Laut lubuk ikan, tanahnya subur…

Posted on October 21, 2011

0


Market ikan di tepi Sungai Mukah sentiasa dikunjungi ramai pada sebelah pagi

Peluang anak tempatan dalam menikmati kemakmuran ekonomi di Mukah, bahagian tengah Sarawak semakin terbuka luas sekarang, lebih-lebih lagi jalan raya Selangau-Mukah siap sepenuhnya enam bulan lalu.

Dan dalam masa setengah tahun ini sahaja, saya mendapati sambutan terhadap ikan turut meningkat sehinggakan harga jualan terhadap sumber laut itu pun boleh dikatakan mahal.

Seorang nelayan sedang mengagihkan jenis ikan di dalam perahu di tepi sungai Mukah

Bak kata seorang rakan yang sudah lebih lima tahun kembali bekerja di tempat kelahirannya itu, taraf hidup di Mukah naik mendadak sejak tiga tahun kebelakangan.

“Harga ikan sentiasa panas, jangankan macam ikan tenggiri pada purata RM18.00 sekilogram. Bawal hitam pula RM20.00 dan bawal putih RM30.00. Kalau orang bergaji rendah macam saya mana boleh beli ikan mahal.

“Mukah bukan lagi macam dulu, taraf hidup di sini kian tinggi. Bezanya di sini saya tidak menyewa, lagi pula rumah tidak jauh dari pejabat dan jalan raya tidak sesak seperti di bandar besar,” ujarnya.

Market ikan di tepi Sungai Mukah sentiasa dikunjungi ramai pada sebelah pagi

Sebilangan besar hasil laut itu diperoleh oleh para nelayan yang beroperasi di kawasan perairan persisir Kuala Rajang, Tanjung Sirik sehingga ke  pesisir kawasan Balingian dengan menggunakan bot kecil dan sederhana.

Sengaja saya menyentuh pasaran dan jualan ikan di bandar Mukah dan lubuk ikan dan udang sebagai memberi gambaran awal kepada garis ukur kepada isu kemakmuran ekonomi di bahagian ini.

Sesar, iaitu udang kering, bernilai RM80.00 ke RM100.00 sekilogram

Lagi pula mudah untuk mengaitkan industri perikanan dengan industri desa berkaitan hasil laut di situ seperti sesar yakni sejenis udang yang dikeringkan sebelum dijual dengak kadar harga antara RM80.00 hingga RM100.00 sekilogram.

Walaupun perladangan rumbia dan kelapa sawit (280,455 hektar) adalah sumber utama ekonomi bahagian ini, skalanya adalah terlalu besar dan masing-masing dipengaruhi harga tepung dan minyak antarabangsa.

Tebaloi dibungkus secara manual diusahakan di kampung-kampung

Maka kedua-duanya tidak sesuai untuk dijadikan ukuran, melainkan industri berkaitan kotej sumber tepung sagu yang maju di kampung-kampung dan pekan-pekan kecil.

Sedangkan pasaran dan jualan ikan yang didaratkan di market pasar lama Mukah boleh dilihat dengan mata kasar dan urusannya mudah kerana di situ umpama tumpuan pembeli dan pemborong.

Dari sana juga kita dapat tahu harga semasa dan bagaimana sambutan orang ramai terhadap keperluan itu termasuk penduduk luar.

Tidak cukup dengan itu warga China yang bekerja dengan syarikat besar di pinggir bandar juga suka membeli ikan di market basah.

Mengikut rekod pada 2003, jumlah tangkapan perikanan laut di Mukah ialah 80.763 tan metrik dengan nilai RM369 juta.  Sementara tangkapan perikanan darat ialah 219 tan metrik.

Selain sektor pertanian (rumbia khasnya), perikanan juga menjadi pendukung kepada industri pemprosesan yang semakin berkembang di daerah Mukah, Daerah Kecil Dalat dan Daerah Kecil Belawai.

Keropok ikan dan udang dijual secara meluas di market kering

Untuk rekod: bilangan penduduk di seluruh bahagian pada tahun 2004 ialah 107,671 orang. Daripada jumlah tersebut 53,066 adalah perempuan dan 52,275 adalah lelaki.

Dalam daerah Mukah sahaja terdapat kira-kira 25 ribu orang, Dalat (14 ribu), Matu (5 ribu) dan Daro (9 ribu).

Bandar Mukah adalah satu-satunya destinasi komersial bertaraf bandar dalam bahagian ini. Sembilan lagi adalah pekan kecil.

Di samping 149 buah kampung, bahagian ini yang baru dinaik sebagai bahagian pada 2002 mempunyai 281 rumah panjang. Daripada jumlah tersebut daerah Mukah mempunyai 51 kampung, Dalat (31 buah), Matu (30), Daro (36).

Manakala rumah panjang di kawasan daerah Mukah ialah 211 buah. Dalat (24 buah), Matu (18) dan Daro (28).

Dari segi penggunaan tanah pun bertambah.  Misalnya pada 2004 kira-kira 48,198 hektar (ha) tanah adalah untuk tujuan kediaman, berbanding 43,854 ha pada tahun 2003.

Jumlah keluasan itu termasuk dalam keluasan keseluruhan tanah dalam bahagian tersebut yang diwartakan sebagai mixed-zone ialah 240,639 ha dan tanah Bumiputera (38,593 ha).

Nenas ‘sawit’ di tanam di daerah Dalat paling popular di kalangan penduduk tengah Sarawak

Dalam tahun sama, bidang perindustrian pula diperuntukkan seluas 48,458 ha berbanding 41,748 ha tahun sebelumnya.

Selain itu ialah tanah untuk pertanian sudah mencapai keluasan 47,801 ha (41,492 ha tahun 2003). Pada dasarnya di seluruh bahagian ini, lebih 277,153 hektar atau 40 peratus tanah diperuntukan untuk pertanian dan perladangan khasnya rumbia dan kelapa sawit.

Harus diingat, Mukah memiliki Hutan Paya Gambut meliputi kira-kira 83,000 ha atau 81 peratus keseluruhan hutan di bahagian ini.

Sebilangannya terletak dalam kategori Hutan Simpan seluas lebih kurang 134,000 ha. Walaupun keluasan itu mengatasi tanah untuk tujuan pertanian iaitu seluas 66,762 ha, tetapi tanah yang diwartakan sebagai kawasan perladangan (211,391 ha) tetap terbesar.

Sarang burung walit dari bahagian Mukah turut di eksport ke pasaran antarabangsa

Selain lautnya sebagai lubuk ikan dan tanahnya subur untuk pertanian, perladangan serta kesuburan hutan semulajadi, Mukah juga kini turut menjadi lubuk sarang burung walit sebagai produk terbaru bagi kategori ternakan paling pesat berkembang di negeri ini.