Setelah 108 tahun Merdeka…

Posted on September 1, 2011

0


mejamalaysia

Sambutan detik ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-54 dirai dengan penuh rasa kesyukuran sambil kita menikmati suasana pemandangan malam indah penuh warna-warni oleh percikan bunga api di ruang udara.

Saat indah menyaksikan corak percikan bunga api yang begitu menawan, pernahkah anda terbayang rupa bentuk Malaysia yang sudah lama merdeka pada 54 tahun akan datang pula? – Malaysia mencapai 108 tahun kemerdekaan.

Seorang kanak-kanak bersemangat dengan terpacak Jalur Gemilang di songkoknya.

Cuba tenangkan fikiran, tarik nafas panjang dan renung sejenak bagaimanakah negara kita pada 2065?

Jika kita mempunyai anak dan cucu antara 1 hingga 14 tahun maka pada tahun tersebut mereka akan berusia 55 hingga 69 tahun.

Saya sengaja memberi fokus kepada golongan ini kerana mereka adalah generasi pelapis yang membentuk kira-kira 12 juta daripada 28 juta keseluruhan penduduk Malaysia sekarang.

Golongan bayi menjadi tumpuan, dan mereka adalah generasi harapan masa depan.

Untuk rekod, pertumbuhan penduduk yang direkodkan dalam Rancangan Malaysia ketujuh (1996-2000) meningkat pada kadar kira-kira lima juta dalam tempoh 10 tahun.

Jumlah orang di negara kita ialah berjumlah 20.69 juta pada tahun 1995. Dari segi struktur umur, kira-kira 35 peratus penduduk adalah di bawah umur 15 tahun. Sementara mereka yang berusia 15 hingga 64 tahun ialah sekitar 61 peratus. Sebilangan 3.7 peratus adalah warga emas (65 dan ke atas).

Dan kalaulah kadar itu menjadi ukuran dalam membuat ramalan bilangan penduduk negara serta konsisten,  maka jumlah rakyat Malaysia kelak barangkali  mencapai lebih 59 juta. Tetapi golongan itu bukan di kalangan yang lahir hari ini, esok atau lusa.

Namun mereka yang belum lahir hari inilah yang akan mengambil alih struktur umur tersebut bukannya kita atau mereka yang berusia 1 hingga 14 tahun dimaskudkan tadi.

Kita andaikan begini jumlah penduduk menjelang tahun 2020 ialah 33 juta; tahun 2030 ialah 38 juta; 2040 (42 juta); 2050 (47 juta); 2050 (52 juta); 2060 (57 juta); dan 2070 (62 juta).

Nah bila kita akan mencapai jumlah penduduk 70 juta seperti disasarkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dulu.

Kalau pertumbuhan kekal pada purata lima juta dalam tempoh sedekad, maka bersandarkan kiraan matematik ia boleh dicapai selepas 2080.

Namun jika kadar kelahiran meningkat saban tahun sasaran itu mungkin boleh dicapai sebelum tahun tersebut.

Itu soal jumlah penduduk dan biarlah institusi kekeluargaan masing-masing menentukan mahu merancang berapa jumlah anak.

Di sebalik memikirkan jumlah penduduk ada lagi perkara lain tidak kurang penting diambil kira.

Sebagai penduduk yang tinggal dalam masyarakat majmuk sudah tentu kita tidak boleh lari daripada memikirkan sistem dan struktur pentadibran negara, komposisi etnik penduduk, perpaduan negara, rancangan dan visi pembangunan, dasar-dasar utama  dan pembangunan insan.

Perkara ini akan saya tulis pada masa akan datang.

Sekarang saya lebih berminat untuk berkongsi tentang Majlis Perhimpunan Silaturahim Keluarga oleh sebuah keluarga Melanau Muslim yang diadakan di Dewan Suarah Mukah pada 31 Ogos.

Keluarga besar Melanau yang telah berkahwin dengan pelbagai kaum lain di Malaysia bergambar beramai-ramai.

Majlis ‘keluarga besar’ tersebut dihadiri kira-kira 500 orang pelbagai lapisan umur terdiri daripada keluarga-keluarga dan sanak-saudara masing-masing, sekali pun ada segelintir mereka sudah berkahwin dengan kaum lain seperti Melayu, Cina dan Iban.

Walupun diadakan secara sederhana namun ia tampak meriah apabila tetamu baik dari dekat mahupun jauh diketemukan dalam satu pertemuan yang pasti membangkitkan nostalgia.

Seorang nenek tua diangkat dari pentas selepas sesi bergambar.

Menurut penganjur, majlis seumpamanya pernah diadakan tahun 1967 (34 tahun lalu). Namun pada masa itu  mereka terbabit dikatakan berpakaian ala Inggeris, tidaklah seramai seperti yang disaksikan sekarang.

Selepas diadakan kali kedua beberapa tahun lalu, tahun ini ia lebih meriah menyaksikan masing-masing dari kumpulan salahsilah berlainan cabang keluarga berkumpul.

Bukan keterlaluan tidak mudah untuk menjayakan majlis sebegini. Oleh itu semangat sebegini harus dicontohi.

Sekali pun kumpulan terbabit dibezakan dengan warna baju kurung dan baju Melayu seperti ungu, biru, hijau, jingga, kuning dan merah jambu namun mereka telah berjaya membentuk satu semangat muhibah tatkala suasana Aidilfitiri dan Hari Kemerdekaan masih membahang.

Posted in: Pembangunan, Sarawak