Bahang Raya, Merdeka meriah di Mukah

Posted on August 29, 2011

0


jambatankuning

Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2011 mempunyai keistimewaan tersendiri kerana hampir dengan tarikh keramat pada 31 Ogos di mana Tanah Melayu mencapai kemerdekan 54 tahun lalu—detik bersejarah paling besar tanah air kita.

Walaupun sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan buat kali pertama tidak diadakan pada tarikh tersebut tahun ini,  sebalik pada 16 September iaitu Hari Malaysia (sempena pembentukan Malaysia pada 1963), ia tetap membawa makna tersendiri kepada seluruh rakyatnya.

Kesibukan jalan raya di bandar Mukah menjelang Aidilfitri, tetapi lancar.

Sudah pasti pertindihan dua keraian besar akan mewujudkan suasana lebih meriah daripada biasa,  terutama di kawasan luar bandar yang hanya sesekali sahaja menyambut bilangan tetamu dari luar dalam jumlah yang banyak.

Ditambah pula dengan pengibaran Jalur Gemilang di rumah, bangunan komersial dan pejabat kerajaan, tatkala lagu raya berkumandang di corong radio sambutan raya dan merdeka terasa sangat dekat di hati.

Mood saya yang tidak meraikan Aidilfitri ini pun sangat terasa bahang Aidilfitri. Namun kali ini benar-benar menarik kerana buat pertama kali selepas 17 tahun tidak menyaksikan perayaan itu di bahagian Mukah, sebuah kawasan yang terdiri daripada sebilangan masyarakat Melanau beragama Islam.

Orang ramai berbaris panjang di sebuah bank, kawasan pasar baru.

Seperti dijangka bandar Mukah pasti menerima jumlah kunjungan paling ramai pada Hari Raya Aidilfitri kali ini daripada tahun-tahun sudah. Perkembangan ini berikutan jalan Selangau-Mukah sejauh 53 kilometer sudah dinaiktaraf.

Berbanding pada tahun 1980 dan 90-an, keadaan feeder road itu teruk sehinggakan ia menjadi persoalan utama para penduduk setiap kali hendak merancang balik kampung pada musim perayaan besar di bahagian di pesisir pantai itu.

Tinjauan saya ke pekan tersebut mendapati jumlah kenderaan yang berada di jalan raya jauh lebih banyak daripada biasa. Menurut pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan terdapat kira-kira 40,000 kenderaan pelbagai jenis di seluruh Mukah setakat ini.

Kenderaan berbaris panjang untuk membeli bahan bakar di Jalan Oya.

Mukah meliputi daerah Balingian, Dalat dan Matu dengan lebih 100,000 penduduk. Daripada jumlah itu kira-kira 40,000 menghuni daerah Mukah yang menjadi jantung Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Bahagian ini mengunjur dari Balingian di ufuk Timur sehingga Belawai di mega Barat dengan pantai berjajaran melebihi 200 kilometer persegi.

Persempadanan semula 2002 menyatukan Mukah dan Dalat dari Sibu, manakala Matu serta Daro berpisah dengan Sarikei untuk membentuk gandingan baharu di bawah Bahagian Mukah.

Kesesakan di pekan lama Mukah apabila bahan bakar di Stesen Shell kehabisan pada waktu puncak.

Stok habis dibeli pengunjung dan penduduk Mukah.

Dan hari ini ia menerima banyak kenderaan dari luar. Stesen minyak Shell di pekan lama kehabisan bahan bakar petrol awal pagi lagi, menyebabkan pengguna terpaksa pergi ke stesen Petronas di Jalan Oya untuk mendapatkan sumber petrol dan diesel.

Lalu lintas sibuk lagi sesak yang pernah saya saksikan berlaku semasa sambutan Pesta Kaul pada April lalu berulang lagi. Pekan Mukah bagaikan bandar besar penuh dengan kereta.

Jambatan kuning melancarkan pergerakan kenderaan masuk ke pusat bandar Mukah.

Tidak seperti dulu, dengan adanya Jambatan Kuning menyeberangi Batang Mukah, pengguna juga tidak perlu lagi berbaris panjang menunggu giliran menaiki perkhidmatan feri.

Sekarang dalam masa kurang 10 saat sahaja mereka sudah sampai ke seberang. Sebab itu sekelip mata sahaja Mukah dipenuhi kenderaan dalam satu-satu masa apabila musim perayaan. Kelancaran ini menggalakkan lagi orang luar datang ke Mukah.

Kalau empat bulan lalu tapak Pesta Kaul iaitu Kala Dana tepi pantai penuh dengan manusia, tetapi hari ini kebanyakan pasaraya pula sesak dengan orang ramai membeli belah sebagai persiapan terakhir menjelang sambutan lembaran.

Kali terakhir saya berkesempatan berkunjung ke rumah saudara dan rakan Muslim ialah pada 1993. Ketika itu, Mukah belum dinaik sebagai bahagian. Tiada pasar baru Mukah seperti yang disaksikan hari ini. Hanya pasar kecil berasaskan kayu terletak dalam kawasan 10 ekar sahaja.

Setelah dijadikan sebagai bahagian pada 2002, banyak perubahan berlaku. Perkembangan pesat Mukah menjadi buah mulut lebih-lebih lagi ia merangkumi sebahagian daripada SCORE.

Bagi keluarga Muslim ini adalah masa terbaik untuk mengumpul sebuah keluarga besar merakamkan kenangan sambil menghayati Hari Kemerdekaan.

Sudah pasti ini akan menjadi satu sejarah tersendiri apabila serentak melihat sekurang-kurang tiga generasi. Generasi sebelum merdeka dan selepas meredeka dalam satu lipatan kenangan untuk tatapan 20 tahun lagi.

Saya menjangkakan Mukah akan bertambah padat dalam tempoh lima tahun akan datang apabila kemudahan jalan raya Pesisir Pantai menghubungkan kawasan pesisir siap menjelang tahun 2020.

Lapangan terbang bertaraf antarabangsa bernilai RM600 juta akan dibina tidak lama bagi menggantikan lapangan terbang sedia ada. Masa itu nanti Mukah akan dihubung secara terus melalui pengangkutan udara dari Kuala Lumpur.

Penduduk Mukah sedar sudah banyak pembangunan telah dibawa masuk ke kawasan Mukah. Banyak tanah dibuka untuk tujuan mendirikan kawasan taman perumahan dan komersial selain industri.

Namun, yang paling banyak saya perhatikan merebut peluang ekonomi sebenarnya bukan Bumiputera.

Ke arah pembangunan pesat.

Ahli perniagaan yang mempunyai aset cair stabil dari Sibu telah mengambil langkah bijak melabur wang mereka dengan membeli unit rumah kedai dan rumah.

Bagi mereka yang lebih berkemampuan telah pun membeli beberapa unit pasar untuk tujuan membuat sarang burung walit.

Berikutan permintaan menggalak terhadap tanah-tanah di sekitar pusat pentadbiran, nilai hartanah meningkat dengan cepat saban tahun.

Disedari atau tidak, dalam tempoh 10 tahun kampung-kampung berdekatan bagai tersepit dihimpit fizikal bandar semakin membesar.

Orang ramai berbeli belah di luar premis pasar raya dekat laluan Boulevard Setia Raja.

Siapa tidak mahu melihat kemajuan. Tetapi jangan hanya selaku pemerhati. Kerana apa akan terjadi kemudian hari sekiranya terus menjadi golongan pemerhati.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Kemerdekaan. Sama-sama kita ‘raya merdeka’…

Akhir kata sama-samalah kita realisasikan tema Hari Kemerdekaan tahun ini;  1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera