaan seperti kemudahan asas, prasarana dan pendidikan disediakan demi kemudahan para penduduk.

Dari segi geografi politik Senau di bawah Parlimen Mukah di mana wakil rakyatnya ialah Dato’ Sri Muhammad Leo Michael Toyad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat, Datuk Fatimah Abdullah.

Senau merupakan sebuah perkampungan nelayan yang terletak di Daerah Kecil Oya, boleh dilihat dari seberang Pekan Sabtu yang sudah sinonim dengan Oya di kalangan penduduk tempatan sektiar bahagian Mukah.

Pada peringkat awal penubuhan homestay ini hanya terdapat lima orang peserta yang terlibat dan bilangan ini bertambah pada tahun 2006 dengan kemasukan lima peserta baru menjadikan bilangan kepada 10 orang.

Jika perjalanan anda ke sana dari bandar Mukah, sebahagian besar permandangan anda dapati ialah pokok ru dan nibung di samping tumbuhan hutan tropika lain mengasyikkan kerana laluan jalan rayanya adalah pesisir pantai.

Sebilangan besar penduduk Senau terdiri daripada suku kaum Melanau beragama Islam terkenal dengan sikap sopan santun dan mesra terhadap tetamu.

Kegiatan menangkap ikan merupakan pekerjaan utama kebanyakan mereka yang diwarisi sejak turun-temurun.

Selain itu mereka juga terlibat dalam aktiviti pertanian secara kecil-kecilan seperti mengusahakan kebun buah-buahan dan industri kotej.

Kebun sayur pengusaha homestay

Kenunikan Homestay Kampung Senau sebenarnya bukan sahaja dari segi aktiviti nelayan tetapi lebih kepada suasana perkampungan yang tebal  dengan ciri-ciri ekonomi tradisi.

Faktor ini merupakan daya tarikan utama kepada pengunjung yang datang terutama pelancong luar.

Pelaksanaan program homestay Kampung Senau yang mula diperkenalkan pada 1999 merupakan inisiatif Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dalam memajukan perkampungan nelayan bagi menambah dan mempelbagaikan pendapatan kaum nelayan menerusi aktiviti pelancongan agro.

Ia memberi peluang kepada pengusaha atau nelayan mendalami kemahiran pengurusan Pelancongan Desa, berinteraksi dengan pelancong domestik dan luar negara, memperkenalkan produk budaya, makanan tempatan, kraf tangan serta pelbagai aktiviti penjaanan pendapatan.

Pelbagai aktiviti tradisional menarik dapat dirasai dan dilihat seperti projek menggemuk ketam selain menyusuri Batang Oya.

Tepat pada masa dan tempatnya anda berkesempatan melihat beberapa ekor buaya berjemur di tebing sungai tersebut. Jangan khuatir…setakat ini sang bedal itu tidak mengganggu manusia.

Menurut Loi Seng Sin, 64,  si penangkap udang dari pasar Oya, kadang-kadang  dia ternampak beberapa ekor buaya bersantai di tebing ketika menjala di sungai itu pada waktu petang.

“Saya sudah 30 tahun terlibat dengan kerja menjala udang di sini. Bukan kita minta sesuatu yang tidak diingini berlaku, tapi hakikat sehingga ke hari ini tidak ada saya dengar buaya di Batang Oya membaham orang.

“Asalkan kita tidak ganggu buaya itu, dia pun tidak ganggu kita sebab sama-sama cari makan (tangkap udang),” kata Loi.

Selain haiwan pemangsa ini, pengunjung yang menaiki bot khasnya berpeluang melihat sendiri kepelbagaian tumbuhan dan hidupan binatang  lain berkeliaran di tebing sungai sekitar kampung tradisional dari Medong sampai ke Oya.

Dalam pada itu pengunjung juga berpeluang menyaksikan aktiviti sampingan nelayan seperti memproses hasil laut seperti ikan masin, keropok, membuat kuih tradisional di kampung Boom atau memproses sagu serta tebaloi di Kampung Teh.

Ketika berkunjung ke Kampung Senau baru-baru ini saya berkesempatan berkenalan sambil berbual mesra dengan beberapa pengusaha homestay termasuk Pengerusi jawatankuasa program, Encik Zam Hj Nor.

Sejurus memasuki  ke kawasan perkarangan rumah Pakcik Zam tatkala  sinar mentari terik (hampir tengah hari), ia seolah-olah tidak terasa sebab nikmat udara desa bebas dari pencemaran udara dan kebisingan kenderaan.

Encik Zam, 70-an juga seorang usahawan tani mengusahakan kebun sayur, ternakan ikan kolam, kambing, ayam dan lembu berdekatan kebun kelapa dalam kawasan tanah seluas kira-kira 10 ekar.

Reban ayam tidak jauh dari rumah Pakcik Zam

Setelah beberapa ketika berbual,  kami telah dihidangkan dengan air teh dan kopi bersama kerepek pisang terdiri daripada dua jenis berlainan rasa.

Ternyata Senau adalah cabang pelancongan desa yang mampu menjana ekonomi serta menambah sumber pendapatan menerusi pelbagai aktiviti tradisional sehingga menambat hati pengunjung.

Justeru ia perlu diambil perhatian sewajarnya sebagai destinasi tarikan pelancong.

Kerepek pisang salah satu produk industri kotej di Senau paling popular di bahagian Mukah

Program homestay di situ bukan sahaja boleh memberi pekerjaan dan menambah sumber pendapatan pengusahanya tetapi juga kepada penduduk sekitar terutama penggiat industri kotej.

Dari sudut kebersihan dan keselamatan kampung,  nampaknya para penduduk sentiasa peka terhadap keadaan kebersihan kampung dan keselamatan demi menjaga nama baik tempat mereka supaya lebih ramai pengunjung datang pada masa akan datang.

Seorang pengusaha homestay cuba menangkap ikan keli di belakang rumahnya

Saya mendapati sebilangan daripada 10 buah rumah yang mengikuti program adalah dua tingkat dan telah diubah suai serta diperbesarkan strukturnya demi keselesa tetamu. Di belakang atau tepi rumah mereka sekurang-kurangnya ada kegiatan seperti menternak ikan keli dan menjemur ikan masin.

Bermakana dengan rumah sebesar itu bukan sahaja dapat menampung sesebuah keluarga atau kumpulan tiga ke lima orang, malah sekumpulan 10 ke 12 orang dalam satu masa.

Kambing yang diternak oleh Zam untuk tujuan komersial

Kepada anda yang ingin ‘berambeh’ sambil menikmati suasana desa yang kaya dengan aktiviti nelayan bolehlah  bermalam di homestay dengan membuat tempahan menerusi pihak berkenaan dalam pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Mukah/Oya: 084-871416.

About these ads