Inovasi perlu dipamer kepada umum

Posted on December 16, 2011

0


PMU

Hasil inovasi beberapa pensyarah dan penuntut Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Mukah (PMU) mungkin boleh didedahkan kepada masyarakat umum di bandar Mukah dalam masa terdekat.

Sekalipun kebanyakan masih dalam ujian dan R&D, namun seandainya ia dipamer dan di-demo, sekurang-kurangnya langkah ini boleh membuka mata para penduduk kepada kebolehan rakyat Malaysia melakukan ciptaan seperti negara maju berinovasi seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Korea.

Ini sejajar dengan Wawasan 2020, menjadikan negara kita maju dan inovatif menjadi salah satu teras ke arah gagasan itu.

Sehubungan itu, sukacita saya berkongsi pengalaman dengan anda di luar sana mengenai ciptaan pelajar PMU yang saya sifatkan sebagai praktikal, walaupun saya bukanlah dari jurusan kejuruteraan.

Pertama sekali yang saya maksudkan ialah Ceiling Fan Cleaner (C.F.C), alat pembersihan bilah kipas yang menjimatkan masa, mudah dan efektif.

Ia adalah ciptaan bersama sekumpulan pelajar diketuai oleh Amir Afuan Nordin, dan dianggotai Chan Yew Ning, Muhammad Zaki Bin Mohammad Salleh, Fetty Zuriani Binti Mohammad, Mohd Shidiq Fadhill Bin Dilah dan Lorenzo Felippe Belare.

Menurut jurucakap kumpulan tersebut, Amir Afuan, projek mereka memakan masa 10 minggu untuk dihasilkan.

“Kami hanya melakukan inovasi 5 jam seminggu, selama 10 minggu. Masa ini adalah termasuk penambahbaikan selepas analisis dan dapatan beberapa ujilari.

“Selain itu kami juga telah menghasilkan 3 prototaip C.F.C,” katanya.

Mengenai kelebihan C.F.C, Amir menjelaskan kebaikannya termasuklah:

  1. Mampu dimiliki bagi setiap pengguna;
  2. Mudah dikendali;
  3. Berupaya membersih debu-debu pada bilah kipas dengan mudah;
  4. Boleh mengawal debu yang berterbangan sewaktu pembersihan; dan
  5. Menjimatkan masa, mudah dan efektif dengan hanya empat langkah proses pembersihan bilah kipas.

“Kami mendapat idea ini berdasarkan pemerhatian kami terhadap perubahan sikap penduduk Malaysia yang akan menuju ke arah negara maju (2020), di mana di negara maju, masa dan faktor keselamatan adalah satu perkara yang amat penting,”ujarnya.

Satu lagi ciptaan daripada PMU ialah Eccentric Turning Tools (Alat Bantu Mengajar atau ABM) hasil inovasi Encik Khairul Nizam Bin Kamarudin.

Ia antara lain memudahkan pengguna semasa proses memegang benda kerja pada ragum; menjimat masa pengguna semasa menetapkan kedudukan benda kerja pada ragum; mengurangkan penggunaan tenaga pengguna dalam memegang benda kerja; dan memastikan benda kerja berkedudukan tetap pada ragum.

“Satu kajian kes telah dilakukan bagi mengenalpasti keberkesanan penggunaan alat bantu mengajar, Eccentric Turning Tools yang dibangunkan sendiri oleh pengkaji dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi kursus amalan bengkel mekanikal di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PMU.

“Kajian ini adalah untuk mengenal pasti sama ada faktor penggunaan ABM ini mempengaruhi dari segi penggunaan masa, penggunaan tenaga serta keyakinan pelajar sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran amalan bengkel mekanikal dijalankan.

“Responden kajian adalah terdiri daripada pelajar-pelajar program Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari semester empat dan lima yang mengambil kursus amalan bengkel mekanikal di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Mukah Sarawak.

“Soal selidik digunakan sebagai instrumen kajian dan diedarkan kepada responden untuk mendapatkan maklumbalas,” jelas beliau.

Beliau berkata, dapatan kajian menunjukkan faktor keberkesanan ABM di kalangan pelajar-pelajar adalah pada tahap yang amat baik.

Cadangan dikemukakan kepada pihak Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, PMU dalam menggalakkan para pensyarah bagi menghasilkan dan mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan ABM amnya agar proses pengajaran dan pembelajaran lebih praktikal dan berkesan khususnya kepada kursus amalan bengkel mekanikal.

