KRT mesti berdaya maju

Posted on September 25, 2011

0


Kanak-kanak turut bergotong-royong mengumpul rumput di padang bola

Semangat kerjasama di kalangan golongan warga emas, belia dan kanak-kanak

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu lebih ke depan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah sedia ada wujud di setiap kampung, demikian kata Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Encik Abu Seman Jahwie.

Abu Seman yang juga ADUN Jemoreng berkata ini boleh dilakukan dengan membabitkan lebih ramai golongan belia dalam rancangan dan pelaksanaan program yang dijalankan di kampung masing-masing.

Kanak-kanak mengumpul sampah-sarap untuk dibuang

“Saya kadang-kadang secara senyap-senyap pergi ke kampung-kampung di sekitar Mukah. Berdasarkan pengamatan saya perpaduan di Mukah no problem. Memang berlaku kegiatan tidak sihat, tetapi itu hanya sedikit sahaja, itu biasa di mana-mana pun ada.

“Sebagai contoh saya melihat ramai golongan belia bemain bola sepak di padang pada sebelah petang. Tariklah mereka menyertai program Rukun Tetangga dan libatkan mereka dengan aktiviti-aktiviti KRT.

“Di sinilah peranan ketua Rukun Tetangga, dia mesti pandai menarik masyarakat daripada pelbagai lapisan umur. Seperti besi berani dapat menarik banyak benda di sekelilingnya,” kata Abu Seman.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Ramah Tamah Aidilfitri untuk Perpaduan Bahagian Mukah 2011 malam tadi sebagai memberi gambaran KRT perlu lebih berdaya maju dalam usaha memertabatkan kampung menereusi NGO itu.

Kerja menyimen gelanggang takraw di sebelah bekas sekolah SK Kampung Tellian

Program tersebut yang dianjurkan secara bersama oleh empat kawasan RT dari kampung seberang pekan lama Mukah, termasuk Kelaup dan Bedanga di sebelah ulu menggambarkan perpaduan memang sedia wujud di kalangan penduduk di situ.

Rata-rata KRT di kampung seberang itu seperti Kampung Sungai Alo, Bunut, Tetus Hilir, Litong dan Tanjung ditubuhkan dalam 2010.

Segolongan wanita yang membantu menjayakan gotong-royong di kawasan bekas sekolah itu

Sebilangan mereka telah memain peranan mendekati ketua masyarakat di Kampung Tellian April lalu agar membuka hati para penduduk di kampung jiran mereka itu agar mewujudkan KRT juga.

Hasil pertemuan pertama membabitkan ketua-ketua masyarakat dan ahli Jawatankuasa Kampung akhirnya pada Jun lalu tertubuhlah KRT di Kampung Tellian, sebuah perkampung majoriti Kristian dengan lebih 2,000 penduduk.

Bagaimanapun demi memudahkan kerja penyelarasan, kampung dibahagi kepada empat KRT iaitu Kampung Tellian Tengah terdiri daripada KRTTT Zon 1 dan KRTTT Zon 2. Sementara KRT Kampung Tellian Ulu terdiri daripada Zon A dan Zon B.

Berkat kerjasama jawantankusa dan sokongan para penduduk kampung serta bimbingan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, maka dua daripada KRT terbabit berjaya melaksanakan program pertama mereka baru-baru ini.

Penghulu Kampung Tellian turut menebas rumput

KRTTT Zon 1 dan KRTTT Zon 2 memulakan aktiviti sulungnya dengan mengadakan aktiviti gotong-royong  menebas padang dan membersih persekitaran bekas SK Kampung Tellian pada 24 September lalu.

Program ‘kick start’ tersebut akan menjadi titik permulaan kepada kegiatan lain yang telah disusun atur di kampung berkenaan pada setiap bulan mendatang.

Golongan lelaki menebas rumput di padang

Dengan kerjasama pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kampung Tellian kegiatan itu berjalan dengan lacar dalam semangat perpaduan antara penduduk pelbagai lapisan umur kampung berkenaan.

Semangat kerjasama sebegini sememangnya telah wujud sejak sekian lama di kalangan para penduduk Kampung Tellian. Dan ia sentiasa disemai supaya terus mekar di sanubari golongan generasi baru pula.

Kanak-kanak turut bergotong-royong mengumpul rumput di padang bola

Kerja bergotong-royong membabitkan lebih 100 orang bermula seawal pukul 7.30 pagi tadi turut dihadiri ketua masyarakat setempat iaitu Penghulu Lai Maya bin Gabong, Ketua Kaum Kampung Tellian Tengah, Encik Philip Yusuf bin Jabar untuk menyumbang tenaga.

Selepas ini KRT Kampung Tellian Zon 1 dan Zon 2 akan berselang-seli mengadakan satu kegiatan sebulan di mana takraw akan diadakan pada Oktober, Badminton (November) dan Bola Sepak Sembilan Sebelah (Disember).

Selain itu majlis ‘berambeh’ dijadual diadakan bersama PIBG SK Kampung Tellian sebagai upacara penutup tahun, yang bakal menyaksikan pelbagai acara diadakan membabitkan masyarakat setempat.

KRT Tellian Zon 1 dan Zon 2 merupakan dua daripada 25 buah KRT di seluruh bahagian Mukah setakat ini. Di samping itu Kampung Tellian turut mempunyai KRT Kampung Tellian Ulu terdiri daripada Zon A dan Zon B.

Seorang usahawan tempatan meluangkan masanya membersih kawasan bekas sekolah

Posted in: Pembangunan, Sarawak