Beras oh beras…harga naik lagi?

Posted on August 27, 2011

0


Sagu menjadi kegemaran di kalangan masyarakat Melanau sehingga zaman sekarang.

Tajuk berita utama The Borneo Post: Our own rice bowl to reduce import pada 26 Ogos 2011, memang menarik mata membacanya bukan disebabkan ia setakat membangkitkan suatu keadaan di mana Sarawak perlu ada usaha dalam mengeluarkan lebih banyak beras.

Tarikan juga terdapat pada perkataan ‘rice’ dan ‘bowl’ (periuk dan nasi) itu sendiri yang membawa pengeritan kepada rezeki seseorang baik golongan kaya mahu pun miskin.

Dalam budaya sejagat,  ‘periuk nasi’ secara dasarnya merujuk kepada pendapatan utama sama ada seseorang itu berkerja sendiri atau makan gaji dengan orang lain.

Dan bagaimana perasaan anda seandai periuk nasi anda itu ditutup? Sudah tentu marah dan kecewa!

Seorang makcik di Balingian menjemur padi di tepi jalan raya.

Mungkin beras hampir sama saja kepentingannya di kalangan masyarakat sejagat, sebab itu pengertiaan dalam penggunaan bahasa juga tidak jauh berbeza.

Padahal bukan semua penduduk dunia berjumlah lebih 6 billion orang bergantung kepada beras sebagai makan ruji. Seperti diketahui umum di kebanyak negara barat gandum merupakan makanan utama penduduk di sana.

Sagu menjadi kegemaran di kalangan masyarakat Melanau sehingga zaman sekarang.

Untuk rekod, bagi masyarakat Melanau iaitu sekumpulan etnik minoriti di Sarawak, sagu yang dihasilkan dari pohon rumbia dijadikan makanan utama pada zaman dahulu kala.

Lihat pula dalam konteks ini: Golongan daif sanggup bekerja apa sahaja yang termampu dilakukan demi untuk sesuap nasi—membawa maksud beras memang makanan utama.

Anda sudah mengerti sekarang betapa keistimewaan beras sehingga dapat dikaitkan dengan kehidupan manusia.

Dan harus diingat untuk tempoh beribu tahun, beras telah menjadi makanan ruji kepada setengah daripada keseluruhan jiwa di bumi.

Sebuah buku terbitan Reader’s Digest di bawah topik foods that heal, consultant nutritionist for Australia and New Zealand edition, menyatakan lebih 60,000 jenis padi berlainan ditanam di seluruh dunia setakat ini.

Buku tersebut yang terbitan terkini pada tahun 2010 turut menyatakan padi ditaman di Australia sejak tahun 1850 dan lebih daripada 80 peratus keluarannya dieksport.

Menurut fakta ditulis oleh kumpulan penulis diketuai oleh Dr. Rosemary Stanton ini, tiada ubah suai secara gentik terhadap beras yang ditanam di Australia (tidak seperti beras di Amerika Syarikat).

“Di sesetengah negara Asia per kapita penggunaan beras mencecah 135kg setahun dan kehidupan mereka masih bergantung atas tanaman itu.

“Sebalik secara purata penduduk Austraila memakan hanya lebih 14 kg setahun bagi semua jenis beras termasuk bijirin sarapan,” demikian memetik maklumat jururunding Joseph A Schwarcz (Ph.D Frank Berkoff, R.D) dan Morton D. Bogdonoff (M.D, Karen Levine, R.D).

Industri rumbia turut berkembang pesat di Sarawak berbanding tanaman padi.

Dalam tulisan ini saya bukan mahu mempersoalkan Dasar Pertanian Negara dan pihak pembuat dasar.

Tidak juga ingin memberi komen dari segi keluasan dan tahap sara diri negara bagi komoditi beras yang kini di tahap sekitar 70 peratus.

Jauh sekali mengkritik kemerosotan keluasan tanaman padi yang dikatakan menurun daripada 0.478 juta hektar pada tahun 2000 kepada 0.452 juta tanaman padi pada 2005. Dan lima tahun kemudian turun lagi kepada 0.45 juta hektar.

Apa yang saya ingin tonjolkan di sini berkaitan dengan ramalan harga beras akan meningkat dalam masa terdekat.

Menurut pihak berwibawa yang dipetik sebagai berkata, sekira Thailand di bawah perdana menteri baru wanita membuat keputusan untuk menaikkan harga komoditi tersebut, maka harga di Malaysia juga turut naik.

Jelas betapa isu beras kini semakin mendapat perhatian Kerajaan dan masyarakat antarabangsa seperti juga minyak masak dan bahan bakar.

Tanaman kelapa sawit lebih diutamakan di Malaysia.

Sebagaimana sumber penting lain, isu berkaitan beras sangat sensitif kerana rakyat kebanyakan yang akan menerima impak, terutama rakyat berpendapatan rendah.

Saya cukup faham perasaan mereka apabila makanan keperluan harian itu naik, kerana pendapatan isi rumah mereka di bawah tahap kemiskinan.

Di Sarawak umpamanya, golongan terbabit berebut-rebut untuk membeli beras subsidi yang ditawar pada harga RM18 sekampit.

Malangnya, jumlah beras subsidi di pasaran adalah terhad dan tawaran dihadkan hanya sekampit dua kampit sahaja bagi seorang pelanggan.

Sebab itu bukan tidak ada pelanggan di kawasan kediaman kos rendah sanggup berulang kali datang ke premis kedai runcit berdekatan sekadar untuk mendapatkan bekalan itu.

Setidak-tidak mereka menyuruh orang lain di kalangan ahli keluarga agar tidak dapat dikesan oleh pengusaha kedai.

Selalunya sesebuah premis dihadkan menempah dengan jumlah terhad sekitar 100 hingga 200 kampit.

Paling lama pun beras sebanyak itu bertahan dua hari. Yang kesian tidak semua golongan sasar berkesempatan mendapatnya.

Apabila beras sudah habis terpaksa menunggu sampai seminggu sebelum tempahan baru tiba. Lebih malang apabila bekalan tiada dalam tempoh sebulan. Ramailah merungut.

Beras berharga sekitar RM25 sehingga RM28 sudah dianggap mahal. Apatah lagi beras wangi dengan kadar harga antara RM38 hingga RM42 sekampit.

Masa sebeginilah Beras Corporation akan menjadi sasaran pengguna berhubung bekalan beras terputus.

Pihak berwajib terbabit pula akan menerima maklum balas dan akan menghubungi pengilang bagaimana perkara itu berlaku. Pelbagailah jawapan diberikan.

Antara yang paling biasa didengar bekalan beras tiada kerana kapal pengangkut belum tiba atau penghantaran ke sesebuah kawasan sudah ditetapkan kuota tempahannya.

Memikirkan isu bekalan beras dan harganya teringat saya kepada lirik lagu Bangau Oh Bangau. Di pertengahannya berbunyi …macam mana aku (perut) tak sakit, makan nasi mentah…

Posted in: Pembangunan, Sarawak