Terapkan Budaya Cemerlang di Kampung

Posted on August 25, 2011

0


beliakreatif

Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak percaya bahawa demi mengubah Malaysia ke tahap kejayaan dan pencapaian lebih tinggi, budaya kecemerlangan amat perlu dalam diri setiap manusia.

“Jika seseorang mempunyai satu set nilai-nilai yang mempraktikkan budaya kecemerlangan, segalanya akan berkembang dan beralir dari Budaya tersebut.

”Ia merupakan satu usaha berterusan,” kata Najib, dipetik daripada satu laman web pro-kerajaan.

Namun menurut Najib, seseorang perlu menjanakan perkara-perkara yang akan mendorong orang ramai untuk menyedari betapa pentingnya budaya kecemerlangan.

Berhubung perkara itu Perdana Menteri antara lain berkata, sekiranya mahu mengubah Malaysia, perubahan mestilah berteraskan kepimpinan yang berasaskan prestasi.

“Ini bermakna matlamat-matlamat khusus, dan prestasi seseorang boleh diukur. Pengawasan, pemantauan, pembetulan dan membuat sebarang perubahan jika perlu boleh dilaksanakan,” ujar beliau.

Saya memang sangat menyokong budaya tersebut yang memang sudah lama tertanam dalam masyarakat Jepun, dan bagi golongan berpendidikan tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang kerja perkara seperti ini mudah difahami.

Bagaimana halnya dengan masyarakat luar bandar yang tidak berpendidikan tinggi, apakah jenis garis ukur kepada budaya kecemerlangan  mereka?

Ia sangat subjektif untuk diperkatakan bukan! Melainkan mereka ada platform tertentu sebagai asas kepada penilaian.

Kegiatan Jawatankuasa Kerja Kampung pun belum cukup sesuai untuk mengukur sejauh mana mekanisme yang menggerakkan organisasi itu, kerana cenderung kepada projek prasarana.

KRT memerlukan golongan kreatif dari segi cara berfikir dan bertindak.

Bagi saya, dalam hal ini Kawasan Rukun Tetangga (KRT) lah paling tepat bagi memperkata perincian budaya kecemerlangan sebab ia menjurus kepada program sukarela yang bertujuan untuk membantu dalam pembangunan masyarakat setempat.

Konsep program ini hampir sama seperti Neighbourhood Watch yang saya dapati wujud di beberapa taman perumahan di badanraya Kuching kerana kegiatan jenayah banyak berlaku di kawasan kota.

Peranan utama Rukun Tetangga ialah menganjurkan kumpulan-kumpulan rondaan yang bertugas pada waktu malam untuk mengurangkan kegiatan di sekitar kawasan kejiranan.

Anggota kumpulan rondaan biasanya dianggotai ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan tersebut.

Gotong-royong membersih rumah sekitar kampung bagaikan kemestian NGO.

Selain itu, setiap KRT digalakkan menganjurkan seberapa banyak kegiatan berbentuk kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan selain program meningkatkan perpaduan dan integrasi kaum.

Rukun Tetangga telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1975 – asalnya untuk menjamin keselamatan penduduk setempat.

Pada 1984, fokus pertubuhan ini bertukar kepada merapatkan hubungan di antara pelbagai kaum di Malaysia.

Kemudian pada 2001, fokus program ini sekali lagi bertukar kepada fokus sekarang, iaitu pembangunan masyarakat setempat.

Sejak tiga bulan lalu saya mula mengkaji kewujudan  KRT yang teerdapat di bahagian Mukah.

Terdapat 26 KRT setakat ini. Teramsuk lima yang baru diluluskan menerusi Jabatan Perpaduan Negara di Putara Jaya, pada Mei 2011

Seperti biasa, KRT yang baru diwujudkan kelihatan masih terkial-kial untuk mencari rentak sebagai sebuah organisasi yang proaktif dalam usaha menjalankan kegiatan sepatut direncana.

Kita tidak boleh menyalahkan mereka, kerana tanpa sumber kewangan siapa yang mahu bergerak.

Itu tanggapan. Tetapi ada juga pihak berpandangan sebalik. Sekalipun Jabatan Perpaduan Negara di peringkat bahagian menyalurkan sejumlah wang, aktiviti dapat dilaksankan.

Dengan itu mereka dilihat tidak terlalu berharap dengan banyak duit kerajaan untuk bergerak secara sukarela seperti mengadakan kerja gotong-royong membersih sekitar kampung.

Siapa pun boleh buat kerja seperti itu. Kerana objektifnya biasa iaitu merapatkan silatilrahim dan memantapkan perpaduan menerusi kerjasama.

Tetapi melihat sudut lebih luas, KRT harus keluar daripada kotak keselesaan dengan mengadakan aktiviti berskala besar.

Sukanika membabitkan golongan remaja mudah dianjurkan.

Maknanya program bukan setakat mengadakan kerja amal, sukanika, sukan rakyat dan bolasepak dan kemudian menerima hadiah.

Itu cara lama. Kalau dapat kita hendakkan KRT menjadi satu jenama yang berdaya maju dengan mengadakan suatu acara berbentuk besar-besaran bertaraf karnival.

Mengapa tidak mahu diusahakan kalau menganjur program sedemikian rupa dapat menjana ekonomi penduduk setempat, selain menyuntik sumber kewangan kepada tabung KRT terbabit.

Jika betul gaya, pihak kerajaan, swasta, individu dan wakil rakyat akan bermurah hati menyumbag kepada badan bukan kerajaan itu sekiranya kegiatan dianjurkan mambu memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.

Bolasepak - satu aktiviti popular anjuran KRT.

Inilah suatu bentuk cabaran untuk mengangkat martabat KRT kerana ia akan turut mengubah cara masyarkat berfikir dan bertindak terhadap apa yang difikirkan sebelum direalisasikan/

Kesimpulan kita dalam KRT kita memerlukan sebuah pasukan yang mantap dari segi berfikir secara kreatif agar NGO itu tidak di takuk lama, sebaliknya sedikit demi sedikit dapat naik dari peringkat kampung, daerah, bahagian seterusnya negeri.

Malah kalau cukup latihan dan bimbingan di samping mendapat kerjasama pihak berwibawa tidak mustahil sesebuah KRT dapat mencapai tahap sebuah organisasi yang mampu mengendalikan aktiviti bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

Posted in: Pembangunan, Sarawak