Belia Sarawak perlu tekuni bidang dicebur

Posted on August 23, 2011

0


Beriadah bersama rakan sebaya dengan matlamat ke arah kebaikan.

Semasa mula-mula dilantik sebagai Menteri Kerja Raya pada tahun 1963, beliau tidak tahu langsung tentang kejuruteraan. Beliau mengakui terpaksa banyak membaca mengenai bidang itu untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan dalam kementerian tersebut.

Sama juga halnya empat tahun kemudian apabila diberi peranan sebagai Menteri Hal Hutan, beliau sebenar kurang arif hal-ehwal perhutanan. Justeru terpaksa belajar banyak perkara berkaitannya pula agar dapat menjalan tugas yang dimanah dengan sempurna.

Kemudian ditugaskan pula sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri pada tahun 1968, beliau menghabiskan banyak masa mentelaah beratus-ratus buku berkaitan perdagangan khususnya dalam industri getah, kelapa sawit dan petroleum di negara ini.

Begitulah sedikit sebanyak cara Ketua Menteri, Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud dalam usaha mengetahui sesuatu bidang dalam ruang lingkup kementerian diterajui.

Barangkali jika tidak didedahkan dalam tulisan ini siapa tahu itulah antara cara Ketua Menteri menimba ilmu semasa bergelar menteri di peingkat Kabinet Persekutuan.

Perkara itu turut diakui oleh Ketua Menteri sendiri semasa beliau berucap pada majlis perasmian perayaan Minggu Belia Peringkat Negeri Sarawak, 23 Jun 1996. Ketua Menteri antara lain berkata:

“Semuanya ini(bidang dalam kementerian-kementerian terbabit) saya tak belajar di universiti (University of Adelaide, South Australia) dulu kerana ijazah saya adalah ijazah undang-undang.

“Tetapi jika kita tekun dan berminat semua kerja, kita akan dapat lakukan. Saya percaya semua orang dapat lakukan apa yang saya telah lakukan. Yang penting ialah minat kita.

“Oleh itu selepas kita belajar bagaimana mencari peluang dan mendapatkannya. Maka peringkat kedua ialah menjalankan tugas kita dengan sepenuh hati sehingga kita berjaya memahaminya.

“Selepas itu barulah minat akan datang dengan sendirnya dan kita akan dapat buat apa sahaja tugas yang diberi kepada kita. Oleh itu pergilah cari peluang…” ujar Taib Mahmud sebelum menamatkan ucapan penuh motivasi kepada masyarakat khususnya golongan belia.

Kata-kata itu diungkap Ketua Menteri hanya selepas dua hari genap usianya 60 tahun. Dan kenyataan itu sudah berlalu 15 tahun, tetapi bagi saya yang masa itu berusia 22 tahun, masih mentah dalam kehidupan benar-benar rasa teruja apabila mendengar nada rendah hati seorang ketua pemimpin disanjungi rakyat.

Lebih-lebih lagi apabila pengakuan terbuka sebegitu dinyatakan oleh seorang tokoh berwibawa, sudah tentu impaknya lebih terkesan kepada orang dungu seperti saya yang tidak berkelulusan tinggi. Mendengar kata peransang seorang elit berprofil tinggi adalah suatu suntikan semangat kepada saya sebagai orang kampung yang baru berhijrah ke bandar.

Saya percaya sebilangan besar lepasan penuntut pengajian tinggi mengalami situasi di mana bidang  diceburi berlainan dengan apa yang dituntut semasa di menara gading. Sebagai contoh seorang pemegang Sarjana Muda Sains Politik dari sebuah universiti tempatan yang mula menceburi bidang kewartawanan pernah merungut seawal tahun pembabitannya dulu dengan berkata:

“Hmm, semua yang saya pelajari di universiti dulu hanyalah teori dan tidak banyak pun berkaitan dengan bidang tugas(kewartawanan) kini…!”. Tetapi hamba Allah ini lama-kelamaan dapat jua menguasai bidang penulisan dan pengurusan pejabat. Nah, pokok pangkalnya komited.

Apa yang harus diteladani di sini ialah sikap suka mempelajari sesuatu yang baru dengan pantas sejurus anda duduk saja di kerusi dipertanggungjawabkan. Tidak kira apa jua kerjaya termasuk bekerja sendiri. Bawalah bersama kata azimat “Tak kenal maka tak cinta”.

Sejarah pendidikan Ketua Menteri dan wartawan tadi jauh lebih baik daripada apa yang saya lalui yang hanya sampai ke tingkatan lima sekadar pangkat dua. Secara jujur apa sahaja yang baik mahu pun tidak di sekeliling saya sukar diterima selepas meninggalkan sekolah. Ini kerana ia bagaikan kejutan sehingga timbul perasaan rasa rendah diri atau sering disebut inferiority complex. Saya seolah terpisah daripada institusi sosial utama dalam masyarakat. Pergaulan terhad kerana sikap kekampungan menebal.

