‘Mulid’: Lambang kasih sayang sejati

Posted on September 29, 2011

0


Penampilan ‘a mulid’ dengan terendak ulid dan sarung ‘lugik’ berusia 100 tahun.

Melanau Liko, sekumpulan kaum minoriti di Sarawak mempunyai salah satu amalan berkabung yang bukan sahaja agak aneh tetapi  juga berisiko kepada pengamalnya.

Konon cerita seandai si pengamal tidak menjalankan kewajipan itu penuh teliti  dan berhati-hati selama 15 bulan tempoh berkabung maka malapetaka akan timbul.

Kepercayaan mistik itu dipanggil mulid – suatu yang diamalkan oleh wanita kaum tersebut sebagai lambang kasih sayang sejatinya terhadap ibu atau suaminya yang telah meninggal dunia.

Penampilan ‘a mulid’ dengan terendak ulid dan sarung ‘lugik’ berusia 100 tahun.

Penampilan a mulid tampak menggerunkan kerana selain terendak ulid (saiz diameternya lebih besar daripada terendak biasa), sarung lugik (tenunan) dikenakan di kepala setiap kali keluar rumah.

Pengamal berpakaian kurung serba hitam. Di bahagian bawah leher baju ditusuk jarum berikat benang putih sebagai penangkis unsur jahat.

Di samping itu, di atas terendak dilekatkan dengan jengayak iaitu sejenis anyaman daripada daun tigoh). Terendak diikat tali di dua penjuru sisi dan satu depannya untuk digigit supaya ia tidak diterbangkan angin ketika berperahu atau berjalan.

“Risikonya jika wanita (a mulid) terbabit tidak mengikuti syarat-syarat ketat ditetapkan maka dia berhadapan risiko dirasuk unsur jahat sehingga merana sepanjang hayat,” kata seorang penyimpan khazanah lama di Kampung Tellian Tengah, Mukah.

Seorang balu (berpakaian serba hitam dan berterendak iseng) kematian suami masih dalam tempoh berkabung, ketika menghadiri acara pengebumian di kampung berjiran

Ya, bagi saya pun sebagai generasi baru, amalan itu memang agak menjengkelkan kerana ia adalah amalan pagan sebelum kedatangan Kristian di kampung itu.

Walaupun sukar diterima akal, namun kalau sudah keadaan ghaib berlaku apatah lagi ia tidak dapat diselami pemikiran manusia.

Dengan hujah itu maka saya tidak boleh nafikan dalam masyarakat Melanau Liko dahulu kala seperti juga kepercayaan animisme di mana-mana pun muka bumi yang penuh misteri ini.

“Sebab itu kata orang tua-tua, kalau seseorang itu ingin jadi a mulid, dia terlebih dahulu mesti fikir masak-masak. Ini bukan perkara main-main…nanti ‘lupa’ (melanggari ‘syarat’)

“Dia mesti mengambil serius pantang larang, kerana musibah sangat dahsyat kalau terleka,” ujar lelaki tadi.

‘Terendak ulid’ yang dianyam menggunakan daun iseng dan kulit buluh dan kahed rotan memiliki pelbagai corak khas.

Saiznya lebih besar daripada terendak biasa seperti mana digunakan oleh wanita-wanita Melanau melindungi kepala daripada matahari dan hujan hari ini.

Memandangkan pakar buat terendak ulid sudah meninggal dunia, boleh dikatakan ia sudah ditelan zaman.

Pada zaman moden ini tiada lagi kelihatan a mulid dan kerana pengaruh agama Kristian di kalangan masyarakat di situ menegah perkara berunsur tahyul.

“Itulah masalahnya…lagi pula orang-orang tua-tua dahulu tidak menggalakkan orang muda membuatnya kerana ia banyak pantang larang,” jelas beliau ditanya mengapa tradisi membuat terendak ulid tidak berkesinambungan seperti terendak biasa.

Terendak Matu dan Terendak Igan laris semasa musim Pesta Kaul

Tidak seperti terendak biasa, jelas beliau, ia akan dibuang selepas tamat tempoh berkabung setahun tiga bulan.

Namun tidak menafikan ada kemungkinan sesetengah kampung masih menyimpanya sebagai kenangan (jemen).

Sekalipun ada a Liko zaman moden kepingin mengamalkannya, dia perlu terlebih dahulu menempah daripada pakar buat terendak dari Kampung Igan, sebuah daerah kecil kira-kira 40 minit perjalanan darat dari Mukah.

“Di sini tidak ada lagi pembuat terendak ulid, kerana beliau sudah meninggal dunia,” jelas beliau.

Justeru, tiada lagi terendak ulid buatan asli sedari dululu. Selepas era 1970-an amalan berulid bagaikan terus pupus kerana penduduk setempat memeluk Kristian dan membuang sebahagian besar upacara bertentangan dengan agama mereka.

Seorang ibu berusia 65 dari kampung sama, mengaku kali terakhir dia melihat a mulid ialah mendiang ibunya pada 1950-an. Sejak itu tidak ada lagi amalan itu.

“Masa itu emak saya sentiasa berterendak setiap kali berada di luar rumah. Walaupun hanya ketika melakukan kerja berdekatan rumah seperti menjemur dan mengangkat pakaian.”

A mulid sebagai tanda kasih sayang. Erti a mulid tiada apa-apa untuk diberikan kepada orang yang meninggal, maka dia bermulid sebagai tanda kasih sayang mendalam terhadap si mati,” terangnya.

Ulid jauh lebih besar daripada terendak biasa

Dia sendiri tidak pernah bermulid kerana lahir pada zaman Kristian mula berpengaruh di daerah Mukah.

Namun bermulid merupakan pilihan dan dikerjakan secara sukarela oleh seorang sahaja wanita di kalangan ahli keluarga si mati.

Wanita yang kehilangan orang tersayang juga boleh menggunakan tapou (sejenis terendak berwarna putih tanpa corak, diperbuat daripada daun pokok nipah), sebagai tanda berkabung biasa.

Untuk rekod, ahli keluarga si mati daripada golongan lelaki Melanau yang masih terikat dengan adat lama biasanya mengenakan pakaian hitam dan bersarung pelikat atau songket semasa upacara pengebumian. Manakala mereka yang berasal dari keluarga Sembilan Pikul dan Tujuh Pikul turut membawa pedang khas.

Wanita ahli keluarga si mati yang berpakaian serba hitam menunjukkan dia masih dalam tempoh berkabung dan selepas setahun barulah dia dibolehkan berpakaian berwarna (tapi bukan bercorak).

Hanya beberapa tahun selepas itu barulah dia boleh berpakaian bercorak. Semua ini sebagai lambang tempoh berkabung.

Generasi muda yang tidak didedahkan perkara sebegini tidak mengetahuinya, melainkan mereka mendengar cerita itu daripada mulut orang tua atau mereka pernah mendengar cerita itu daripada ibu bapa mereka sebelum ini.

Moral ceritanya, jika cerita ini tidak diturunkan kepada anak cucu cicit baik secara lisan atau bertulis, siapa akan mengetahuinya?

Bukan untuk pujaan tetapi sekurang-kurangnya, walaupun tidak diamalkan lagi, ia masih menjadi nilai warisan sejarah keturunan.

Bukan cerita dongeng, tetapi pernah diamalkan oleh nenek-moyang mereka pada masa lampau.

Posted in: Budaya, Sarawak