Hala tuju industri rumbia cerah

Posted on October 17, 2011

1


Penundaan rakit rumbia melalui sungai masih relevan

Serakit rumbia kadang-kadang dibiar beberapa hari di dalam sungai

Harga rumbia, khususnya di kawasan daerah Dalat terus naik dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.

Kilang besar di Dalat membeli dengan kadar RM12.00 hingga RM15.00 satu keratan (log) sejak awal tahun ini, berbanding RM7.00 hingga RM8.00 pada tahun 2008…dan RM9.00 hingga RM10.00 pada tahun lalu.

Sedangkan sebelum tahun 2000 harga sekerat rumbia berukuran kira-kira tiga kaki tidak pernah melebihi RM5.00.

Untuk rekod pada era ’60-an dan ’70-an, harga rumbia hanya RM1.50 hingga RM2.00 sekerat. Sebagai perbandingan, harga gula ketika itu hanya 20 hingga 50 sen sekilogram.

Rumbia dari dalam hutan jalan Mukah-Oya akan diangkut menggunakan lori

Lebih mengejutkan, apabila sebuah kilang di Batang Igan yang terletak kira-kira sejam perjalanan darat dari pekan Dalat menawarkan RM16.00 hingga RM20.00 untuk setiap log.

Sedangkan tiga kilang utama di sekitar kawasan Mukah pula membeli dengan kadar lebih rendah, iaitu RM6.00 hingga RM6.50 setiap log.

Kalaulah kenaikan harga menjadi ukuran kepada perkembangan industri rumbia di Sarawak, bermakna tidak keterlaluan saya simpulkan bahawa hala tuju industri rumbia cerah.

Hal ini demikian berikutan permintaan terhadap sumber mentah itu telah meningkat dengan kepelbagaian penggunaannya hasil R&D berpuluh tahun lalu oleh agensi kerajaan, swasta dan institut pengajian tinggi.

Bayangkan sahaja kesannya ialah kenaikan harga rumbia khasnya di Dalat telah berlaku tiga kali dalam tempoh tiga tahun sejak 2008.

Pohon-pohon rumbia di tepi jalan Dalat

Berdasarkan rekod, ia adalah kenaikan paling tinggi dalam sejarah industri rumbia di Sarawak, selaku pengeluar utama di negara ini.

Kilang-kilang utama berebut untuk mendapat rumbia sehingga menimbulkan perang harga antara mereka semata-mata untuk memastikan kilang tidak terputus bekalan daripada penjual.

Pada dasarnya nilai sepohon pokok sagu yang cukup matang untuk ditebang dan kemudian dikerat kepada 10 keratan sekarang ini adalah antara RM60.00 hingga RM130.00.

Seorang makcik membawa penuh tepung lemantak yang diproses daripada rumbia hasil ekstrak

Ironinya ialah sebilangan daripada 67,957 hektar keluasan rumbia di negeri ini 43,426 hektar ditanam oleh pekebun kecil dan 24,531 hektar oleh estet.

Dalat sahaja mempunyai keluasan 28,745 hektar kawasan kebun rumbia. Tetapi kebanyakan bukan diurus secara komersial seperti kelapa sawit.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri merangkap ADUN Dalat, Datuk Fatimah Abdullah berkata, sepatutnya dengan mekanisme dan harga tinggi di pasaran dunia pengurusan rumbia mesti lebih cepat dan banyak.

“Justeru pendekatan bersepadu perlu, bukan selepas tanam tinggalkan sahaja dan apabila perlu wang barulah ditebang.

“Ini (urus secara komersial dan bersepadu) penting sebab lebih daripada 50 peratus keluasan rumbia merupakan milik pekebun kecil,” tegas beliau dipetik dari sebuah akhbar tempatan.

Seorang pembeli rumbia kembali daripada menunda rakit rumbia di Sungai Tellian

Perkembangan itu kata Fatimah yang sentiasa perihatin terhadap nasib rakyat di kawasanya, merupakan suatu yang sangat baik kepada penduduk tempatan yang memiliki tanah ditanam dengan pohon palma itu.

