Lesung elektrik inovatif tingkat jualan ‘Kuih Cina’

Posted on October 29, 2011

1


bsalek

Dinamakan ‘Kuih Cina’ tetapi bukan dibuat oleh orang Cina. Sebaliknya, ia merupakan sejenis biskut tradisional dihasilkan oleh usahawan Melanau di daerah Dalat sejak turun-temurun.

Kuih ini berbentuk segi empat dengan permukaannya berukiran daun atau tonjolan corak tertentu menjadikannya tampak lebih menarik.

Bentuk dan ukiran kuih Cina tampak keras tetapi rapuh

Gabungan bahan serta ramuan pula ialah beras, kelapa kering, kerisik, gula dan daun pandan mewujudkan suatu aroma menusuk hidung.

Percaya atau tidak wangian pandan khasnya pada Kuih Cina akan sentiasa mengingatkan anda kepada biskut tersebut.

Sekali imbas, kuih tersebut menyerupai kepingan batu keras, pada hal strukturnya rapuh dan apabila dimasukkan ke dalam mulut ia mudah dikunyah serta enak dimakan begitu sahaja.

Selain untuk dihindang kepada tetamu, scara tradisi kuih tersebut yang juga dikenali sebagai ‘kuih salek’ di kalangan masyarakat setempat sesuai untuk dijadikan buah tangan.

Kampung Seberang, Dalat kira-kira sejam perjalanan darat dari bandar Mukah paling popular dari segi menghasilkan produk kotej itu kerana pengeluarannya adalah untuk pemborong.

Kuih Cina dihasilkan di bengkel di Kampung Seberang, Dalat dibungkus elok

Tidak hairanlah kampung berjiran dengan Kampung Brunei itu sinonim dengan kuih salek sejak 1970-an lagi.

Namun hanya bermula tahun 2006, pasarannya berkembang pesat termasuklah yang dihasilkan oleh keluarga Mero Binti Jaya.

Lama sebelum itu perusahaan kecil-kecilan itu yang diwarisi daripada mendiang ibunya tidak pernah berkembang kerana pasaran sekitar daerah Dalat dan Mukah sahaja.

“Saya terlibat dengan kerja ini sejak berusia 16 tahun, masa itu saya membantu emak mengerjakannya  di rumah,” kata ibu kepada enam anak berusia 56 tahun ini.

Bagaimanapun titik-tolak kepada kemajuan perusahaan yang dapat disaksikan hari ini ialah atas inovasi suaminya, Dot Bin Nabat, 58, yang menghasilkan lesung elektrik untuk menumbuk beras.

Alu berasaskan kayu belian digerak jentera motor lebih cekap dan tahan daripada penggunaan tenaga manusia

Fikiran itu didorong oleh peningkatan permintaan saban tahun. Justeru mesti  memikirkan bagaimana untuk mereka  penumbuk beras lebih pantas keupayaannya berbanding menggunakan tenaga manusia.

Mesin itu yang diinovasikan pada tahun 1992 ternyata berbaloi setelah sekian lama menggunakan tenaga manusia untuk menumbuk beras sejak turun-temurun dari tahun 1974.

Dengan penggunaan mesin itu, beras yang direndam beberapa jam sebelum ditumbuk sehingga halus (tepung beras) tidak lagi memakan masa dan tenaga orang sepanjang hari.

‘Penekan’ digerakkan oleh kipas di hujungnya digerakkan oleh motor sambil dijana oleh elektrik

“Lama-lama saya memakai mesin itu, akhirnya saya terfikir untuk menaiktaraf keupayaannya. Terus terang idea ini bukan saya dapat daripada mimpi atau spontan sahaja.

“Idea itu tercetus selepas saya menonton rancangan Selamat Pagi Malaysia yang memaparkan cara penggunaan lesung kaki untuk menghancurkan beras. Ia lesung kaki(hindik) adalah lesung yang diperbuat daripada kayu dan dipijak dengan kaki.

