Usahawan tulen mula dari ‘sifar’

Posted on September 27, 2011

0


Dayang bersama anak bongsunya Mastiah, 6

Berkat minat mendalam dalam perusahaan runcit sejak usia remaja, seorang ibu kini telah membuka pondok menjual biskut dan kuih keluaran tempatan tidak jauh dari rumahnya di Kampung Tutus Ulu, Mukah.

Dayang Bolkiah Awang Jemlai, 46, berkata dia memang ingin terbabit secara serius sebagai peruncit sejak dahulu lagi, setelah sekian lebih 20 tahun bekerja dengan bapanya membuka kantin di pangkalan feri, Batang Mukah.

Dayang bersama anak bongsunya Mastiah, 6

Menurut anak kelima daripada lapan adik-beradik itu, dia bersekolah setakat sekolah rendah sahaja atas sebab-sebab tertentu pada era 1970-an, walaupun jauh di lubuk hatinya ingin belajar seperti budak-budak lain di kampungnya sekurang-kurang sampai ke peringkat sekolah menengah.

Mengimbau kisah silam pada 1980-an, ketika rakan-rakan remaja mengenakan pakaian seragam sekolah dan duduk belajar dalam kelas, Dayang berkata dia pula sibuk menolong bapanya di kedai minum sambil memikirkan hala tujunya selepas itu sebagai budak tidak berpelajaran tinggi.

Inilah produk jualan Dayang paling laris (dari kiri) Pieak, Kuih Telur, Redam, Sepit dan sarang semut.

Walaupun agak sedih mendapati takdir menimpanya  pada masa itu, namun dia tidak pernah putus asa sebalik menerima ia sebagai dugaan hidup.

Bermula dengan rutin hariannya tiga dekad lalu, Dayang secara diam-diam memasang impian untuk membuka perniagaan sendiri suatu hari kelak. Keazaman itu datang dari hati terus disemat ke fikirannya.

Udang kering turut dijual di pondok runcit diusahakan oleh Dayang

Berkat pengalaman di kantin itulah Dayang mempelajari perkembangan jualan dan pasaran Tebaloi, lemantak, Buah Ulu, Pieak, kuih telur, redam, Sepit, Sarang Semut, ikan kering dan udang kering yang mendapat permintaan tinggi pada musim Hari Raya Aidilfitri, Kristmas, Gawai Dayak dan Pesta Kaul.

“Saya memang minat sangat nak buka kedai macam ni. Ia seperti tidak boleh dihalang. Semangat berkobar-kobar sejak dari dulu lagi memang nak bukan kedai macam ni tapi masa itu belum ada kesempatan,” kata ibu kepada empat anak itu mengimbas waktu lampau.

Jalan raya utama menambah rezeki pengusaha-pengusaha kedai runcit tepi jalan.

Dayang berkata, rancangan membuka kedai ini pada dasarnya mendapat sokongan moral suami dan bapanya, namun inisiatif adalah atas kemahuannya sendiri termasuklah rancangan dan pelaksanaan mendidirkan pondok itu yang menelan kos kira-kira RM5,000.

Jumlah itu termasuk kos modal membeli barangan permulaan seperti air tin, air botol, keropok dan biskut tradisional.

Ikan masin kering juga sangat mendapat sambutan pengunjung dari jauh

Di sebalik keghairahan Dayang merealisasikan impian itu, dia seawal pembukaan premis itu sebenar berdepan masalah berkaitan dengan kelulusan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya memberitahu mereka yang saya benar-benar ingin membuka kedai runcit, tolonglah. Malangnya permohonan pertama saya ditolak walaupun sudah merayu.

“Setahun kemudian saya memohon lagi dan memberitahu mereka kalau saya tidak ada lesen nanti kamu (PBT) kata saya buka tanpa kebenaran.

“Syukurlah hanya selepas pergi ke pejabat mereka beberapa kali barulah lesen saya diluluskan,” katanya mengungkit bagaimana kesulitan dihadapinya sebelum mendapatkan lesen runcit di hadapan rumahnya sendiri.

Bahulu mendapat permintaan setiap hari oleh pemandu lori sebagai alas perut

Walaupun tidak lagi beroperasi di tempat lama berikutan khidmat feri tidak diperlukan lagi selepas pembinaan jambatan menyeberangi sungai Mukah siap lapan tahun lalu, tetapi kata Dayang pelanggan tetap masih berhubung dengannya.

Lagi pula kedudukan pondoknya di laluan jalan raya utama. Kuih Bahulu paling laku dibeli oleh pemandu-pemandu lori pembawa arang batu.

Sebelum membuka pondok tersebut, dia hanya berjual di pasar tamu pekan lama Mukah pada setiap hujung minggu. Menyedari kekangan masa dan tanggungjawab terhadap keluarga menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berhenti berjual sementara waktu.

“Saya tidak senang duduk sahaja di rumah. Sebab itu saya juga pernah berjual di bawah payung di tepi jalan situ (sambil menunjukkan arah tepi jalan beberapa meter dari pondok didirikanya sekarang).

“Barang yang saya jual ialah kuih dan biskut tradisional seperti Tebaloi, Sepit, Redam, Sarang Semut dan kuih telur daripada penduduk dari Kampung Seberang termasuklah Tetus Ulu,” ujarnya.

Kuih Bunga

Begitulah usaha Dayang sebelum pondok seluas kira-kira 12′ X 12′ itu didirikan. Produk kotej kampung memenuhi 70 peratus ruang dalam premis berasaskan papan itu.

Menurut Dayang, keadaan jalan Mukah/Selangau yang dinaik taraf dan siap sepenuhnya telah menggalakan lebih banyak tempahan oleh masyarakat dari luar diterima seperti musim Pesta Kaul pada April lalu.

“Mungkin sebab jalan raya tersebut selesa dan mengambil masa kira 30 minit saja dari simpang masuk Selangau ke simpang pekan Mukah.

“Kebanyakan di kalangan pembeli yang jarang kelihatan muka mereka sebenarnya berasal dari sekitar Mukah juga. Mereka sesekali sahaja bercuti balik kampung. Sebelum pulang mereka membeli produk makanan tradisional sebagai oleh-oleh.

Kuih redam

Lebih mengagumkan, kedainya beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam namun tidak merungut dalam mengurus anak-anak kecil, yang masih dalam tahun Tahun Satu, Tahun Empat, Tahun Enam dan Tingkatan Dua.

Dayang, saya simpulkan sebagai seorang usahawan tulen yang gigih berusaha dari tahap ‘sifar’ dan tidak keterlaluan semangatnya boleh dijadikan teladan kepada masyarakat Bumiputera yang ingin berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan berskala kecil terlebih dahulu.

Mesej yang cuba disampaikan ialah apa yang penting dalam diri seseorang usahawan ialah daya usaha serta ikhtiar sehingga ia mencapai sesuatu matlamat tanpa mengira apa tahap pendidikan anda.