Transformasi Kepengarangan Mendepani Perubahan

Posted on January 25, 2012

0


Perhimpunan Karyawan Sarawak 2012

Perhimpunan Karyawan Sarawak 2012 berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada 22 hingga 23 Januari lalu.

Program yang lebih menjurus kepada pertemuan para pengkarya dari seluruh Sarawak itu dihadiri kira-kira 100 penggiat berkaitan penulisan.

Paling menarik pada program tersebut ialah ucaptama bertajuk ‘Transformasi Kepengarangan Mendepani Perubahan’ disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Md. Salleh Yaapar, Profesor Kesusasteraan Bandingan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan merangkap Pengarang, Penerbit USM, Universiti Sains Malaysia.

Prof. Dato’ Dr. Md. Salleh Yaapar

Prof. Dato’ Dr. Md Salleh yang juga Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengutarakan lima langkah transformasi berkenaan iaitu Berani dan Jujur; Memanfaatkan Bentuk dan Teknik Yang Bersesuaian; Merekayasa Genre Baru; Menghasilkan Karya Besar dengan Tema Yang Serius dan Peka Pada Bahasa dan Jati Diri.

Di bawah pendekatan Berani dan Jujur beliau telah menekankan agar pengarang lebih serius memikul peranan yang datang bersama kerjaya yang telah dipilihnya.

“Kerjaya pengarang adalah kerjaya yang mulia dan pengarang adalah insan yang istimewa. Pada asasnya, pengarang dalam semua masyarakat dan dari semua zaman ialah insan yang cerdik dan kreatif dalam kalangan bangsanya dan di negaranya. Ia pemerhati yang amat peka dan kritis terhadap persekitarannya.

Beberapa karyawan lain fokus mendengar ucaptama

“Sebagai seniman, ia merupakan orang yang amat kreatif dalam menzahirkan rasa, kritikan dan pandangannya demi kesejahteraan bangsanya dan manusia sejagat.

“Justeru, pengarang di Sarawak dan di Malaysia umumnya mestilah menjalankan tugasnya dengan serius sebagai perakam denyut nadi masyarakat dan bangsanya. Lebih dari itu, ia perlu menjadi hati nuraini dan jurubicara mereka,” katanya.

Menurut Md Salleh, kecerdikan dan keintelektualan insan yang bergelar pengarang terserlah pada karya yang dihasilkannya, tidak kira dalam genre apa.

Inilah yang dapat kita saksikan pada karya agung Sulalat al-Salatin oleh Tun Sri Lanang, Hikayat Hang Tuah oleh pengarang tanpa nama, malah pada ribuan rangkap pantun yang diungkap secara lisan dan cukup berkesan oleh minda Melayu zaman berzaman.

Jais Sahok antara karyawan lantang yang hadir

Salleh menjelaskan pengarang yang unggul mestilah dengan berani, jujur dan berhikmah menzahirkan perasaan, pandangan dan kritikannya tentang perkara-perkara yang diamatinya secara kreatif.

Dalam hal ehwal pentadibiran negara, umpamanya apabila ia melihat sesuatu kelemahan atau kebatilan, ia sewajarnya berani memberi teguran dan saranan untuk memperbetulkannya.

Di bawah langkah Memanfaatkan Bentuk dan Teknik Yang Bersesuaian Salleh yang mendapat Sarjana Sastera dan Doktor Falsafah (pangkat Cemerlang) dari Temple University, Philadelphia Amerika Syarikat seterus berucap seperti berikut:

Dalam menghasilkan karyanya, seseorang pengarang perlulah sentiasa mencari bentuk, teknik dan gaya yang bersesuaian dengan subjek yang diketengahkan.

Jika ia berbicara tentang cinta romantik, hubungan kekeluargaan, persoalan sosial dan lain-lain umpamanya, ia boleh sahaja menggunakan bentuk realisme seharian.

Tetapi kalau ia berbicara tentang subjek politik, pemerintahan negara, tokoh yang kejam dan seumpamanya mungkin lebih sesuai ia memanfaatkan bentuk-bentuk lain seperti alegori, distopia, dan satira yang kesannya sering cukup menarik dan mendalam.

Haji Hamzah Hamdani (kiri sekali) antara ahli panel pembahas

Yang ketiganya ialah Merekayasa Genre Baru.

Mantan Penyandang Kerusi Eropah bagi Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Belanda (2003-2006) menjelaskan, selain berusaha mencari dan memanfaatkan bentuk, teknik dan gaya pengucapan yang bersesuaian, para pengarang sastera Melayu juga boleh berusaha merekayasa genre baru.

Ini dapati dilakukan dengan mengamati genre-genre yang sedia ada di Malaysia mahupun di seluruh dunia, mengubahsuai dan menzahirkan pula sesuatu yang baru dan unik.

Dalam hal ini pengarang-pengarang kita dapat mengikut, umpama, jejak para penyair Perancis di zaman romantik yang merekayasa genre yang mereka namakan ‘pantoum’ berasaskan pantun berkait dari sastera Melayu.

Dr. Adi Badiozaman Tuah (kiri sekali) menjadi ahli panel pembentang

Bagi langkah keempat, iaitu Menghasilkan Karya Besar dengan Tema yang Serius, beliau menegaskan salah satu faktor yang boleh menjadikan sesebuah karya sastera itu besar ialah temanya yang serius dan signifikan.

Tema ini sering berkaitan dengan persoalan penting di sisi masyarakat, bangsa dan negara. Umumnya, antara tema yang penting dan sentiasa menarik perhatian ialah perjuangan dan kepahlawanan, pengembaraan dan konflik dan perkembangan diri, pembangunan dan ekologi.

“Dalam perkara ini para pengarang Sarawak dan Sabah amat bertuah kerana negeri-negeri di rantau Borneo yang indah ini secara alamiah amat kaya dengan subjek-subjek yang berkaitan dengan tema-tema yang disebutkan.

Malah, ia telah mengilhamkan pengarang-pengarang tersohor dari Barat seperti Joseph Conrad dan Emilio Salgari untuk menghasilkan karya-karya besar yang dibaca di seluruh dunia.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga YB Datuk Hajah Fatimah Abdullah merasmikan Perhimpunan Karyawan Sarawak 2012

Bagi langkah terkahir yang disebut iaitu Peka Pada Bahasa dan Jati Diri katanya, Pengarang yang unggul bukan sahaja perlu berani dan menguasai seninya, tetapi juga perlu peka pada perkembangan dan untung nasib bahasa yang digunakannya.

Hal ini penting kerana bahasa mempunyai perkaitan yang rapat dengan jati dirinya.

Pengarang sastera Melayu perlu memahami perkembangan mutakhir bahasanya dan nasib yang sedang dialami bahas itu.

Ia perlu sentiasa sedar bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia.

Justeru, sewajarnya bahasa itu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kesatuan rakyat negara ini.

Antara tokoh karyawan yang turut hadir ialah Tuan Haji Hamzah Hamdani (Gapena) dan Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah (Sasterawan Negeri Sarawak), masing-masing menjadi panel pembahas dan panel pembentang kertas kerja.

Posted in: Budaya, Sarawak, Sastera