Lesung elektrik dihasilkan Dot (baju batik ungu) menarik perhatian ramai termasuk Setiausaha Bahagian Penggalakan Sains dan Inovasi, Datin Nur Wahidah Wong Abdullah (baju merah bertudung)

“Dari situlah saya mendapat idea untuk menukar kaedah yang kami gunakan dengan menggunakan mesin lebih cekap iaitu ia perlu digerakkan oleh motor sambil dijana oleh tenaga elektrik,” kata Dot.

Setelah beroperasi lebih 10 tahun, Dot mula memikirkan untuk mempertingkatkan keupayaan enjin sedia ada dengan harapan yang mesti terbaru dapat mengisar beras menjadi halus dalam jumlah yang banyak lagi cepat.

“Masa itu saya telah menaiktaraf keupayaan dengan menghasilkan mesin baru tetapi kali ini dengan 2 kuasa kuda. Penghasilan itu serentak dengan pembelian dua buah ketuhar bernilai lebih RM3,000 setiap satu untuk beroperasi di bengkel yang kami bina pada tahun 2003,” ujarnya.

Kata Dot, kos dia membangunkan bengkel di belakang rumah itu ialah sekitar RM20,000.00 pada tahun tersebut, tidak termasuklah lesung elektrik kira-kira RM4,000.00.

Mengakui pasaran kuih salek hanya mula berkembang secara mendadak sejak 2006 apabila semakin ramai pemborong datang sendiri membeli terus dari situ.

Para pekerja sibuk memindahkan Kuih Cina yang sudah dikukus untuk dipanaskan dalam oven pula

“Tempahan tunggal kadang-kadang mencecah 5,000 ke 6,000 bungkus (dalam sebungkus, diisi enam keping salek) sebulan daripada seorang pemborong. Kami sendiri memasarkan sekitar 1,000 bungkus ke kawasan Dalat dan Mukah.

“Masa musim perayaan Aidilfitri dan Krismas permintaan terhadap kuih ini meningkat sampai 12,000 bungkus,” katanya.

Menurut Dot lesung atau alu yang digerak oleh motor itu diperbuat daripada kayu terpilih iaitu belian direka khas bersambung ke bahagian ‘penekan’  yang ‘ditarik-lepas’ oleh spring buaian bayi. Pergerakan itu dilakukan oleh sebuah motor dijana oleh tenaga elektrik.

Tatkala mesin itu beroperasi, manusia hanya melakukan pantauan di sebelahnya termasuklah meletakkan tudung khas bagi mengelak beras daripada tumpah apabila ia sudah cukup halus serta sedia untuk diagihkan ke proses seterusnya.

Kata Dot, secara purata jentera tersebut  dapat menghasilkan tepung beras sebanyak kira-kira 10 kilogram (sekampit beras ialah 10 kg) dalam masa 1 jam 15 minit.

Hasil beras lembab yang sudah ditumbuk halus akan diayak sebelum digaul bersama gula, kelapa kering dan daun pandan.

“Berbanding penggunaan mesin dahulu, segantang (kira-kira 3.5 kg) beras tidak dapat dilaksanakan dalam masa sejam dan dua jam. Bermakna sekarang keupayaan kami hampir 10 kali ganda setelah menggunakan mesin ini.

“Sekarang sepagi sahaja sudah dapat menghasilkan sebanyak 20kg ke 40kg tepung beras,” katanya sambil menambah kata bengkel beroperasi seawal pukul 5 pagi hingga 8 pagi untuk kerja penumbukan sahaja.

Manakala jam seterusnya bermula pukul 8 pagi sehingga 2 petang aktiviti di bengkel berkeluasan kira-kira 20 x 20 kaki persegi berkenaan yang membabitkan lima hingga enam kaki tangan wanita, adalah lebih kepada menghasilkan Kuih Cina.

