Jalan Selangau-Mukah…wahana sosio-ekonomi penduduk Mukah

Posted on August 22, 2011

1


Simpang Selangau

Simpang Selangau

Jalan raya utama Selangau-Mukah sepanjang 53 kilometer bolehlah dianggap suatu ‘wahana’ tidak ternilai kepada para penduduk di sekitar bahagian Mukah sekarang ini, setelah sekian lama mereka menanti kemudahan infrastruktur selesa sedemikian rupa.

Namun sebelum dinaik taraf iaitu pada tahun 1980-an dan 1990-an, semua pengguna jalan tersebut merungut berikutan kesulitan dialami setiap kali  mereka melalui Ladang 1, 2 dan 3 di kawasan tanah berbukit-bukau yang ditanam dengan kelapa sawit beribu ekar keluasannya.

Bayangkan ketika itu perjalanan lebih 50 km mengambil masa kira-kira dua jam. Lebih parah sewaktu kemarau jalan berkenaan yang lebih dikenali sebagai Jalan Ladang  di kalangan penduduk setempat ia dicemari debu batu jalan dan tanah merah.

Sementara pada musim hujan jalan menjadi becak. Ramai di kalangan pengguna termasuk saya tidak tahan di laluan berkenaan. Terutama ketika menaiki bas ia sangat menyiksakan jiwa kerana pergerakan terhuyung-hayang sehingga menimbulkan pening kepala dan rasa mual.

Jalan yang berlopak

Semasa feeder road itu dinaik taraf dengan nilai RM188 juta oleh Naim Cendera sejak awal 2008,  situasi bertambah teruk ekoran kerja melebar dan penurapan sedang dijalankan dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Berikutan jalan sempit lagi berliku, maka tidak hairanlah waktu puncak sering berlaku kesesakan menyaksikan pelbagai jenis kenderaan bersusun panjang di beberapa lokasi.

Masa itu keadaan jalan banyak berkelopak di mana perjalanan di kawasan ladang selalunya memakan masa tiga hingga empat jam.  Kalau kenderaan berat ditarik oleh kenderaan penarik sebab tersadai di tanah becak dan mendap sudah menjadi pekara biasa.

Tidak hairanlahlah disebabkan terlalu kecewa dengan kesulitan dihadapi pelbagai cemuhan dilempar terhadap Kerajaan Negeri, sehingga menyifatkan jalan raya itu sebagai jalan utama paling teruk di Malaysia.

Itu dulu. Tetapi apabila ia sudah siap, sekelip mata sahaja tangapan negatif bertukar menjadi positif. Keadaan jalan yang sudah bertukar wajah menjadi bahan topik utama sebelum pergi kea tau keluar dari Mukah.

“Jalan Selangau-Mukah sekarang sudah elok… Perjalanan cukup selesa dalam masa kira-kira 30 minit sahaja dari simpang masuk Selangau dalam bahagian Sibu ke simpang Meteding di bahagian Mukah,” itulah antara klise sering kedengaran pula.

Kesannya, selepas kerja penurapan siap sepenuhnya menjelang Pesta Kaul April lalu pekan Mukah menerima kunjungan lebih ramai orang dari luar berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini terbukti apabila berlaku kesesakan pada sebelah pagi dan petang di pekan lama Mukah.

Dan menjelang musim Hari Raya Aidilfitri kali ini, pekan yang terkenal dengan umai dan ikan segar itu dijangka sekali lagi akan menyambut ribuan perantau yang balik kampung, termasuklah sejauh Sabah dan Negara Brunei Darussalam.

Melihat dari sudut ekonomi sudah tentu pihak paling ketara mendapat manfaat ialah pengusaha ikan, restoran, rucit dan kotej. Seperti masa Pesta Kaul beberapa bulan lalu, jumlah jualan mereka meningkat berganda berikutan permintaan dari orang luar.

Sementara dari sudut industri jalan utama dua hala selebar tujuh meter(kategori R3) itu melancarkan lagi perhubungan serta pengangkutan awam terutama kegiatan membawa biji kelapa sawit ke kilang memproses.

Jelaslah dengan kewujudan Jalan Selangau-Mukah segala aktiviti sosioekonomi semakin berpembang pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Berhenti seketika di jalan raya dari Selangau ke Mukah

Pesanan saya kepada penduduk di Mukah khasnya, perancangan jalan tersebut sememangnya sudah dirancang dari dahulu lagi mencerminkan keyakinan Kerjaan Negeri tentang prospek sedia ada di bahagian itu yang dahulu hanya terkenal dengan industri rumbia.

Namun dalam kita berbangga dengan pembangunan yang dibawa ke dalam kawasan ini, janganlah leka umpama dibuai mimpi indah sebalik inilah masa untuk menyiapkan diri dengan mengubah sikap dan pemikiran kepada lebih ke depan dalam apa jua bidang diceburi.