Beriadah bersama rakan sebaya dengan matlamat ke arah kebaikan.

Tentu pembaca tertanya-tanya mengapa saya perlu berkongsi sejarah peribadi. Ok, sebabnya ialah saya melihat ramai di kalangan belia di kalangan Bumiputera di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) di bahagian tengah Sarawak masih terpinga-pinga dengan hala tuju masing-masing.

Ini termasuklah sebilangan mereka yang sudah pun lebih setahun bergelar lepasan universiti masih dalam dilema kerana belum ada pekerjaan tetap. Hanya duduk di rumah seperti mengaharap peluang pekerjaan datang bergolek manghampiri mereka. Inilah tanda-tanda yang pernah menyelubungi saya lebih 20 tahun lalu.

Perkembangan semacam ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia adalah fenomena tidak sepatutnya berlaku dalam usaha melahirkan modal insan berdaya maju ke arah negara maju.  Dan saya tidak mahu pemikiran jumud seperti yang saya alami dulu berlaku di kalangan generasi muda termasuk anak-anak buah di kampung.

Tidak ada masa lagi memikirkan persoalan mampukah atau tidak menyesuaikan diri dengan segala perubahan politik, sosial, ekonomi dan kebudayaan yang berlaku di sekeliling mereka. Sebalik terjun sahaja, kerana tanpa melakukannya terjunan ke mana-mana bidang diminati sekali pun sekadar menguntungkan RM1. Percayalah pendedahan adalah lebih berharga daripada wang ringgit.

Aktiviti berkumpulan secara sihat seperti menyertai kelab motosikal berkuasa tinggi boleh diterap menjkadi matlamat bagi peminat motosikal.

Terlambat sedikit tidak mengapa. Asalkan jangan sampai terhimpit terus di tengah kemajuan dikecapi di negeri ini. Aktifkan minda. Cambahkan fikiran dengan rakan sealiran. Hasilkan perancangan di atas kertas putih dan laksana sedikit demi sedikit.

Saya berani menyatakan apa yang mungkin sebilangan anda alami di luar sana sekarang tidak banyak beza dengan apa yang saya rasai ketika saya berusia 20-an dahulu. Bezanya zaman sudah berubah. Masa saya muda belum ada teknologi digital yang membolehkan kita berkomunikasi melalui sistem pesanan ringkas. Lagilah senang sekarang ada banyak laman sosial seperti facebook. Teruskan komunikasi dan interaksi ke arah kebaikan bersama.

Saya menulis perkara ini kerana saya yang tidak berpendidikan tinggi pernah melalui “zaman kegelapan” kerana jiwa kosong dengan pengetahuan am pada tahap kategori parah, Kesannya ia mempengaruhi psikologi serta tanggapan saya terhadap kerja baru.

Misalnya apabila mula disuruh belajar kelas komputer sekitar 1993 dan menggunakannya di pejabat tiga tahun kemudian, ia seoalah sesuatu yang sangat sukar untuk menyesuaikan diri mengendalikannya kerana aplikasi berlainan. Ia suatu yang agak mendadak dalam diri dan kadang-kadang terasa sangat menggerunkan.

Tetapi mahu tidak mahu akhirnya dapat juga menggunakannya. Dan berkat pendedahan dan pengalaman selain melanjut pengajian ke peringkat lebih tinggi lima tahun lalu, hari ini syukurlah hasilnya saya dapat menulis dengan penuh yakin di labtop. Jika enggan, cuba dan terus belajar, saya pun tidak tahu di mana kedudukan saya sekarang.

Kesimpulan apa juga sikap ke belakang harus ditangani kerana ia turut boleh menjurus ke arah gejala sosial terutama di kalangan golongan miskin lagi cetek pengetahuan dan lemah dari segi mental. Bagi sesetengah golongan kelas sebegini tidak ada cara lain untuk menonjol diri melainkan melibatkan diri dalam kegiatan tidak berfaedah seperti menagih dadah, merempit, peras ugut, meragut dan melakukan gangguan seksual untuk mencipta nama negatif. Kegiatan sedemikian tidak akan ke mana.

Bandar Sibu mercu tanda pembangunan di kawasan Tengah Sarawak.

Sedangakan kemajuan dalam pelbagai aspek dirancang dan dilaksana oleh Kerajaan adalah untuk dikecapi demi membina kehidupan lebih sempurna dan kebahagian azali seiring dengan kemajuan negara. Kalau gagal merebut peluang terhidang jangan nanti menduding jari kepada pemerintah.

Alangkah baik kita menerima hakikat seperti mana ciri-ciri tekun menimba ilmu dalam apa juga bidang diminati, maka dapat menjadi manusia menepati kehendak dan objektif Kerajaan.

Akhir kata anda akan lebih disanjungi dan dihormati apabila tampil sebagai orang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berdisiplin, bertanggungjawab perihatin serta bijak memanfaat peluang selain berpandangan jauh dari jangkauan.