Tanjung Manis kini dihubungi jalan raya

Posted on August 24, 2011

0


Pekerja tempatan di kolam tilapia diusahakan pelabur Taiwan di Tanjung Manis.

Kali pertama saya pergi ke Tanjung Manis ialah pada tahun 2000.

Masa itu saya menaiki pesawat Vision Air bersama sekumpulan rombongan khas dari Kuching, ibu negeri Sarawak.

Dan kali kedua saya menjejak ke sana ialah Julai 2011, tapi melalui jalan darat dari arah bahagian Sibu pula.

Saya tidak kata sudah banyak perubahan berlaku, tetapi ada perkembangan positif terutama dari segi kemudahan prasarana dan jumlah pelabur yang melabur selain prospek serta potensi yang ada di sana.

Sungai dilihat dari arah sebatang jambatan.

Suatu yang paling penting bagi saya ialah kewujudan jalan raya yang membolehkan Tanjung Manis dihubungi dengan lebih mudah berbanding dahulu.

Sebelum ini tempat itu bagaikan terpisah dari dunia luar kerana tiada jalan darat.

Menerusi jalan di Teku kawasan pinggir bandar Sibu perjalanan yang saya naiki merentasi Batang Igan menuju Sungai Merah lalu ke Sungai Bidut di seberang sana.

Jarak antara Sibu ke Tanjung Manis ialah kira-kira 82 kilometer dan hanya mengambil masa kira-kira 50 minit dengan puata kelajuan 90km/sejam.

Tidak seperti dulu, kini tidak payah lagi menunggu lama di pangkalan feri di Batang Igan sekiranya memilih untuk melalui jalan dari bahagian Mukah.

Jalan bertar yang saya lalui kelihatan sangat elok dan selesa kerana sebahagiannya baru selesai kerja dinaik taraf tiga bulan sebelum.

Antaranya ialah Jalan Sibu/Tanjung Manis dari Jalan Persiaran Brooke ke Ling Chu Ming yang mula dirancang dan dilaksana pada 2009.

Ia siap sepenuhnya pada Mac sebelum dibuka kepada pengguna pada April lalu.

Jambatan Lebaan terletak di Batang Rajang membuatkan hati saya terpegun melihat bentuk lengkungannya bagaikan roller-coaster apabila dilihat dari jauh.

Daripada 20 jambatan besar yang pernah saya lalui di Bumi Kenyalang itulah pertama kali saya melihat jambatan sebegitu rupa.

Menurut rakan jurutera, kebanyakan jambatan besar sedemikian kos pembinaanya bernilai lebih RM100 juta.

Ditambah pula tanah paya dan kelebaran sungainya melebihi 100 meter maka prosesnya agak sukar dan tempoh pembinaan memakan masa.

Wah mahalnya, sekarang barulah saya faham kenapa kawasan Lembah Rejang lambat dibangunkan dan betapa sukar ia untuk dimajukan!

Bayangkan saja sekurang-kurang lapan jambatan termasuklah bersaiz sederhana dan kecil sebelum sampai ke Tanjung Manis.

Tetapi demi mengubah nasib rakyat di kawasan itu, nampaknya Kerajaan Negeri tetap tidak berkira untuk mengeluarkan modal berbilion ringgit, ini termasuklah berusaha menarik pelabur luar membuka perusahaan di sana.

Dalam pada itu senario tepi jalan tidak banyak beza seperti kawasan delta lain di Malaysia. Ia subur dengan tumbuhan semulajadi paya bakau.

Alam semulajadi di situ mengingatkan saya kepada Tanjung Kerang, Kupup dan Tanjung Pelepas di selatan Johor.

Bezanya di Lembah Rajang lanskapnya lebih indah dengan adanya sungai besar. Ia tampak sangat indah apabila dilihat dari jambatan tinggi.

Gabungan sungai dan hutan memang disukai pelancong asing terutama orang Arab yang sentiasa “dahagakan hujan”.

Kalau di sini mereka boleh menikmati keindahan permandangan Hutan Hujan Tropika.

Maka memang sesuailah Lembah Rajang untuk dibangunkan sebagai eko-pelancongan juga.

Ditambah pula kedudukan pekan baru Tanjung Manis yang terletak di muara Batang Rajang turut dapat dihubungi melalui jalan air dengan menggunakan bot laju dari Kuching, Sibu dan Sarikei.

Dan kini MASWings menyediakan penerbangan dari Kuching ke bandar ini beroperasi setiap Selasa, Khamis dan Sabtu menggunakan pesawat Twin Otter yang boleh memuatkan 19 tempat duduk.

