Pekan Sabtu Oya – Tingkat rezeki nelayan

Posted on October 13, 2011

0


Abdul Rahman mencatat hasil jualan para usahawan di kalangan wanita

Sebut sahaja Pekan Sabtu Oya, bagi masyarakat di bahagian Mukah yang pernah pergi ke sana pasti akan terbayang pelbagai jenis ikan segar dengan harga berpatutan.

Pelanggan Pekan Sabtu Oya menunggu ikan mereka dihiris seorang peniaga

Kedudukan Pekan Sabtu Oya di tepi Sungai Oya kira-kira 35 km dari bandar Mukah dikunjungi ramai pada setiap hari Sabtu, termasuk penduduk dari daerah Dalat, daerah Matu dan Mukah.

Pada musim cuti sekolah, Pekan Sabtu Oya yang terletak tidak jauh dari Kuala Sungai Oya turut dikunjungi mereka yang dari jauh seperti Bintulu dan Miri jika perjalanan mereka bertemu hujung minggu.

Begitulah tidak sah perjalanan anda ke bahagian tengah Sarawak sekiranya tidak ke Pekan Sabtu Oya untuk mendapatkan ikan segar seperti tenggiri, tongkol, bawal dan jamah.

Tidak ketinggalan ialah udang ‘swalo’ dan ketam sungai yang sentiasa menjadi rebutan pembeli. Bagi mereka yang sampai lebih daripada pukul 9 pagi, mungkin mereka akan terlepas daripada melihat gelagat pembeli yang ingin mendapatkan ikan segar terus dari bot nelayan.

Kepada penggemar ikan salai, boleh membelinya daripada pengusaha yang beroperasi seawal pukul 6.30 pagi hingga 12.00 tengahari.

Ikan salai disediakan seorang makcik di hadapan kantin

Pengerusi jawatankuasa Pekan Sabtu Oya, Encik Abdul Rahman Rafaee, 55, berkata Pekan Sabtu Oya, yang telah dinaiktaraf sejak tahun 2005 menerusi dana disalurkan oleh Kerajaan, telah mengalami banyak perubahan ketara.

Menurut Abdul Rahman, kerja menaiktaraf termasuk bumbung lebih elok (tambahan kepada kanopi 20′ x 20′) menerusi peruntukan daripada Ahli Parlimen Mukah, Dato’ Sri Muhammad Leo Toyad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat, Datuk Fatimah Abdullah.

Menurut Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Anak Numpang dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pernah berkunjung ke Pekan Sabtu Oya tidak lama dahulu.

Pekan Oya terletak 1km dari Pekan Sabtu Oya dan dihubungi jalan raya elok ke Dalat

“Mereka tidak menyangka jumlah orang yang datang ke situ mencecah beratus-ratus orang, kerana sebelum ini mereka hanya mendengar cerita dari orang tentang pekan itu.

“Tan Sri Jabu mahu bekas pejabat Jabatan Kerja Raya yang dalam keadaan sudah buruk dekat Pekan Sabtu Oya dibaik pulih. Beliau kata mahu menjadikan tempat itu sebagai kantin untuk memenuhi permintaan pengunjung termasuk pelancong asing.

“Sementara Abang Johari kata akan mencantikkan tebingan Pekan Sabtu dengan suatu binaan lanskap di bahagian tebingan,” ujar Rahman sebagai penghubung utama kepada projek perintis itu dengan ahli politik.

Tebingan berhampiran Pekan Sabtu Oya akan dinaiktaraf pada masa akan datang.

Diilihamkan oleh Dr. Leo lama dahulu, Pekan Sabtu Oya semakin popular di kalangan penduduk masyarakat di bahagian tengah Sarawak sebagai pusat menjual pelbagai jenis ikan segar dengan kadar harga berpatutan.

Segilintir daripada mereka akan turun terus ke jeti untuk mendapat ikan daripada nelayan. Ini adalah senario biasa anda dapati apabila pergi ke pekan itu antara pukul 7.00 hingga 9.00 pagi.

