Transformasi Pemikiran Pengarang Dalam Berkarya

Posted on January 31, 2012

0


adi2

Dalam Bajet 2012 yang bertemakan Dasar Tranformasi Nasional; Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara, Kerajaan telah menegaskan tentang pentingnya agenda pembangunan negara ini direalisasikan dengan memberi fokus kepada lima perkara berikut:

1. Meligat Pelaburan;
2. Mengungguli Modal Insan, Mencerna Kreativiti dan Mencetus Inovasi;
3. Program Tranformasi Luar Bandar;
4. Memperkejap Perkhidmatan Awam; dan
5. Meredakan Inflasi dan Mengimarah Kehidupan Rakyat.

Sasterawan Negeri Sarawak, Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah, ketika membentangkan topik bertajuk Transformasi Pemikiran Pengarang Dalam Berkarya di Sarawak semasa sesi 2 Perhimpunan Karyawan Sarawak 2012 baru-baru ini menyebut salah satu daripada lima perkara tersebut.

Seorang guru bangkit mengutarakan rintihan penulis di kalangan pengajar semasa sesi Perhimpunan Karyawan Sarawak 2012

Dr. Adi menekankan perkara kedua iaitu Mengungguli Modal Insan, Mencerna Kreativiti dan Mencetus Inovasi kerana menurut beliau ia amat berkaitan dengan perhimpunan karyawan kali ini.

“Saya berpandangan transformasi sosial peringkat global dan agenda tranformasi nasional setempat, perlu (para karyawan) jadikan rujukan dalam usaha untuk mengenalpasti dan memahami ruang-ruang serta kemungkinan-kemungkinan baru yang boleh memberi makna dan melestarikan lagi peranan kita dalam pembangunan negara dan usaha mensejahterakan rakyat.”

Latar belakang tranformasi sedemikin menurut Adi, amat menuntut para pengarang untuk melihat semula tranformasi pemikiran yang perlu berlaku.

Katanya, bagi memungkinkan para pengarang memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda transformasi sosial di negara ini amnya dan di Sarawak khususnya, beberapa transfromasi pemikiran seperti yang disenaraikan di sini perlu berlaku iaitu:

Pertama, dalam berkarya, pengarang perlu melihat keluar dari dalam diri – menulis tidak semata-mata pengalaman atau masalah peribadi yang berlegar dalam lingkungan suka-duka atau gagal jaya perjalanan hidup peribadi, tetapi mengupas juga permasalahan yang lebih luas yakni merangkumi hal-hal berkaitan kesejahteraan rakyat.

Menyentuh kelangsungan tamadun manusia dan persekitaran sosio-budaya dan ekonomi yang serba mencabar termasuk peniaga tepian jalan

Sementara dalam pembangunan negara dan keamanan dunia, pengarang hendaklah dan perlu berani dengan jujur membincang perkara yang menyentuh kelangsungan tamadun manusia dan persekitaran sosio-budaya dan ekonomi yang serba mencabar seperti yang kita alami dan lalui kini.

Seterusnya kata beliau, para pengarang harus berfikiran terbuka dan positif, iaitu tidak hanya menghambakan diri kepada penulisan yang lebih banyak berunsur fitnah, mencari kesalahan, bersifat berprasangka atau buruk sangka daripada yang membangun akal minda kritis dan kreatif.

“Para pengarang harus meneliti setiap permasalahan masyarakat secara objektif, dan sekiranya perlu kritis, maka haruslah dilakukan dengan penuh tanggungjawab. Pengarang hendaklah berkemampuan untuk mengenalpasti punca masalah atau fenomena di sekelilingnya, dan berkecekapan juga untuk mengemukakan cadangan atau langkah penyelesian masalah.

“Transformasi pemikiran pengarang dalam konteks ini adalah daripada yang negatif-pasif-sarat mengandung rasa marah, dendam dan benci, kepada pemikiran yang komited terhadap usaha membangunkan diri dan khalayak,” tegas Adi.

Adi dalam aspek ketiga berkata, para pengarang tidak boleh melihat diri mereka sebagai individu yang hidup dalam ruang budaya yang kosong, iaitu sebagai sang pengkarya yang terpisah daripada masyarakat atau khalayaknya.

