Dekati Joki Bot Mini

Posted on December 25, 2011

0


luncur solo

Mini Regatta sempena Hari Keluarga Kampung Jebungan tahun ini merekodkan sebanyak 67 penyertaan daripada 10 pasukan bot mini sekitar daerah Mukah.

Dianjurkan JKKK kampung tersebut, ia berlangsung pada 17 dan 18 Disember, 2011.

Sukan baru yang menarik minat generasi muda di Mukah

Daripada jumlah penyertaan itu, perlumbaan kategori ‘Enjin Pam 6.5 kuasa kuda’ disertai 42 orang pelumba (joki) dan selebihnya adalah peserta bagi kategori ‘Enjin Sangkut 3.3 kuasa kuda’ – kedua-dua jenis enjin diubahsuai mengikut keperluan acara masing-masing.

Kategori Enjin Pam mula popular sejak dua tahun lalu, sementara jenis Enjin Sangkut sudah bertapak sejak 1990-an di negeri ini; kedua-duanya semakin berkembang menuju ke arah industri sukan dan mempunyai prospek cerah untuk dikomersilkan.

Seperti dijangka pasukan pilihan iaitu ‘AirAsia’ mendominasi kedua-dua acara berkenaan.

Daripada 16 penyertaan, AirAsia memenangi lima tempat pertama untuk muncul sebagai juara keseluruhan; mengetepikan saingan pasukan Angry Bird, One Piece, Master JB, OJJM, JT Racing, T.T Crew, Cikaro, Shui Kui dan Gabungan.

Penghulu Kampung Jebungan merangkap pengerusi penganjur, Encik Nikie Adim berkata, johan, naib johan dan tempat ketiga acara kegemaran ramai itu membawa pulang sejumlah wang serta piala.

“Ini adalah acara tahunan yang kita adakan sejak tahun 2002 dengan matlamat merapatkan silaturahim antara pendududuk dalam dan luar kampung ini, sambil kita berharap aktiviti berjalan lancar.

“Nampaknya saban tahun sambutan terhadap program ini semakin menggalakkan, khususnya daripada golongan belia, terutama penggemar bidang kejuruteraan mekanikal dari sekitar daerah Mukah.”

Katanya, selain perlumbaan bot mini, acara lain yang turut diadakan di sungai kampung tersebut ialah perlumbaan perahu dengan menyaksikan kategori dua hingga lapan pengkayuh.

Kemuncak program ialah pada malam Sabtu dengan pertandingan nyanyian Karaoke yang menawarkan hadiah menarik, di samping tiket cabutan bertuah termasuk tajaan Pomepure; Jus Delima 750 ml bernilai RM152.00 sebotol, di samping Jus Fusion (RM69.90), Jus Organik (RM65.00) dan Kopi Delima (RM31.90).

JUARA SUNGAI…Pasukan AirAsia

Hadiah Pomepure ditaja oleh Pomepure Healthcare Group Trading, pengedar produk Pomepure daerah yang terkenal dengan tanaman rumbia serta ikan segar itu.

Dalam pada itu, saya berkesempatan menemui salah seorang anggota AirAsia merangkap pengerusi Petanak Racing Club, Halpi Piee, 28, untuk mengetahui dengan lebih lanjut minatnya dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

“Saya dahulu merupakan salah seorang mekanik motosikal. Saya amat meminati bidang kejuruteraan mekanikal sejak remaja dan pernah berkerja di kedai mekanik motosikal untuk tempoh beberapa tahun,” kata Halpi.

Halpi yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, mengakui beliau pernah terbabit dengan perlumbaan haram semasa masih remaja, tetapi taubat sesudah mendirikan rumahtangga, sebelum menukar minat ke sukan bot mini lebih 10 tahun lalu.

“Saya pernah menjadi Mat Rempit bersama rakan-rakan sebaya yang minat dalam permotoran. Tapi kami berlumba sekadar untuk test power enjin motosikal. Kami tidak terlibat dengan kegiatan tidak diingini lain seperti pergaduhan, seks bebas dan dadah.