Peningkatan harga tepung semakin ketara berikutan permintaan tinggi produk sagu di pasaran luar iaitu mencecah RM1,239.00 satu tan metrik sejak Mac 2008. 

Sarawak merupakan pengeksport tepung sagu terbesar dunia dengan eksport tahunan sebanyak 25,000 hingga 50,000 tan metrik terutama ke Semenanjung Malaysia, Jepun, Taiwan dan Singapura.

Sagu dimakan dengan pisang menjadi kegemaran masyarakat Melanau

Manakala, dari segi kegunaannya pula, ia boleh dijadikan makanan berasaskan sagu, produk bukan berbentuk makanan seperti adhesives polyester plastics, enzim, produk farmaseutikal dan kosmetik.

Dalam pada itu bahan buangan dari kilang juga boleh dimanfaatkan untuk membuat perabot, dan juga etanol.

Di Mukah sudah ada kilang memproses sos berasaskan tepung sagu.

Ternyata zaman sudah berubah, penggunaan sagu tidak terhad kepada untuk keperluan makanan harian sahaja seperti untuk dibuat tebaloi, sagu, sagu kelapa dan linut (tepung sagu yang sudah menjadi gam).

Tebaloi kotak adalah salah satu kegiatan kotej

Malahan kita bukan lagi bercakap pasal tebaloi dalam kotak yang dibuat secara kotej. Jumlah itu terlalu sedikit dan tiada daya saing. Atau hanya untuk dibuat butiran sagu untuk dijual di kampung atau diberi kepada saudara jauh sebagai buah tangan.

Pelabur mendapati industri kelapa sawit lebih menguntungkan dan cepat mendatangkan hasil

Sebalik seperti juga industri kelapa sawit yang menghasilkan minyak, hari ini kita bercakap mengenai industri rumbia untuk keperluan kilang dengan kapasiti optimum mampu memproses kira-kira 1,000 log rumbia dalam masa 18 jam beroperasi.

Namun timbul pula jumlah pengeluaran sumber tersebut kadang-kadang agak terhad dan tidak konsisten sehingga mewujudkan suasana tidak seimbang antara bekalan dengan permintaan.

Sedangkan kilang besar yang setakat ini terdapat lima buah di bahagian Mukah berupaya memproses dengan banyak rumbia untuk dijadikan tepung sagu sebelum dieksport.

Pihak Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) telah berusaha untuk mengatasi perkara itu bahkan ada insentif ditawarkan kepada para pekebun kecil oleh agensi kerajaan itu untuk menebas dan menyelenggara kebun mereka.

Usaha itu tidak berjaya ekoran ketidakpercayaan serta kebimbangan sebilangan pekebun kecil terbabit terhadap tanah mereka akan diambil oleh PELITA pula.

Perkara ini mudah difahami kerana hanya rumbia matang sahaja boleh ditebang. Itu pun perlu menunggu lapan ke 10 tahun barulah isinya padat dan ada nilai komersial.

Sebab itu, bagi pemilik tanah mereka tidak perlu tergesa-gesa untuk mengupah orang lain untuk menebang sehinggakan ada keperluan terhadap wang itu pada waktu sangat memerlukan wang lebih atau kesempitan kewangan bagi belanja anak sekolah.

Penundaan rakit rumbia melalui sungai masih relevan

Keadaan ini bagaikan suatu budaya hidup masyarakat di sana. Tetapi budaya sebegini tidak begitu memberansangkan terutama dalam menyumbang kepada ekonomi negeri ini, justeru perlu dikikis.

Melihat perkara ini dalam diam-diam, saya berharap suatu hari nanti ada saintis lahir dengan satu idea pengkomersialan rumbia ke arah bentuk lebih ‘advanced’ dengan memperkenalkan kaedah penanaman rumbia baka cepat membesar dan matang sekurang-kurang dalam tempoh tiga tahun, ia sudah boleh ditebang.