Pelabuhan Bintulu dan Tanjung Manis nadi SCORE

Posted on December 27, 2011

0


sungaitamu

Pelabuhan, pengangkutan tepi laut dan sungai di Sarawak saling memerlukan untuk menjana ekonomi di negeri ini seperti Pelabuhan Kuching, Pelabuhan Rajang di Sibu, Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Tanjung Manis.

Kedudukan Sarawak di pulau Borneo ditambah keadaan muka bumi Sarawak yang berbukit-bukau jauh di darat dan berpaya pula di pesisir menyebabkan pelabuhan memainkan peranan penting untuk kegiatan mengimport dan mengeksport barang.

Malangnya, tidak banyak bandar di negeri ini sesuai untuk dibina pelabuhan bertaraf besar, kerana sungainya cetek (kecuali Sungai Rajang) lagi sempit menyukar kapal besar masuk atau berlabuh.

Kewujudan pelabuhan memberi kesan langsung kepada ekonomi setempat, umpamanya bandar Sibu mendapat manfaat dari Pelabuhan Rajang, yang menerima secara terus barangan dari luar negara seperti Hong Kong, Singapura dan Taiwan.

Maka konsep ‘pelabuhan laut dalam’ diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa, terutama sekali perdagangan petroleum dan kargo, seperti Pelabuhan Tanjung Manis terletak dalam bahagian Mukah.

Walaupun bandar Mukah adalah pusat pentadbiran tetapi memandangkan sungai dan pantai Mukah adalah cetek maka ia tidak sesuai untuk tujuan tersebut. Sebaliknya, kerajaan sanggup membinanya beratus kilometer dari sana – di Tanjung Manis.

Di bawah kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang akan menarik pelaburan berbilion Ringgit Malaysia tertumpu di kawasan tengah negeri, sudah pasti Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Tanjung Manis mendapat manfaaat lebih banyak.

Umpamanya, Pelabuhan Bintulu yang disokong dengan kawalselia Lembaga Pelabuhan Bintulu termasuklah untuk industri petroleum dan gas negara di samping menguruskan pelbagai kargo seperti kontena, kargo am, pukal dan lain-lain lagi.

Sebagai sebuah pelabuhan yang bertaraf dunia, khususnya di rantau BIMP-EAGA, Pelabuhan Bintulu sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti serta kemudahan sedia ada bagi mengekalkan reputasinya dan prestasinya dengan cemerlang.

Dalam tempoh hampir 28 tahun, Pelabuhan Bintulu masih memainkan peranan penting di dalam perdagangan di negeri ini dan negara umumnya.

Ia adalah salah satu pelabuhan serbaguna paling moden dan cekap di rantau Asia Tenggara berkedudukan di pesisiran laluan laut di antara Timur Jauh dan Eropah.

Satu lagi pelabuhan yang sedang mengorak langkah dan mendapat perhatian Kerajaan Negeri ialah Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Manis.

Pelabuhan tersebut berada dalam kawasan Hub Halal Tanjung Manis (HHTM) yang terletak di muara Sungai Rajang.

HHTM adalah satu destinasi pelabuhan ideal kerana ia terletak di kawasan delta seluas kira-kira 70,000 hektar yang sesuai bagi inisiatif pertanian, pemprosesan makanan, biotek dan akuakultur.

Dikatakan pelabuhan itu merupakan pelabuhan perikanan laut dalam termoden di rantau Asia Tenggara, mengendalikan 427 pendaratan kapal laut sebulan sejak dibuka beberapa tahun lalu.

Dalam tempoh itu sebanyak 3,354 tan metrik hasil tangkapan ikan laut dalam bernilai RM1.9 juta didaratkan di situ.

Pelabuhan itu merupakan satu-satunya pelabuhan di Asia Tenggara yang mendapat pengiktirafan Kesatuan Eropah (EU) kerana memiliki beberapa prasarana moden.

Dengan nilai projek berharga kira-kira RM332 juta ia mengambil konsep Pelabuhan Laut Dalam Skagen di Denmark dan memiliki kemudahan untuk aktiviti perikanan laut dalam yang lebih baik berbanding pelabuhan laut dalam lain di rantau ini.

Pada masa ini enam syarikat mempunyai operasi bilik sejuk dan memproses hasil tangkapan laut dalam untuk pengeluaran produk surimi seperti bebola ikan dan keropok ikan di situ.

Pelabuhan tersebut dikatakan mampu menampung keperluan untuk 112 kapal tunda laut dalam, 88 kapal pukat jerut dan 50 bot rawai/bubu berbanding 70 kapal mendaratkan ikan di Tanjung Manis sebelum ini.

Terletak bersebelahan dengan kawasan industri perkayuan di Muara Sungai Rajang, Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Manis bakal menjadi antara pemangkin pembangunan SCORE sepanjang 320 kilometer merentangi kawasan dari Tanjung Manis sehinggalah ke Samalaju di Bintulu.

Manakala Pelabuhan Bersepadu Tanjung Manis (PBTM) kini menjadi transit utama aktiviti import dan eksport di wilayah tengah Sarawak.

Dikendalikan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) yang dilantik oleh Lembaga Pelabuhan Rajang, PBTM telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan sejak mula beroperasi pada bulan Julai tahun 2009.

PBTM yang dilengkapi kemudahan pengendalian kargo yang moden seperti kren dermaga, kren pelabuhan bergerak, jentera penyusun dan sebagainya mampu menampung kapal seberat 20,000 Muatan Kasar Berdaftar (GRT), memiliki keupayaan untuk mengendalikan kargo umum seberat 200,000 tan.

PBTM memainkan peranan penting dalam industri perkapalan dan menyokong pelbagai industri di kawasan pedalaman khususnya HHTM dan projek lain yang dirancangkan di bawah SCORE.

Lokasi strategik pelabuhan itu dan kedalaman air yang semula jadi melengkapkan peranannya sebagai hab perkapalan.

PBTM yang merangkumi kawasan berlabuh sedalam 8.5 meter dengan jarak 25.7 kilometer dari muara Sungai Rajang digunakan untuk memunggah kayu balak dan produk berasaskan kayu dari kapal tunda.

Ia juga mampu menampung 10 kapal sepanjang 152 meter dan 4 kapal sepanjang 91 hingga 122 meter.

Kewujudan PBTM juga bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memacu pembangunan Tanjung Manis ke arah ekonomi berpendapatan tinggi melalui HHTM iaitu taman halal sehenti melibatkan aktiviti perkilangan halal serantau yang pertama di Malaysia Timur.

HHTM menawarkan pelaburan yang berpotensi dan peluang untuk meningkatkan permintaan terhadap produk halal sehingga ke peringkat global.

Dianggap sebagai Nadi Pertumbuhan Selatan dalam pembangunan SCORE, Tanjung Manis dijangka menyaksikan kemajuan pesat dalam infrastruktur utiliti dan kemudahan sosial.