Redah paya nibung

Posted on October 10, 2011

0


Nibung mendominasi suasana Hutan Hujan Tropika di satu sudut Kem Belia Mukah

Meredah hutan berasaskan tanah paya yang kaya dengan pelbagai kehidupan flora dan fauna di laluan sepanjang kira-kira 5 kilometer itu memang perit tetapi menyeronokkan.

Paling menonjol ialah rumpunan pohon nibung apatah lagi ketinggiannya melebihi 50 kaki. Dengan keadaan yang melampai ia bagaikan beraja di rimba tropika itu.

Nibung mendominasi suasana Hutan Hujan Tropika di satu sudut Kem Belia Mukah

Bagi saya tumbuhan palma ini adalah lawan dan kawan. Apabila berhampiran ia adalah lawan tetapi apabila jauh ia adalah kawan.

Sebab apabila melalui salah satu laluan dan berada dekat dengannya, kita akan rasa teruja dek duri-duri di batangnya.

Justeru, kepada anda yang ingin menguji kekuatan fizikal dan mental jangan abaikan soal kewaspadaan terhadap tumbuhan itu.

Jambatan gantung berasaskan belian setinggi kira-kira 10 meter di akhir jungle trekking

Kenapa saya berkata ia adalah kawan? Sebab apabila anda berada di kedudukan 20 ke 50 meter dari nibung, ia kelihatan seperti menyapa anda dengan lambaian dedaun nun di pucuk sana.

Berdasarkan ciri-ciri semulajadi itu, saya simpulkan nibung sebagai sebuah ‘komuniti yang bersatu padu yang mesra manusia’.

Tetapi sekali lagi awas, jangan terlalu dekat apabila melaluinya kerana di batangnya terdapat duri-duri tajam seperti duri yang terdapat pada haiwan landak!

Kalau tertusuk kulit dan daging kita, kesannya pasti sangat menyakitkan.

Adakah sebab berduri nilainya rendah di pasaran, walaupun dari segi kekerasan dan ketahanan nibung tidaklah jauh daripada kayu Belian dan Selangan Batu?

Sungai Petian adalah salah satu halangan meredah hutan

Selain tarikan dan cabaran nibung di sini terdapat banyak halangan menanti seperti merentasi anak sungai, laluan berlopak dan binatang liar seperti ular, biawak dan monyet.

Apakah reaksi anda apabila bertemu dengan haiwan liar berkenaan?

Keadaan akan hanya kembali lega apabila perjalanan tiba di atas laluan kayu Belian dan batu sebelum menaiki jambatan gantung setinggi kira-kira 10 meter di hujung perjalanan.

Di atas sana anda berpeluang untuk  menyaksikan suasana sekeliling dengan lebih meluas dari sudut atas pula, termasuk sungai kecil yang digunakan untuk berkayak.

Inilah antara gambaran ringkas saya terhadap aktiviti redah hutan di Kem Belia Mukah. Tetapi sekadar berkongsi cerita sebegini memanglah tidak cukup thrill. Oleh itu apa kata anda sendiri pergi ke sana.

KBM berkedudukan tidak jauh dari pantai, di tepi Jalan Oya kira-kira 8 km (10 minit perjalanan) dari pusat bandar Mukah.

Tempat itu memang sesuai untuk kegiatan beriadah bersama rakan dan keluarga apatah lagi sebahagian daripada lokasinya di tepi pantai dan muara Sungai Petian.

Pada dasarnya objektif mewujudkan KBM seperti juga Kem Pueh, Lundu  ialah bagi membina generasi belia yang cemerlang, gemilang, terbilang dan berkeyakinan untuk menghadapi cabaran hidup.

Pantai yang indah di kawasan Kem Belia Mukah

Sejak siap dibina pada April 1999 dan mula beroperasi tiga bulan kemudian sebelum menerima tetamu pertama pada hujung tahun sama, sehingga kini KBM telah menerima beribu-ribu tetamu dari pelbagai agensi swasta, kerajaan, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan khasnya dari bahagian Mukah.

KBM yang turut menerima tetamu sejauh Sibu dan Kuching ada memberi perkhidmatan tempat untuk memupuk semangat muhibah dan kerjasama di antara belia berbilang kaum demi perpaduan negara, di samping membentuk akhlak yang tinggi serta mengamalkan hidup berlandaskan lunas-lunas agama.

Dengan demikian tidak hairanlah ramai menyangka KBM di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) itu hanya untuk kumpulan besar, sedangkan ia sebenarnya terbuka kepada mereka yang ingin membawa rakan atau keluarga untuk berkhemah di sana.

