Menjejak Inovasi Komersil di Bahagian Mukah

Posted on December 15, 2011

0


botbalingian1

Sarawak merupakan destinasi ketiga Jejak Inovasi, program inisiatif bersama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selepas pertama kali diadakan di Melaka pada bulan Julai dan Sabah pada bulan September 2011.

Seperti juga Jejak Inovasi di kedua-kedua negeri terbabit, program tersebut di Bumi Kenyalang ini yang bermula 21 hingga 23 Oktober lalu juga mengenalpasti hasil ciptaan serta idea penduduk di luar bandar sebagai produk digunakan dalam kehidupan seharian keluarga mereka selama ini.

Kumpulan seramai lebih 70 orang itu menjelajah ke Bahagian Mukah yang merangkumi Daerah Mukah, Daerah Kecil Balingian dan Daerah Dalat, berjaya menjejak sembilan inovasi yang telah dinilai  para pakar industri dan wakil-wakil agensi kerajaan terbabit sambil dinilai dari sudut pembangunan bagi tujuan komersil.

Penjelajahan inovasi selama tiga hari, sekumpulan Penjejak Inovasi yang tediri daripada golongan penyelidik, saintis, pakar paten dan pegawai MOSTI serta YIM telah melawat golongan akar umbi untuk mempelajari inovasi yang dihasilkan oleh mereka.

Para penjejak turut memberikan khidmat nasihat teknikal untuk penambahbaikan inovasi serta kaedah untuk membangunkan potensi komersil inovasi.

Mereka adalah golongan sukarelawan yang mempunyai minda yang mendalam mengenai pencarian inovasi dan membantu golongan akar umbi untuk maju ke hadapan.

Pada hari pertama, rombongan ekspedisi  menghadiri Symposium on Public Appreciation of Science, Technology And Innovation dan Program Penggalakan Sains & Matematik Sarawak 2011 di Politeknik Mukah.

Hari pertama ekspedisi bermula dengan Majlis Perasmian Program Penggalakan Sains dan Matematik 2011 Peringkat negeri Sarawak sebelum upacara Flag Off secara simbolik ke atas pasukan ekspedisi Jejak Inovasi sekitar pukul 1 tengah hari.

 

Pada hari kedua Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof turut mengikuti konvoi ekspedisi selain Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr Raslan Ahmad, Setiausaha Bahagian Penggalakan Sains dan Inovasi, Datin Nur Wahidah Wong Abdullah, para pakar industri rekabentuk mesin, perkhidmatan, pembuatan, pemasaran  dan pegawai-pegawai YIM dan pegawai MOSTI serta wakil-wakil media cetak dan elektronik.

Seperti dua Jejak Inovasi sebelumnya, siri ketiga ini bukan sahaja memberi pengiktirafan malahan membuka ‘wahana’ kepada agensi-agensi kerajaan yang dapat membantu membangun dan mengkomersilkan produk terpilih untuk bertemu terus dengan pereka inovasi.

Datuk Fadillah berharap siri Jejak Inovasi bukan sahaja akan dapat mendokumentasi malahan akan menggalak perkongsian idea dan reka cipta akar umbi dengan semua sehinggalah ke peringkat antarabangsa.

Beliau berpendapat bahawa amat penting bagi kita berkongsi maklumat ini agar semua rakyat Malaysia tahu ada hasil rekacipta walaupun di kawasan pedalaman; bukti inovasi itu tiada sempadan.

Sementara itu, YIM dan agensi kerajaan berkaitan juga akan cuba membantu dalam aspek bimbingan dan bantuan untuk pengkomersilan produk berpotensi dan terpilih, seterusnya menghasilkan Peta Inovasi Malaysia atau Innovation Hotspot sebagai rujukan dan galakan untuk semua kelak.

Sebanyak 11 inovasi telah dikenalpasti berpotensi untuk dinaiktaraf kaedah penggunaan serta ciptaannya. Manakala sebilangan daripada jumlah itu mungkin boleh dikomersilkan pada masa datang.

Produk tersebut ialah ‘Mesin Lesung Elektrik’ hasil inovasi Dod Bin Nyabat dari Kampung Seberang Dalat; ‘mesin pemproses nibung’ hasil rekaan Saiden Bin Rahman dari Kampung Teh, Dalat; ‘mesin pemproses padi’ hasil ilham Bau ak Lumpoh dari sebuah rumah panjang di Kuala Balingian; ‘Bot Air Laju 3.3 kuasa kuda’ hasil ubahsuai Rezza Kamil dan ‘Bot Air Laju 6.5 kuasa kuda’ oleh Halpi Bin Tiwi; dan ‘mesin tepung lemantak’ oleh keluarga Hajiah Binti Rebi dari Kampung Tellian Ulu.

Produk-produk pensyarah dan pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Mukah juga tidak kurang menariknya, termasuk inovasi terhadap ‘Eccentric Turning Tools‘ (alat bantuan pemesinan tidak sepusat) oleh Khairul Nizam Bin Kamarudin.

Selain itu ‘Kit Mikropengawal 8052 dan LitarPensuisan untuk P&P dan Aplikasi sebenar’, suatu sistem bantuan mengkaji dan mengawal pergerakan mekanisma meknikal secara semi- atau fully-automatic oleh Norazam Bin Aliman.

Hasil sekumpulan pelajar termasuk seorang pensyarah terhadap almari pengering elektrik hasil pembangunan perisian mikropengawal dan micrometer timer switch untuk mengawal operasi sistem pengeringan automatik.

“Ringkas” – itulah andaian saya terhadap alat proses pembersihan bilah kipas yang menjimatkan masa, mudah dan efektif rekaan Amir Afuan Nordin dan lima lagi rakannya. Ia juga ada potensi untuk dikomersilkan apabila tiba masa dan sesuai tempatnya.

Posted in: Sarawak