Menurut penduduk yang sempat saya temui, Tanjung Manis kini sering dikunjungi oleh penduduk dari Sibu yang membawa keluarga bersiar-siar pada hujung minggu.

Ini termasuklah kaki ‘ngail untuk mencari lubuk ikan di persisir pantai Kuala Rajang hingga ke Tanjung Sirik.

Projek pembangunan Bandar Baru Tanjung Manis bermula pada Mac tahun 1990, dibangunkan bermula dengan industri perkayuan.

Semasa menulis topik ini ada saya terbaca sebuah buku menulis pada 1991, Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ada menyatakan jangkaan beliau…bahawa dalam masa 30 tahun kawasan Tanjung Manis akan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan terutama di kalangan penduduk tempatan.

Sekarang sudah 20 tahun berlalu. Bermakna ada 10 tahun lagi untuk melihat perkembangan optimum yang dimaksudkan oleh Ketua Menteri.

Bagaimanapun, beliau ada mengingatkan masa itu agar para penduduk khususnya muda-mudi mestilah melengkap diri mereka dengan kemahiran agar dapat mengambil peluang pembangunan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Dan sekarang Tanjung Manis adalah salah sebuah Pusat Pertumbuhan Baru dalam Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) iaitu antara lima pembangunan koridor wilayah yang dibangunkan di seluruh negara kita.

Objektif utamanya, membangunkan wilayah tengah negeri Sarawak yang sememangnya secara keseluruhannya agak ketinggalan terutama di lembah Rajang yang dihuni pelbagai kaum seperti Iban, Melayu, Cina dan Melanau selaku majoriti di kawasan pesisir pantai.

Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) yang mendapat peruntukan lebih RM135 juta daripada Kerajaan khas untuk membangunkan kemudahan infrastruktur asas projek asas projek Hab Halal Tanjung Manis dengan tujuan menjana pembangunan ekonomi negeri sekaligus mengubah taraf hidup penduduk.

Pekerja tempatan di kolam tilapia diusahakan pelabur Taiwan di Tanjung Manis.

Ia bukan retorik politik, tetapi saya nampak sendiri sudah ada pelabur Taiwan dan tempatan membuka perusahaan di dalam salah satu kawasan 16,000 ekar.

Umpamanya Sea Party International Co. (Taiwan) akan melabur RM90 juta telah membuka 18 buah kolam tilapia sejak beroperasi dua tahun lalu.

Pihak Petanza Sdn. Bhd, Awang Adeni Awang Udol…Pengurus perusahaan ternakan ikan keli dalam kanvas.

Sementara pelabur tempatan Petanza Sdn. Bhd dengan pelaburan bernilai RM10 juta telah membuka perusahaan ternakan ikan keli dalam kanvas untuk diguna dalam perusahaan kilang keropok.

Semasa kunjungan saya ke sana terdapat kira-kira 400 kanvas dengan setiap satu menternak 1,000 ekor keli di dalamnya. Sudah tentulah tidak ada perkara diusahakan boleh dilihat hasilnya setahun dua.

Pusat tenunan Songket Rejang tersohor di Malaysia

Kepada mereka yang ingin berkunjung keTanjung Manis tidak lengkap kunjungan anda sekiranya tidak pergi ke Pusat Tenunan Kampung Rajang dalam sebuah perkampungan Melanau tidak jauh dari pekan Tanjung Manis.

Tenunannya agak berbeza dengan apa yang dihasilkan di Terengganu.
Kalau nak tahu lanjut pergi sendiri dan lain kali boleh buat tempahan.

Kalau nak tempah sekarang untuk sambutan Hari Raya Aidilfitiri tahun ini mungkin sudah terlambat. Sebab proses kerjanya memakan masa berbulan-bulan kerana ia dibuat secara manual lagi teliti, bukan macam mesin.

Harganya antara RM400 sehinggalah semahal RM10,000.

Tanjung Manis Gateway jadi tumpuan utama untuk menjamu selera pengunjung termasuk pelabur.

Oh ya sebelum saya lupa, jangan segan-segan untuk menikmati makanan di Restoran Manis dalam bangunan Tanjung Manis Gateway di pekan Tanjung Manis.

Restoran milik syarikat Haji Johari Sekeluarga dari Kampung Belawai itu antara lain menghidangkan udang, ikan, umai dan ulam serta sambal yang sungguh enak serta menyelerakan.

Hidangan menyelerakan di restoran milik syarikat Haji Johari Sekeluarga dari Kampung Belawai.