Kuih-muih basah laku setiap hari

Posted on February 3, 2012

0


kuih muih

Sarawak terkenal dengan pelbagai jenis kuih-muih basah dan kering seperti karipap, penyaram, donut, cangkir, apam balik dan lenggang, yang terdapat di setiap gerai berdekatan pasar tamu atau premis kedai kopi berhampiran market basah.

Bahulu ,sejenis kuih kering tradisional

Pada dasarnya dalam konteks di negeri ini, kebanyakan pengusaha produk tersebut terdiri daripada golongan Muslim terutama Melayu dan Melanau.

Namun ia juga dibuat oleh hampir setiap kaum 20 etnik peribumi Bumi Kenyalang khasnya pada musim perayaan tradisional masing-masing.

Oleh itu sukar untuk memastikan dari mana asal-usul resepi kuih-muih terbabit kerana ia sudah bertapak di setiap pelusuk bandar dan kampung.

Tidak ada satu kaum boleh mendakwa sesuatu kuih dimulakan oleh komuniti mereka.

Mungkin kita boleh mengatakan ia adalah kombinasi hasil kerjasama berikutan pergaulan sosial, pertembungan budaya dan pengembangan ekonomi masing-masing.

Umpamanya banyak jenis kuih-muih yang terdapat di Sarawak, boleh juga didapati di beberapa daerah di Sabah, seperti di Beaufort, yang dihuni kebanyakan kaum Bisaya.

Menurut Wikipedia antara kuih tradisional suku kaum ini adalah kelupis, bahulu, ketupat dan kuih cincin.

Adakah kuih ini asal-usulnya hasil idea nenek-moyang mereka?

Dan apa pula kuih itu berada di Sarawak kerana masyarakat Bisaya juga ada di Limbang.

Mengikut Wikipedia, Bisaya di Sabah dikenali juga sebagai orang Dusun, Murut atau Rungus beragama Islam, manakala Bisaya di Sarawak adalah Kristian.

Dari segi rasa kuih-muih terbabit juga tidak jauh berbeza, cuma sebilangannya mungkin sudah mengalami pengubahsuaian dari zaman ke zaman.

Bukan itu sahaja, sukar untuk mengatakan sesetengah kuih-muih itu berasal dari pulau Borneo kerana ada yang bersifat nasional terutama karipap, donut dan ketupat, malahan terdapat juga di pasaran negara jiran.

Sebagai contoh apam balik diiktiraf sebagai kuih tradisi Malaysia dan Singapura.

Ia menjadi santapan sarapan pagi dan minum petang.

Dari segi penyediaan juga sama, iaitu ia dibakar dengan lapisan mentega sebelum ditaburi inti kacang dan jagung di atasnya seterusnya dilipat dua.

Sementara dari segi bahan ramuan, tepung dicampur dengan air soda dan air penaik ibu roti, dimasukkan di atas belanga tembaga dan dimaniskan dengan taburan gula kasar, kisaran kacang tanah goreng, marjerin dan bahan penambah perisa lain mengikut tempat ia disediakan.

Bahan tepungnya dicampur dengan air soda dan air penaik dimasak di atas belanga tembaga dan dimaniskan dengan taburan gula kasar, kisaran kacang tanah goreng, marjerin dan bahan penambah perisa lain yang sesuai.

Oleh kerana zaman sudah berubah apam balik yang dijual secara komersil menggunakan dapur khas.

Dapur tersebut biasanya menggunakan gas dan mempunyai satu atau enam kuali untuk memasak.

Permintaan terhadap kuih-muih basah sangat menggalakkan maka tidak hairanlah ramai yang ingin berjual di pusat tumpuan ramai.

Sepasang suami isteri berjual kuih-muih di gerai disediakan oleh MDDM

Misalnya di bandar Mukah, sebut sahaja: kelupis, bahulu, ketupat, kuih cincin, kuih tapai, kuih sepit, kuih jala, kuih penyaram, kuih lamban dan kuih gelang banyak dijual di gerai didirikan oleh Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM).

Sekarang harga pakej ialah tiga bentuk kuih ialah RM1.00, dan tapak gerai didirikan di MDDM berdekatan pasar tamu umpama lubuk rezeki pengusaha dan penjual.

Seorang pengusaha gerai kuih-muih menanti pelanggan di kawasan tumpuan ramai

Terdapat lebih 100 pengusaha kuih-muih basah di daerah ini.

Memandangkan tempat berjual amat terhad, maka segelintir berjual dengan alternatif tersendiri berjual di hadapan rumah masing-masing atau berjalan kaki dalam kawasan kampung.

Lebih mengagumkan, seorang pengusaha sanggup berjaja kuih-muih secara bergerak dari kampung ke kampung setiap hari.

Pak Hassan, 70, menggunakan motosikal untuk mengangkut lima jenis kuih basah dibuat oleh isteri dan anak menantunya bermula pukul 1 petang.

Bapa kepada tiga anak dan tiga cucu itu penjual bermula dari rumahnya di Sungai Pegei dalam kawasan Kampung Tellian Laut.

Menurut Pak Hassan antara kawasan dilaluinya ialah Kampung Datu, Kampung Tutus Hilir, Tellian Tengah dan Tellian Ulu.

Pak Hassan, penjual kuih-muih basah tradisional secara bergerak

Dia membawa sebakul besar penuh dengan kuih-muih diletak di belakang motosikalnya bergerak perlahan sekitar 10 km/jam, sambil membunyikan hon.

“Saya sudah menjalankan aktiviti ini di kedai kopi lebih 10 tahun lalu. Selepas itu saya berjual menggunakan basikal dari kampung ke kampung.

“Sekarang saya berjual menggunakan motosikal ini yang baru saya beli setahun lalu,” kata Pak Hassan, bekas seorang pengawal keselamatan di sebuah panggung di pekan lama Mukah pada 1980-an.

“Setiap kali bakul ini terisi penuh menggunung dengan lebih kira-kira 600 kuih pelbagai jenis termasuklah karipap, donut, cucur pisang, lenggang dan kuih sayur.

“Selalunya ia habis dijual menjelang pukul 5 petang, sebelum saya balik ke rumah,” ujarnya penuh peramah sambil mengucapkan terima kasih, sebelum beredar.

Kuih-muih jualan Pak Hassan diletak di belakang motosikalnya

Pipppp…pippp…pippp…bunyi sedemikian kedengaran mulai 3 petang di Jalan Tellian, sentiasa menarik penduduk kampung, termasuk seorang budak lelaki berusia dua tahun yang sering menyebut: “Saya mahu kuih…mahu kuih…kuih…,” sambil berlari ke beranda melihat kelibat Pak Hassan dengan motosikalnya di jalan raya.

Posted in: Budaya, Ekonomi, Sarawak