‘Orang lama’…Jasamu dikenang

Posted on January 15, 2012

0


pukoksijil1

Seramai 50 warga emas termasuk 26 lelaki, berusia lebih 80 tahun di Kampung Tellian Tengah dan Tellian Ulu, Mukah diraikan dalam satu majlis khas sebagai tanda memberi penghormatan dan penghargaan kepada mereka.

Peserta paling tua, Puan Mahu Binti Assan, 96, telah menerima cenderahati berserta sijil, selain berpeluang memenangi cabutan bertuah Kopi Delima Asli tajaan Pomepure Healthcare Group Trading.

Salah seorang wakil warga emas menerima tiket cabutan bertuah daripada Timbalan Residen Mukah

Lahir Puan Mahu di Kampung Tellian Ulu pada 12 April 1915 ibu kepada penghulu Kampung Tellian Tengah dan Tellian Ulu iaitu, Encik Lai Maya Binti Gabong itu bagaimanapun tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

Beliau diwakili anaknya, Lai Maya untuk menerima cendera hati serta sijil keluaran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional(JPNIN), yang disampaikan oleh pihak berkenaan dengan disaksikan para penduduk kedua-dua kampung yang hadir.

Daripada nama-nama disenaraikan hanya 20 orang yang hadir, selebihnya menghantar anak masing-masing sebagai wakil kerana ibu bapa telah uzur setidak-tidaknya membangkitkan rasa kasih sayang terhadap golongan tua sambil mengenali mereka.

Program dinamakan Ramah Tamah Krismas anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga Tellian Tengah (KRTTT) Zon 1 dan Zon 2, JKKK Kampung Tellian Tengah dan Pejabat PBB Mukah tersebut, walaupun diadakan secara kecil-kecilan namun ia memberi suatu makna yang besar.

Para tetamu menikmati juadah yang disediakan

Majlis yang dihadiri para penduduk dua kampung tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Residen Mukah Encik Philip Peter Salam, penghulu dan ketua-ketua kaum dan pengerusi-pengerusi KRT kampung berkenaan.

“Upacara sebegini julung kali diadakan di kampung ini walaupun sederhana tetapi ia penuh bermakna untuk kita semua sebagai menghargai jasa bakti mereka dahulu sebagai orang lama.

“Kita ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan syabas atas inisiatif KRT terbabit, JKKK dan Pejabat PBB serta pihak yang memberi sumbangan untuk menjayakan majlis ini,” kata Pegawai JPNIN Bahagian Mukah, Puan Susan Anak Bennet.

Pengerusi JKKK Kampung Tellian Tengah juga merangkap penasihat KRTTT Zon 1 dan Zon 2, Encik Philip Yusup Jabar berkata, majlis meraikan orang tua adalah julung kali diadakan di kampung berkenaan.

Majlis diadakan di Dewan PIBG SK Tellian itu telah mewujudkan nostalgia 1950 dan 1960-an sekaligus mengimbau sumbangan bakti dan komitmen mereka di dua kampung berkenaan sekitar 30 hingga 60 tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, salah seorang penerima sijil penghargaan, Encik Pukok Bin Meratim ketika ditujukkan sijil rasa cukup terharu menerima dan seolah-olah tidak menyangka akan menerima penghargaan.

“Saya telah menerima sijil penghargaan, daripada siapa ni?” kata beliau tertanya-tanya sambil sejurus ditunjukan sijil.

Pukok Bin Meratim membaca siji penghargaan daripada JPNIN

Beliau membaca sijil tersebut berulang kali dengan menggunakan kekanta pembesar kerana matanya sudah tidak berapa jelas.

Pukok, 86 mempunyai dua anak, 14 cucu dan 33 cucu, yang diwakili anaknya merupakan seorang usahawan disegani pada zaman dulu, bergiat aktif dalam kegiatan memproses dan menjual rumbia pada zaman mudanya.

“Terima kasih kepada pihak berkenaan…saya dulu terlibat dalam kegiatan berdagang termasuk ke daerah kecil Balingian dengan menggunakan perahu layar menyelusuri Batang Balingian,” katanya mengimbas kembali kegiatan niaganya.

Generasi baru turut hadir menyaksi dan memeriahkan majlis

Dalam tempoh tiga bulan sejak Oktober lalu pertandingan sepak takraw, badminton dan bola sepak tertutup turut diadakan, membabitkan belia dan veteran kampung terkenal dengan tanaman rumbia itu.

Kemuncak acara hari tersebut ialah pada sebelah malam 31 Disember di mana diadakan acara bermukun bermula 8 malam sehingga 4 pagi keesokan hari, dengan menjemput mak gendang dan penggesek biola popular.

Warga emas memotong kek beramai-ramai bersama pihak JPNIN, pejabat Residen dan ketua-ketua masyarakat

KRT Tellian Zon 1 dan Zon 2 merupakan dua daripada 26 buah KRT di seluruh bahagian Mukah setakat ini. Di samping itu Kampung Tellian turut mempunyai KRT Kampung Tellian Ulu terdiri daripada Zon A dan Zon B.

Sejak ditubuhkan Jun 2011 KRTTT Zon 1 dan Zon 2 adalah yang paling aktif di bahagian Mukah, menurut Puan Susan dan pertubuhan bukan kerajaan itu akan menerima peruntukan tambahan kepada sedia ada berikutan keaktifannya.

Posted in: Sarawak