“Pengarang adalah sebahagian daripada masyarakatnya – dia adalah ahli masyarakat yang mempunyai tanggungjawab sama berat seperti juga ahli-ahli lain yang berada dalam kedudukan memimpin.

“Dia perlu berperanan untuk menyedarkan masyarakat tentang perubahan atau fenomena sosial dalam masyarakatnya, di samping membantu mereka untuk memahami fenomena tersebut dan mengajak mereka untuk menterjemah kefahaman itu ke dalam tindakan pelbagai bentuk, khususnya yang boleh mengangkat darjat masyarakat.

“Hanya para pengarang yang mempunyai pemikiran sebegitu, dan amat komited untuk membawa perubahan positif kepada masyarakatnya layak diangkat sebagai karyawan sejati.”

Mengupas juga permasalahan yang lebih luas, yakni merangkumi hal-hal berkaitan kesejahteraan rakyat, contohnya di market basah dengan pelbagai kegiatan perniagaan kecil-kecilan

Dalam mesej keempat, Adi menyentuh perlunya para pengarang melihat perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai peluang baru yang boleh membantu serta memudahkan lagi penyampaian idea atau gagasan kepada khalayak pembaca yang lebih ramai.

Dalam zaman pembangunan pesat ICT, ruang bicara atau medan perkongsian pengalaman dan gagasan tidak boleh dibataskan kepada helaian buku bercetak semata-mata.

Ruang maya dan pengantara melalui peralatan multimedia yang canggih perlu juga dilihat sebagai keadaan alternatif yang serba menjanjikan dan mempunyai khalayaknya tersendiri.

Transformasi pemikiran pengarang dalam berkarya juga wajar ditempatkan dalam konteks memperluaskan rangkaian dan jaringan dengan karyawan dari bidang-bidang lain selain penulisan, demikian kata Adi dalam hal kelima di bawah topik berkenaan.

Katanya, rangkaian dan jaringan yang lebih luas akan membantu para pengarang mempelbagaikan pengalaman peribadi yang tentunya akan membantu mereka memahami dengan lebih mendalam lagi fenomena sosial.

Ilmu pengetahuan dan kefahaman yang lebih menyeluruh sifatnya pasti sekali akan dapat meningkatkan kesedaran serta keupayaan untuk mengutarakan idea dan pandangan yang lebih bernas dan jitu, sesuai dan relevan dengan keperluan khalayak.

Yang terakhir beliau memfokuskan tentang transfromasi dalam kalangan pengarang perlu juga berlaku dari aspek penguasaan kemahiran memperoleh, menguasai dan menyebar ilmu.

Pengarang berperanan untuk menyedarkan masyarakat tentang perubahan atau fenomena sosial dalam masyarakatnya termasuk remaja di kampung

“Bagi memungkinkan pengarang memainkan peranan sebagai penjana perubahan, mereka tidak boleh mengharap bakat semulajadi semata-mata untuk memberi nilai seni dan nilai keilmuan kepada karya mereka.

“Bakat yang ada perlu dilengkapkan dengan kemahiran membuat penyelidikan dan penguasaan bahasa yang baik.

“Tranformasi dari hanya menjadi pengarang kreatif kepada pengarang karya akademik atau berciri ilmiah adalah suatu yang wajar dan perlu berlaku di kalangan pengarang,” ujarnya.

Beliau menambah kata, khalayak pembaca masa kini amat kritis dan mengharap daripada pembacaan mereka bukan hanya kepuasan seni tetapi juga kepuasan intelektual.

Justeru karya yang dihasilkan perlu indah dan juga berkemampuan untuk menjana pemikiran yang tinggi.

Perkara ini mungkin hanya dapat dicapai apabila wujudnya adunan bakat semula jadi dengan usaha sedar keilmuan dalam kalangan para pengarang.

Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah menyampaikan sijil kepada Haji Mohd Yussop Ishak, Pengarah DBP Cawangan Sarawak

 

Posted in: Budaya, Sarawak, Sastera