Kadang-kadang ikan tak sempat sampai Pekan Sabtu Oya, sudah dibeli di jeti berhampiran

Tetapi berbeza dengan market ikan di pekan lama Mukah yang hanya 30 minit perjalanan darat dari sana, Pekan Sabtu Oya sering menjadi tumpuan ramai untuk tujuan bersiar-siar bersama ahli keluarga dan rakan-rakan, sekalipun tidak membeli apa-apa.

Sebelum dinamakan Pekan Sabtu Oya, ia lebih dikenali sebagai pangkalan feri. Sejak khidmat feri dihentikan lima tahun lalu, selepas Jambatan Oya siap dibina dan dibuka kepada pengguna jalan raya Oya-Igan, tempat itu kurang dikunjungi.

Jambatan Oya menghubung Mukah dengan Igan, Matu dan Daro.

Kebanyakan nelayan dari Kampung Bakong, Kampung Kuala Tengah, Kampung Kuala Hilir, Kampung Boom dan Kampung Senau menjual hasil tangkapan mereka dengan harga borong kepada orang tengah.

“Perniagaan sebegini tidak menguntungkan nelayan terbabit. Sudahlah bahan bakar bukannya murah… Kalau dah jual borong susahlah mereka,” jelas Rahman yang pernah menjadi nelayan selama 35 tahun.

Pekan Sabtu Oya menjadi tarikan seisi keluarga

Tetapi kini sejak Pekan Sabtu Oya semakin popular, mereka sendiri terus menjual ikan-ikan pada harga yang baik kepada para pengunjung.

Mengikut Laporan Jualan Tahunan Penaja Pekan Sabtu Oya, hasil jualan pada tahun 2005 adalah RM51,157.00, sebelum naik ke RM120,179.00 pada 2006, RM280,352.00(2007), dan RM803,914.00(2008).

Jumlah empat tahun terbabit ialah RM1,255,602.00. Manakala pada tahun 2009 ialah RM1,361,386.00.

Tahun lepas, RM1,860,587.00. Ini bermakna jumlah keseluruhan sehingga tahun lalu ialah kira-kira RM4.5 juta.

Sehingga suku pertama yang dicatat Mac lalu jualan di tapak itu ialah kira-kira RM300,500.00.

Pada luar musim tengkujuh ditawarkan tenggiri pada RM14 hingga RM16 sekilogram, tongkol bunga (RM6/kg), tongkol tuna (RM12/kg), jamah (RM14/kg), layar (RM6/kg), terusan (RM12/kg), payak jenis swalo (RM17/kg).

Sementara ada juga ikan yang dijual secara ikatan seperti empirang RM6 seikat, puput kecil (RM6), keburak (RM7).

Selain ikan Pekan Sabtu Oya turut membuka peluang kepada petani untuk menjaja sayur-sayuran dan golongan wanita berjual secara kecil-kecilan seperti biskut tradisional dan ikan masin kering.

Abdul Rahman mencatat hasil jualan para usahawan di kalangan wanita

Rahman turun ke Pekan Sabtu Oya seawal 7 pagi untuk membuat pantauan. Sebelum tengah hari dia memungut yuran sewa sebanyak RM2 daripada 60 ahli Pekan Sabtu Oya.

“Kita bersikap anjal dalam hal ini. Kalu hasil jualan mereka tidak seberapa kita akan pertimbangkan. Dan kita tidak akan memungut yuran sewa. Hasil kutipan itulah digunakan untuk belanja pengurusan Pekan Sabtu Oya,” katanya.

Abdul Rahman berdiri di tapak Pekan Sabtu Oya, yang lengang pada hari lain

“Misalnya kalau penjual kuih-muih menjual kurang daripada RM30, saya tidak akan kutip.  Begitu juga penjual ikan yang mendapat kurang daripada RM100, saya tidak kutip,” ujarnnya.

Rahman menjelaskan selalunya mereka merekodkan jualan jauh dari paras mampu untuk membayar.