Ciptaan inovatif orang kampung

Posted on November 1, 2011

0


Sebanyak 15 buah kenderaan rombongan Jejak Inovasi dipacak bendera berlambangkan ‘Jejak Inovasi’ melalui jambatan kuning Sungai Mukah untuk menjelajah desa dan rumah panjang

Pada zaman dahulu kulit rumbia tidak lebih daripada sebagai bahan api dan lapik atas tanah becak di sekitar rumah kalangan masyarakat Melanau yang terlibat dengan kerja memproses batang rumbia menjadi tepung lemantak dalam kawasan Tanah Paya Gambut daerah Mukah dan daerah Dalat.

Namun hari ini, selepas kajian penggunaan kulit pokok rumbia sebagai alternatif untuk kemasan lantai ciptaan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Mukah (PMU), Norsida bt Morsidi dari Kampung Kuala Lama, penggunaan bahan buangan tersebut boleh dikomersilkan tidak lama lagi.

Nibung tidak digemari ramai, walaupun nilainya tinggi, kerana mesin pemprosesan di pasaran tidak dapat menghasilkan panel nibung berkualiti tinggi

Penghasilan ciptaan seumpamanya yang masih di peringkat awal kajian mempunyai prospek cerah untuk diguna pakai sebagai alternatif untuk kemasan lantai yang mungkin boleh menjadi pilihan selain kayu – diimport dari luar negara.

Inovasi terhadap bahan dikenali sebagai ‘ungun’ oleh orang Melanau itu dikesan oleh ‘Jejak Inovasi’ inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM)  dalam program mereka di bahagian Mukah pada 21-23 Oktober lalu.

"Ungun" dari kulit rumbia

Satu lagi ciptaan berhubung kait dengan pohon rumbia yang turut mendapat perhatian rombongan tersebut ialah penggunaan teknologi perahan dan mesin untuk menambah baik kualiti tepung di rumah Puan Hajiah Binti Rebi di Kampung Tellian Ulu.

Dalam pada itu kaedah yang disarankan oleh keluarga pengusaha ialah penggunaan mesin membuang kulit rumbia dan cara belahan lebih cekap. Sekarang ini mereka menggunakan parang untuk mengupas kulit dan kapak untuk membelah batang yang sudah dikerat sepanjang kira-kira 1 meter.

Cara lama itu membuang banyak tenaga dan masa, justeru selain teknologi perahan dan mesin sedia ada, pihak MOSTI dan YIM sudah pasti rasa teruja dalam  usaha memperbaiki sekaligus meningkatkan produktiviti pengeluaran lematak bungkus kini mendapat sambutan di pasar-pasar tamu.

Panel kayu nibung yang sama saiz yang diproses menggunakan mesin ciptaan Saiden bin Rahman mendapat perhatian

Sementara Jejak Inovasi ke daerah Dalat pula mendapati Mesin Memproses Nibung yang ditempatkan di Kampung Teh, Dalat juga mempunyai harapan cerah sekiranya mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan.

Mesin memotong dan memproses nibung dengan menghasilkan panel yang sama saiz setelah diproses itu adalah ciptaan bekas pekerja kayu berpengalaman lebih 20 tahun, Saiden bin Rahman.

Setiausaha Bahagian Penggalakan Sains dan Inovasi, Datin Nur Wahidah Wong Abdullah menyampaikan penghargaan kepada Saiden bin Rahman sambil disaksikan oleh ahli keluarganya yang turut membantu dalam projeknya

“Nibung merupakan sejenis kayu yang kurang digemari pengusaha kerana kesukaran untuk membelahnya.

“Beza nibung dengan papan kayu lain ialah nibung mempunyai urat yang keras dan ia tidak mampu diolah atau dipotong oleh besi.

“Tetapi kita telah mencari kaedah dengan cara mengatasi kekerasannya. Alhamdullilah akhirnya berhasil. Dan kejayaan itu adalah hasil gabungan fikiran anak-anak saya,” ujarnya sambil menjelaskan penghasilan mesin itu memakan masa sembilan bulan.