“Kami beranggap kegiatan kami sekadar hobi. Setahu saya, masa itu kami sungguh berpuas hati apabila sering memenangi perlumbaan sehinggakan ada pihak luar sanggup bertaruh beribu ringgit atas kumpulan lumba kami…,” ujarnya mengimbas zaman silam yang sudah lama ditinggalkan.

Untuk rekod, ahli AirAsia yang dianggotai bersama 15 lagi belia dari beberapa kampung seperti Petanak (Petanak Racing Club), Jebungan dan Teh merupakan pasukan disegani di peringkat Bumi Kenyalang dengan reputasi sering menguasai tempat pertama hingga ketiga perlumbaan bot mini.

Ditanya kenapa pasukan itu boleh menggunakan nama AirAsia (sama seperti nama syarikat penerbangan AirAsia), Halpi menerangkan nama itu secara kebetulan dan saling tidak berkaitan.

“Nama itu adalah singkatan nama beliau dan isterinya yang digabungakan menjadi ‘AirAsia’,” katanya diminta menjelaskannya berikutan bentuk nama digunakan sama dengan logo AirAsia, penerbangan tambang murah negara.

Dalam perkembangan lain, saingan saringan kedua-dua kategori bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang Sabtu dan final Ahad menarik ribuan penonton dari dalam dan luar daerah ini apatah lagi dengan kehebatan jentera AirAsia yang berwarna merah meluncur laju di atas air.

Kegiatan bot mini pada dasarnya adalah salah satu cabang bidang kejuteraan yang menguji kebolehan mekanik, terutamanya daripada segi kebolehan mereka melakukan pengubahsuaian enjin dan merekabentuk bilah.

“Dari segi kemahiran semua pelumba yang sudah biasa berlumba lebih kurang sama saja kemahiran mereka mengendali bot. Apa pun, ketika melakukan selekoh tidak boleh dipandang mudah sebab silap gaya bot tersebut boleh terbalik lalu karam.

“Begitu juga bahagian-bahagian tertentu komponen enjin yang telah diubahsuai – ia tidak banyak perbezaan antara satu sama lain kerana kami sudah saling mengetahui bahkan kadang-kadang berkongsi pengetahuan dan bekerjasama membuat inovasinya.”

Menurut Halpi, penginovasian ke atas enjin dilakukan ke atas head, kaboretor, ekzos asal digantikan selain penambahan sab serta bilah besi yang direka dalam bentuk khas. Termasuk pembelian enjin pam air kos ‘part’ adalah kira-kira RM2,000.

“Sebenarnya bot yang lebih laju banyak dipengaruhi rekabentuk daun bilah. Walaupun rekaan kelihatan sama tapi sudut darjah adalah lain, ” kata Halpi sambil membawa keluar dan menunjukkan bilah daripada kocek seluarnya.

Sambil menjelaskan kelebihan bilah rekaannya, Halpi berkata ia bukan lagi rahsia, cuma kemahiran seseorang individu merekabentuk tidak dapat ditiru oleh orang lain sekalipun sesama rakan rapat.

Bilah (dengan dua helai daun sepanjang kira-kira 30 sentimeter) tersebut dilekat pada sebatang besi sepanjang kira-kira empat kaki ke bahagian enjin.

Kaedah penggunaan ialah batang itu akan dimasukkan melalui satu saluran lubang di dasar bot, kemudian disambung ke bilah. Enjin diletak di bahagian tengah (tidak seperti enjin sangkut yang diletakkan di belakang) bot.

Dan inilah yang dinamakan inovasi dan sesuatu penginovasian yang terperinci hanya pereka berpengetahuan serta berpengalaman luas sahaja mengetahui tip berkenaan.

Apa yang menarik, rata-rata peserta terdiri daripada belia berusia 20-an dan 30-an—golongan paling ideal dalam aktiviti sedemikian.

Posted in: Belia, Budaya, Sarawak