Pengetua KBM, Encik Satar Hj. Smawi berkata, orang awam baik dari dekat mahu pun jauh memang digalak untuk menggunkan tempat itu untuk aktiviti perkhemahan sama ada secara perseorangan (Solo Camping) atau Perkhemahan Beramai-ramai (Mass Camping).

“Kita memang menggalakkan orang luar membawa rakan dan keluarga untuk berkhemah di dalam kem ini dengan sistem caj minimum.

“Setiap orang adalah dialu-alukan untuk menggunakan tempat ini, tapi dengan membuat tempahan terlebih dahulu. Siapa dulu dia dapat,” katanya.

Kayak digunakan untuk aktiviti berkayak dari hutan ke muara Petian

Antara yang paling sesuai untuk kegiatan kekelurgaan di sini ialah meredah hutan, selain berkayak iaitu aktiviti paling digemari ramai, katanya.

Mengenai jumlah peserta kumpulan lebih besar, Satar berkata kem itu yang kini meliputi peringkat fasa pertama, setakat ini mampu menampung kira-kira 80 orang dalam satu masa berdasarkan kapasti sebuah asrama sedia ada.

Beliau berkata, di samping itu kemudahan-kemudahan yang disediakan di KBM ialah rumah rehat (urusetia) terdiri daripada dua berek.

Ia turut menyediakan sebuah berek dengan kemudahan penghawa dingin mempunyai tiga buah bilik. Satu bilik dengan katil double dan dua bilik katil single.

Sementara sebuah berek tiada penghawa dingin, mempunyai tiga buah bilik iaitu masing-masing satu bilik dengan katil double, dua  bilik (katil single).

Sebuah asrama terdapat di tengah kawasan kem. Ia dibekalkan dengan tilam, bantal, selimut, cadar dan sarung bantal.

Berkayak boleh dilakukan dari dalam hutan ke muara Sungai Petian

“Asrama tersebut boleh menampung kira-kira 80 peserta di mana lima buah bilik masing-masing boleh memuatkan sekurang-kurang 20 orang setiap satu,” ujarnya.

Selain itu ia menyediakan dua buah bilik kuliah, setiap satu dapat menampung 50 orang dalam satu masa.

Makakala dewan makan boleh memuatkan sehingga 100 orang dan dewan utama pula sehingga 500 peserta.

Kadar bayaran di KBM mengikut penggunaan adalah seperti berikut:

  1. Asrama mengikut kategori pengguna

i) Penuntut (Sekolah rendah, sekolah menegah dan institusi pengajian tinggi) dikenakan RM1 seorang satu malam.

ii) Persatuan Belia; RM2 seorang semalam.

iii) Lain-lain/Jabatan Kerajaan; RM5 seorang semalam

2.  Rumah rehat/ urusetia dengan kemudahan berkipas, bilik penghawa dingin untuk semua kategori pengguna ialah RM5 semalam.

Kemudahan asrama dapat menampung sehingga 80 peserta kem

3.  Bilik kuliah semua kategori berkenaan dikenakan caj RM50 sehari.

4.  Dewan Besar untuk semua pengguna; RM100 sehari.

Bagaimanapun, kursus yang dianjurkan oleh KPSU dan agensinya dikecualikan daripada sebarang bayaran.

Pihak pengurusan KBM tidak menyediakan alatulis seperti flip chart, transparency, pen, pen marker dan kertas fotostat.

Dalam pada itu Satar dengan pengalaman tujuh tahun bertugas sebagai ketua pentadbiran di KBM berkata, tarikan tidak kurang penting di tapak aktiviti lain ialah zip tower (artificial rock climbing), rapelling/abseiling, flying fox.

Menara setinggi 17meter ini adalah salah satu daya tarikan di Kem Belia Mukah

Bagaimanapun, kegiatan tersebut yang berasaskan menara setinggi 17 meter di situ dihentikan buat sementara berikutan kerja penyelenggaraan yang akan dilakukan tidak lama lagi.

Jenis-jenis aktiviti latihan fizikal lain boleh diteruskan seperti obstacle course, low rope course, High Rope Course, Spider Web, Wall & Beam, Pole & Tyre, Rating, Silent Arrangement, Acid River Crossing dan Butterfly Crossing.

Justeru, kepada pencinta alam dan mereka yang suka berkhemah jangan tunggu lagi. Buat tempahan sekarang dan peruntukkan masa berkualiti bersama rakan-rakan atau keluarga untuk bergembira serta menunjukkan rasa penghargaan mereka melalui kegiatan luar rumah bersama pada hari kelepasan am.

Matahari terbenam di muara Sungai Petian.

Kepada yang rasa teruja dan berminat bolehlah menghubungi KBM melalui talian:084-875689.

Posted in: Belia, Sarawak, SCORE