Saiden dengan mesin ciptaannya

Saiden mengaku tanpa kerjasama gabungan idea empat anaknya, yang masing-masing telah mencetuskan semangat baru, tatkala fikirannya sudah buntu untuk meneruskan projek ciptaanya berkenaan.

Katanya, selain si isteri yang membantu dari segi pinjaman bank, anak-anak Saiden iaitu Mohd Haziq, 13, NurAn Nisa, 16, Amirul Arkmann, 19 dan Hedya Sasha, 20, masing-masing turut membantu dari pelbagai sudut ‘penyelesaian kepada kerumitan’ termasuk lukisan pelan mesin sebagai asas mekanisme rekaan.

Manakala di  sebuah rumah panjang jauh di pedalaman, Rh Bau, Kuala Balingian, Jejak Inovasi turut kagum dengan ciptaan terhadap mesin pemproses padi menggunakan enjin elektrik Honda terpakai.

Ia diubah suai oleh  Bau Anak Lumpoh bagi menghasilkan enjin yang dapat memproses beras. Salah salah satu jari telunjuknya telah putus semasa melakukan ujian terhadap ciptaanya. Namun dia tidak pernah berputus asa malah berkat ketekunan dia akhirnya berjaya menghasilkan inovasi tersendiri.

YB Datuk Fadillah melihat secara dekat mesin memproses padi ciptaan Bau ak Lumpoh, Rh. Bau, Kuala Balingian

“Jari anda yang putus ini adalah bukti kepada ketekunan anda mencipta mesin ini, syabas kepada anda,” kata Timbalan MOSTI, Datuk Fadillah Yusof yang mengetuai rombongan pada hari kedua Jejak Inovasi di kawasan Balingian.

Dalam bidang mekanikal dan pemotoran, bot air laju dengan enjin 3.3 kuasa kuda pula kita dapat berbangga dengan penggunaan enjin itu pada bot kayu yang diinovasi oleh Rezza Kamil bagi tujuan perlumbaan pertandingan regatta.

Dua belia melakukan demonstrasi bot air laju yang menggunakan enjin 3.3 kuasa kuda ciptaan Rezza, dari Kampung Jebungan

Ia adalah antara 10 inovasi yang dikenal pasti berpotensi untuk diperbaiki sepanjang Jejak Inovasi di Bahagian Mukah pada bulan Oktober.

Program itu diadakan sehubungan dengan program khas dipanggil Kesedaran Umum Terhadap Sains, Teknologi dan Innovasi(PASTI) anjuran MOSTI dengan kerjasama YIM.

Bot 'Thunder Manyit' dikerumuni ramai; penggunaan semula enjin terpakai untuk menjadi 'enjin sangkut' dihasilkan oleh Bahrun Keram dari Kampung Pulat, Balingian

Ia merupakan program kali ketiga Jejak Inovasi diadakan tahun ini selepas Melaka dan Sabah masing-masing pada 15-17 Julai dan 17-19 September lalu. Daripada 26 produk dikenal pasti, sebanyak 10 produk inovasi sudah dikatakan berpotensi untuk dibuat susulan.

Siapa menyangka ada di kalangan segelintir orang kampung di Malaysia juga mempunyai daya inovasi dan kreativiti tersendiri dalam penghasilan mesin tertentu untuk kegunaan aktiviti ekonomi harian mereka.

Rombongan Jejak Inovasi berkumpul di jeti untuk melihat aksi bot yang diberi nama 'Thunder Manyit'

Inilah hakikatnya, sekali pun tidak berpendidikan tinggi mereka terbabit dengan hanya berbekalkan pengalaman bertahun-tahun dalam bidang diceburi mampu menginovasikan mesin sedia ada kepada bentuk keupayaan lebih tinggi.

Kita harus tumpang berbangga dan mengucapkan setinggi tinggi tahniah sambil mendoakan mereka terus maju jaya. Semoga daya usaha mereka juga akan mencetuskan sumber inspirasi kepada rakyat negara ini dalam menghasilkan produk masing-masing.

Sebanyak 15 buah kenderaan rombongan Jejak Inovasi dipacak bendera berlambangkan ‘Jejak Inovasi’ melalui jambatan kuning Sungai Mukah untuk menjelajah desa dan rumah panjang