Musim bubuk kembali lagi

Posted on September 4, 2011

1


Bubuk dijual di tebingan sungai Mukah.

Pantai bahagian Mukah kembali dilanda bubuk atau anak udang sejak beberapa hari lalu, menggalakkan ramai penduduk di persisir turun menangkap hasil laut tersebut.

Kali terakhir bubuk melanda bahagian ini ialah pada April dan Mei 2011 dengan harga pasaran sekitar RM4 hingga RM5 sebakul kecil (kira-kira setengah kilogram).

Bubuk dijual di tebingan sungai Mukah.

Masa ia berakhir tiga bulan lalu, jangkaan segelintir masyarakat setempat bahawa musim udang kecil itu akan hadir semula pada antara Ogos hingga Oktober.

Nampaknya ramalan mereka betul.

Jangkaan itu hanya mengikut firasat mereka, kerana berdasarkan keadaan sama pada masa lalu biasanya bubuk muncul dua kali setahun pada musim kemarau.

Dua kanak-kanak cuba mengangkat sebakul bubuk ke market ikan.

Umpamanya pada pertengahan April dan awal Mei lalu, hasil tangkapan bubuk sangat menggalakkan di sepanjang pantai Oya, Mukah dan Balingian.

Tinjauan saya ke lokasi paling popular dikunjungi ramai di mana terdapat aktiviti menangguk bubuk di pantai Oya kira-kira 25 minit dari pusat pentadbiran di sini,  mula menjadi tumpuan kaki tangguk.

Loi memeriksa penangguk di tepi pantai Oya.

Loi Seng Sin, salah seorang daripada penduduk setempat yang giat menjalankan kegiatan itu sejak lebih 30 tahun lalu sangat masak dengan fenomena tersebut.

Pendek kata, sumber rezeki penting Loi Seng, 64, adalah dengan menangkap bubuk di pantai itu selain menjala udang di Sungai Oya.

Malah, sebahagian daripada sumber pendapatan bapa kepada lima anak itu digunakan untuk membesarkan anak-anak selama ini.

Loi sebenarnya terbabit dengan kegiatan membuat belacan sudah pasti tersenyum lebar setiap kali bubuk melanda pantai.

Seorang penangkap bubuk menaiki motosikal membawa pakak (penangguk).

Bagi Loi, turun awal pagi sebelum matahari terbit setiap hari pada waktu sekarang adalah berbaloi

“Seperti biasa hari saya turun pukul 6 pagi ketika air laut masih surut. Ketika itulah jumlah bubuk banyak.

“Apabila  air sudah mula pasang, bubuk akan beransur tiada…Macam biasa esok turun awal lagi,” katanya berkemas untuk balik 12 tengahari.

Pada sebelah petang sehingga malam dia akan turun menjala udang di Sungai Oya pula.

Tetapi, pada musim bubuk seperti sekarang kegiatan hariannya lebih tertumpu kepada menangguk bubuk.

Sungai Oya - tempat menangkap udang.

Kata Loi yang tinggal di kawasan Pasar Oya, hasil tangkapan bubuk bukan untuk dijual sebalik dijemur untuk dibuat belacan bagi pasaran sekitar bahagian Mukah.

“Saya tidak jual bubuk yang ditangkap sebab ia untuk kegunaan sendiri.

“Itu pun tidak cukup jadi saya beli lagi daripada orang lain,” ujarnya sambil menjelaskan bahawa pada sebelah petang dia akan menjala udang pula.

Sementara itu seorang kakitangan kerajaan dari Kampung Tellian Ulu yang gemar ‘mengancau’ (ikan) di tepi pantai Mukah, kali ini dia tidak melepas peluang untuk turut menangkap bubuk.

“April dan Mei lalu saya tidak sempat memakak kali ini,” katanya sambil menjelaskan musim bubuk tidak menentu dan sukar dijangka dalam setahun.

“Kadang-kadang tiada langsung sepanjang tahun…ini bergantung kepada air laut,”ujarnya.

Biasanya apabila pantai bahagian Mukah dilanda bubuk, bahagian Miri turut dilanda anak udang berkenaan.

Belacan ini diperbuat daripada bubuk.

Seperti biasa selain pantai penuh dengan penangkap bubuk, market ikan juga menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkannya.

Secara purata ia dijual dengan kadar harga RM4 setompok. Namun sewaktu bubuk terhad di pasaran, harganya boleh melambung sehingga RM8 setompok.

Selalu musim bubuk bertahan selama kira-kira sebulan sahaja. Dan apabila ia berlalu belacan dan bubuk kering di pasar kering pula mengambil alih perhatian ramai.

Sebabnya ialah belacan berkenaan masih baru dan rasanya sudah tentu lebih sedap berbanding dengan yang sudah lama dibuat.

Jamuan paling popular bubuk ialah ia digoreng dan dibuat cucur dan tebaloi gulung (bubuk diisi ke dalam tepung lemantak sebelum dibungkus dalam daun nipah atau daun kelapa untuk disalai).

Pais bubuk diletak dalam daun kelapa.

Bubuk juga boleh dibuat ‘pais‘. Ia diletak dalam daun nipah atau daun kelapa. Prosesnya juga hampir sama seperti menyalai tebaloi gulung iaitu diletak di atas api sederhana marak.

Dan jamuan bubuk paling orang suka khususnya di kalangan masyarakat Melanau ia turut dijadikan sebagai ‘umai’ yang dimakan mentah bersama cecah hirisan cabik, kicap dan limau.

Hidangan sebegini memang membuka selera, apatah lagi sewaktu ia dihidangkan waktu makan tengahari.

Sebuah bot berisi bubuk di dermaga Mukah.

Bayangkan kalau sumber bubuk ada setiap hari, mungkin industri belacan mampu berkembang dan didagangkan ke negara asing di mana pelajar Malaysia berada.

Ini kerana saya percaya sebilangan besar pelajar kita gemarkan makan belacan, jadi bolehlah dihantar ke sana secara komersial.

Posted in: Sarawak