Perniagaan runcit penyumbang besar ekonomi negara

Posted on January 20, 2012

3


DSCN0614

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu melancarkan serentak 250 buah Kedai 1Malaysia D’Mart yang terdapat di semua tanah rancangan Felda di seluruh negara.

D’Mart menjual produk 1Malaysia dengan harga yang ternyata lebih rendah dari produk berjenama yang dijual di kedai runcit biasa.

“Dengan adanya kedai ini, rakyat Felda dapat berjimat sehingga 40 peratus perbelanjaan mereka dan ini dapat memberikan banyak faedah kepada mereka,” jelas Najib.

Tulisan saya ini bukan untuk menyentuh isu bukti keprihatinan kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat.

Sebaliknya, ia lebih kepada aspek pengurusan dan potensi industri peruncitan secara umum.

Dan kecenderungan Kerajaan Pusat memperkenalkan Kedai 1Malaysia adalah bukti betapa industri peruncitan berpotensi menyumbang pendapatan lumayan kepada pengusaha sekaligus mengembang ekonomi negara.

Sebuah kedai runcit di Balingian, Mukah

Tidak ramai di kalangan Bumiputera menceburi bidang peruncitan kerana tidak begitu mendatangkan untung yang besar berbanding perniagaan dalam sektor pembuatan, pembinaan, automotif dan pelancongan.

Kalau ada pun operasi mereka di kampung, perumahan atau tepi jalan umpama hidup segan mati tak mahu.

Seolah-olah mereka tidak boleh pergi ke liga lebih baik sekurang-kurang ke premis komersil untuk bersaing dengan kaum lain.

Apatah lagi marjin keuntungan bersih perniagaan kedai runcit secara puratanya ialah lima peratus sahaja.

Kita andaikan pungutan sebuah kedai runcit di kawasan perumahan ialah RM1,000, bermakna pengusaha memperoleh RM50.

Sebuah kedai runcit berskala kecil di kawasan perumahan dan kampung yang berpenduduk kira-kira 10,000 orang mampu memungut sekitar RM3,000, iaitu RM150 sehari.

Manakala kedai runcit berskala sederhana seperti kelas pasar mini dapat memperoleh pungutan secara purata RM7,000 (RM350 sehari).

Rumusannya, kedai runcit boleh menjana sekitar RM1,500 hingga RM10,500 sebulan kepada pengusaha.

Bagaimanapun,  selepas ditolak gaji, kerugian dan bil elektrik dan air, untung bersih boleh menjadi setengah.

Saya boleh simpulkan pendapatan sesebuah kedai runcit bersaiz sederhana dan diurus dengan cekap mampu memperoleh antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

Perolehan boleh meningkat berkali ganda pada musim perayaan.

Sebuah kedai runcit di Matu, Mukah

 

Sesetengah pihak berpendapat peruncitan merupakan satu bidang perniagaan yang paling mudah untuk diceburi.

Ini adalah kerana perniagaan ini mempunyai sistem organisasi lebih mudah dan operasi yang senang difahami berbanding sektor perniagaan lain.

Namun, masih tidak ramai Bumiputera bergiat dalam bidang ini atas beberapa faktor, termasuklah pusingan modal yang besar; waktu beroperasi adalah panjang, iaitu lebih 12 jam sehari dan kes kecurian berleluasa.

Ini sebenarnya cabaran; untuk berkembang pesat ia bergantung kepada pengurusan yang merupakan elemen penting di dalam mengendalikan kedai.

Sejauh mana kecekapan dan keberkesanan pengurusan menentukan untung atau rugi perniagaan tersebut, di samping aspek kerjasama kakitangan serta matlamat ditetapkan.

Menurut Shahidan Kassim dalam Chamhuri Siwar (1992), berdasarkan kepada prestasi usahawan Bumiputera dalam jangka masa Dasar Ekonomi Baru (DEB), secara umumnya masalah baru akan tetap timbul kerana dunia ekonomi atau dunia perniagaan bukanlah statik.

Ia berubah mengikut keadaan masa dan bergerak mengikut arah aliran pasaran tempatan mahupun luar.

Ia juga dipengaruhi oleh faktor ekonomi yang disebut oleh Adam Smith ‘the invisible hand’.

Sementara menurut Abu Bakar Hamed (1998), terdapat lima pengkhususan pengurusan di dalam sesuatu organisasi perniagaan.

Di dalam organisasi besar mungkin terdapat banyak bidang yang lebih khusus.

Pengkhususan yang dimaksudkan beliau adalah pengurusan kewangan, pengurusan operasi dan pengeluaran, pengurusan sumber manusia, pemgurusan pemasaran dan pengurusan maklumat.

 

Di samping itu, pengurusan sumber manusia tidak kurang pentingnya dalam melaksanakan perniagaan.

Pengurus sumber manusia terlibat dalam kegiatan yang berhubung dengan pekerja dalam organisasi.

Antara kegiatan pengurus ini adalah merancang manusia untuk organisasi, membentuk deskripsi kerja, mewujudkan sistem pengrekrutan dan pemilihan pekerja, mewujudkan program orientasi dan latihan serta pembangunan kerjaya.

Masa depan perniagaan peruncitan kini telah diancam oleh kewujudan pelbagai bentuk perniagaan terutamanya pusat membeli-belah

Kejayaan mereka tidak datang bergolek, tetapi bergelumang dengan usaha dan dugaan.

Untuk mengekalkan kejayaan setiap perniagaan, peniaga atau usahawan seharusnya terus mewujudkan motivasi dan disiplin diri yang tinggi, mencari sebanyak mungkin pengalaman atau selok-belok perniagaan dan melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan perniagaan.

Tambahan pula masa depan perniagaan peruncitan kini telah diancam oleh kewujudan pelbagai bentuk perniagaan terutamanya pusat membeli belah.

Perkembangan ini telah menyebabkan perniagaan runcit ini kurang diberi perhatian memandangkan pengurusan di pusat membeli-belah adalah lebih tersusun.

Ini merupakan satu ancaman kepada peruncit untuk lebih memajukan perniagaan mereka walaupun tidak dapat bertanding sepenuhnya dengan pelbagai tawaran oleh pusat membeli-belah.

Mengikut satu kajian, didapati amalan pengurusan perniagaan di kalangan peniaga-peniaga bumiputera masih terdapat kelemahan yang mempengaruhi kemajuan perniagaan mereka.

Para peniaga lebih menumpukan kepada pengurusan pemasaran perniagaan dalam menjalankan perniagaan mereka.

Walaupun pengurusan operasi dan pengeluaran dan pemasaran dapat dilakukan dengan baik, namun terdapat pengurusan sumber manusia dan pengurusan kewangan yang tidak dapat dilakukan dengan sebaiknya.

Bagaimanapun berkat minat, pengalaman dan keinginan tinggi, mudah-mudahan pengusaha kedai runcit di kalangan Bumiputera juga akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lain yang sudah jauh di hadapan dalam bidang berkenaan.

Posted in: Ekonomi, Sarawak