Jualan terhadap Kuih Cina ada pasaran tersendiri dan ia meningkat menjelang musim perayaan

Kerja di peringkat itu bermula daripada menggaul bahan berkenaan sehingga sebati sebelum dimasuk ke dalam acuan sebelum dikukus. Selang beberapa minit ia kemudian dipanaskan dalam oven sebagai bahagian terakhir proses penghasilan.

Pada dasarnya keupayaan optimum bengkel tersebut ialah sebanyak 800 bungkus sehari. Namun dengan sepasang alu dan lesung kayu yang masing-masingnya dapat menampung 2.5 kg beras bagi ditumbuk pada satu masa, ia bukan lagi cabaran besar.

Malahan di samping kegiatan itu, bengkel juga memberi perkhidmatan kepada penduduk sekitar yang menyewa mesin itu bagi menumbuk beras bagi dibuat kelupis contohnya. Melalui khidmat sedemikian pengguna dikenakan RM1.50 bagi setiap kg beras ditumbuk.

Sebagai perbandingan sebuah lagi keluarga pengusaha di kampung sama,  di mana skala penghasilan Kuih Cina mereka lebih rendah iaitu sekitar 2,660 keping atau 380 bungkus sahaja sehari.

Puan Inya Ijo, 56, berkata, sekalipun dibantu tiga anak dan seorang anak buahnya, mereka hanya mampu menghasilkan sebanyak itu sahaja dengan penggunan ketuhar sederhana.

“Kalau mengikut hati saya memanglah ingin memperbesarkan perusahaan ini. Tetapi ia hanya boleh dilaksanakan dengan membeli mesin penumbuk yang lebih cekap dan ketuhar berharga lebih RM3,000.00 selain kelengkapan lain berkaitan dengan kegiatan membuatnya.

“Mesin dan oven yang kami pakai agak kecil keupayaannya. Itu saya beli secara tunai dengan  harga RM1,700.00 lama dahulu. Saya memang teringin sangat nak beli mesin yang lebih besar itu tetapi belum mampu lagi.

“Sebab itu, tahun lalu saya pergi ke Pejabat Daerah Dalat dan memohon bantuan menerusi program E-Kasih,” kata ibu kepada enam anak itu, sambil menjelaskan dia mula terbabit dengan aktiviti menghasilkan salek secara sendirian di rumah didirikan khas untuk tujuan itu 10 tahun lalu.

Lagi pun menurutnya,  berkeluasan kira-kira lapan kaki lebar dan 20 kaki panjang, menjelaskan keluasaan sedemikian tidak memadai kerana terlaku sesak untuk kegiatan membuat produk makanan tersebut apatah lagi untuk meningkatkan produktiviti.

Sebelum dikomersial seperti sekarang, Kuih Cina amat popular di kalangan komuniti Melanau di negeri ini sebagai snek enak dimakan begitu sahaja.

Ia biasanya mendapat tempahan berganda menjelang beberapa hari perayaan terutama Pesta Kaul, Hari Raya Aidilfitri, Krismas dan Gawai Dayak.

Ini bukan kerana ia semata-mata untuk dihidang kepada tetamu yang datang ke rumah, tetapi sebagai buah tangan kepada rakan dan sanak-saudara dari luar.

Harga pasaran Kuih Cina ialah antara RM1.20 sehingga RM2.00 bergantung kepada bahagian mana ia dijual. Umpamanya di Bintulu ia dijual pada RM2.00 dan di Negara Brunei Darussalam, harga sudah pasti lebih mahal berikutan faktor kos pengangkutan dan tukaran mata wang di sana.

Dengan itu tidak ada lain selain ucapan syabas saya ucapkan kepada Dot dan isterinya! Atas kejayaan menghasilkan suatu inovasi ke arah usaha mencapai kemajuan dalam bidang keusahawanan industri desa.

Mereka umpama pepatah lama menyebut; ‘menumbuk di lesung, bertanak di periuk’ ertinya berhasil mengerjakan sesuatu mengikut aturannya sekaligus membuka peluang meningkatkan pendapatan pada masa depan.