Dalam bahagian ini, hasil dapatan kajian yang diperoleh dari analisis borang soal selidik yang telah diedarkan kepada 47 orang responden yang terdiri daripada pelajar dari program Diploma Kejuruteraan Mekanikal di PMU.

Analisis bagi bahagian B dan C dibuat berdasarkan dapatan data yang diperoleh mengikut pecahan item–item bagi menjawab persoalan kajian dalam tinjauan keberkesanan penggunaan alat bantu mengajar, ABM, Eccentric Turning Tools oleh pelajar-pelajar semester empat dan lima dalam proses pengajaran dan pembelajaran amalan bengkel mekanikal.

Sebanyak lima item masing-masing (bahagian B dan bahagian C) telah dikemukakan kepada responden untuk menjawab soalan.

Seterusnya, Mikropengawal dikenali sebagai Kit Mikropengawal 8052 dan Litar Pensuisan untuk P&P dan Aplikasi sebenar hasil idea Norazam Bin Aliman selaku ketua projek.

Beliau bersama 11 ahli kumpulan projek Encik Mohd Fahies Bin Ismail, Gerald Corinthian Ling, Mohd Azlan Bin Lamat, Henry Anak John Francis, Redzuan Bin Lani, Heree Bin Ahmad, Fatimah Ayu Binti Sah-Menan, Percy Phylix Anak Terry Manak, Geva Teming Anak Andrew Ladi, Lawrence Anak Mayau dan Corina Anak Kuang.

“Kit Mikropengawal 8052 dan Litar Pensuisan ini dibangunkan bagi membantu pensyarah, pelajar atau sesiapa sahaja di bidang mekanikal, elektrik dan elektronik yang ingin membuat inovasi, penyelidikan atau proses P&P terhadap pergerakan mekanisma mekanikal yang perlu digerakkan secara semi-automatic atau automatic sepenuhnya,” jelas Norazam.

Selain itu, ia juga boleh dijadikan kit pengajaran bagi pensyarah atau pelajar, untuk mempelajari mikropengawal menggunakan ‘bahasa pengaturcaraan C’. Keseluruhan unit mikropengawal menggunakan bekalan kuasa 5V DC.

Ia menggunakan perisian Keil µVision2 untuk membuat program dalam pengaturcaraan C atau perisian-perisian lain dan menukarkannya kepada kepada HEX file. HEX file ini kemudiannya akan dibenamkan ke dalam ingatan mikropengawal menggunakan litar pembenam dan perisian ATMEL AT89SXX ISP Flash Programmer V1.3. ‘Switching Circuit’ digunakan sebagai unit suis yang dikawal oleh mikropengawal.

“Inovasi tersebut digunakan sebagai litar pensuisan bagi penggerak mekanikal atau peranti elektrik berkadar 240 VAC, 7A maksimum.

“Oleh kerana teknologi ini berkembang dengan sangat pantas, inovasi ini merupakan satu pilihan yang boleh digunakan oleh pelajar atau pensyarah atau sesiapa sahaja kerana ia ringkas, mudah alih dan Kit mikropengawal ini menggunakan bekalan kuasa daripada USB atau sumber lain,” katanya.

Mengenai Robot Pengangkut pula, Norazam menjelaskan ia dihasilkan bagi memindahkan barang dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Robot ini boleh bergerak secara ulang-alik untuk memindahkan tray dari Platform A ke Platform B.

“Kebanyakan proses kerja memindahkan barang dari satu tempat ke satu tempat yang dekat atau jauh memerlukan tenaga manusia.

“Proses kerja yang sama secara berterusan akan menyebabkan kesan kepada kesihatan, ketidakselesaan dan membosankan,” terang beliau.

Berdasarkan masalah ini, sebuah model robot dicipta untuk menggantikan tugas manusia memindahkan barang.

Ia menggunakan konsep ‘line follower’ dan ‘pick and place’ untuk mengangkat barang yang telah diletakkan dalam tray pada satu platform yang telah ditetapkan dan memindahkannya pada platform di lokasi lain.

Robot ini menggunakan modul “Kit Mikropengawal 8052 dan Litar Pensuisan” sebagai unit kawalan.

Kesimpulannya, saya sebagai masyarakat umum yang bukan membidangi kejuruteraan mekanikal berasa teruja dengan inovasi daripada paling ringkas serta mudah difahami sehinggalah yang sukar difahami.

Posted in: Budaya, Sarawak