Semangat Ngap Sayot

Posted on February 4, 2012

0


20120204-184342.jpg

Sudah lama saya tidak menulis tentang perkembangan bola sepak di Sarawak, oleh kerana rasa teruja kali ini saya ingin berceloteh mengenainya.

Secara peribadi, penulisan mengenai bola sepak akan mencetuskan sentimen dan nostalgia terhadap diri saya dalam dunia kewartawanan.

Ini bukan sahaja atas faktor minat mendalam terhadap sukan tersebut, tetapi juga ia merupakan subjek yang membangkitkan usaha saya untuk terus menulis 15 tahun lalu.

20120204-184527.jpg
Kalau bukan sebab minat terhadap bola sepak, berkemungkinan besar saya tidak akan berjinak-jinak dengan dunia penulisan pada masa itu.

Begitulah sedikit sebanyak cerita bagaimana saya yang berkhidmat sebagai pustakawan ketika itu, mula berjinak dengan dunia penulisan secara sambilan.

Ramai tahu topik bola sepak memang suatu yang universal apatah lagi ia adalah sukan nombor satu dengan jumlah peminat paling ramai di muka bumi.

Uniknya bola sepak ialah ia mampu mengumpul ramai pemain dan pada satu-satu masa di dalam padang, di lorong, gelanggang atau di pantai.

Dengan melihat skop lebih luas bolehlah saya katakan sebiji bola telah mampu ‘menyatukan’ sebegitu ramai manusia bukan sahaja di kalangan pemain, pengurusan dan kelab peminat, malahan masyarakat sejagat.

20120204-184717.jpg
Lihat sahaja aura Piala Dunia dan Liga Inggeris, betapa popular dan berpengaruhnya FIFA dan EPL sehinggakan tempiasnya dirasai setiap lapisan umur dan latar belakang kaum.

Kedua-dua organisasi terbabit bukan sahaja menjadi pasukan dan kelab elit di dalamnya sebagai lubuk emas kepada penaja, agen pemain dan kelab.

Malah pelabur berstatus bilionair menjadikan ia wahana kepada pengembangan empayar perniagaan mereka menerusi kelab-kelab gergasi terkaya seperti Barcelona, Real Madrid, Manchester United dan Manchester City.

Sementara dari sudut lain, bidang bola sepak secara umumnya adalah suatu industri yang mampu membawa kepada kekayaan tidak terhingga kepada seseorang yang berbakat besar lagi luar biasa.

20120204-185257.jpg
Dengan berbesar hati saya memberi beberapa contoh terbaik untuk diamati iaitu Armando Maradona, pemain lagenda dunia.

Di sebalik kejayaan Maradona yang kita lihat beliau sebenar berasal dari keluarga miskin yang lahir di Villa Fiorito, sebuah kawasan melarat di pinggir selatan kota Buenos Aires dalam sebuah keluarga miskin yang berpindah dari willayah Corrientes.

Bagaimana beliau boleh keluar dari kepompong kemiskinan? Itulah dikatakan takdir…seorang pencari bakat telah mengenal pasti kebolehan Maradona semasa berusia 11 tahun ketika bermain dengan kelab setempatnya, Estrella Roja (Bintang Merah).

Beliau menjadi bintang utama pasukan Los Cebollitas (Bawang Kecil), pasukan junior Argentinos Junior Buenos Aires.

Kemuncak kejayaannya ialah semasa Piala Dunia 1986, apabila beliau membantu Argentina menjuarai piala berprestij itu dengan lipatan sejarah tersendiri terhadap kebolehan dan karektornya yang dikenang sehingga ke hari ini.

Lama selepas zaman kegemilangan Maradona, rakan senegara Lionel Messi pula mencipta nama, juga seorang yang berasal dari keluarga susah dan turut mula mencipta nama ketika remaja.

Walaupun tidak setegap Maradona, namun Messi juga memiliki kemahiran individu tinggi dan amat mempersona apabila beraksi di tengah padang.

Adakah anda tahu di sebalik segala yang disaksikan, Messi pernah mengalami masalah kesihatan pada usia 11 tahun?

20120204-185008.jpg
Keluarganya berdepan masalah kewangan bagi membiayai kos rawatan penyakitnya.

Mujurlah ada insan mulia bernama Carlos Rexach pengarah sukan FC Barcelona tampil menampung perbelanjaannya bernilai US$900 sebulan.

Tetapi ia bersyarat. Dan syarat itulah menjadi titik tolak kepada keterbilangan Messi di seluruh dunia masa kini.

Sebenarnya, banyak lagi contoh nama besar dari Amerika Latin khasnya yang boleh dijadikan iktibar seperti pemain Brazil Ronaldo dan Ronaldinho, membuktikan betapa pengaruh bola sepak, dan kuasanya terhadap individu dan kumpulan organisasi.

Bagaimana pula perkembangan bola sepak di Sarawak setakat ini?

Kalau saya memetik kata Robert Alberts semasa ditemui dalam kempen Liga Super tahun lalu: “Sarawak belum cukup mantap, berbanding lima pasukan elit tempatan.”

20120204-184023.jpg
Begitulah, kita harus berpijak di bumi nyata bahawa pasukan Sarawak belum cukup memuaskan, sekalipun mereka dapat menjaringkan purata lima gol mengatasi pasukan bahagian mereka tahun lalu.

Dan setelah Liga Super berlangsung sebulan lebih, ternyata apa yang dikata oleh Alberts selaku pengendali pasukan negeri ini benar – Sarawak belum lagi dapat menandingi pasukan Terengganu, Kelantan dan PKN umpamanya.

Ditanya senario keseluruhan dunia bola sepak di Malaysia, Alberts yang pernah membimbing Kedah dengan rekod cemerlang pada 1990-an berkata, kemudahan padang perlu diperbaiki.

“Kalau anda ingin melahirkan pemain hebat, anda perlu memikirkan kemudahaan padang yang elok terlebih dahulu sebagai asas kepada pembangunan bola sepak secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta pandangan tentang masa depan bola sepak negara.

Malah semasa menyaksikan perlawanan Sarawak menentang pasukan bahagian Mukah pada Julai 2011, Alberts memberi komen bahawa keadaan padang MDDM yang beralun menyebabkan pergerakan pasukan sedikit terencat untuk mengatur strategi.

Ditanya mengenai fizikal pemain Sarawak yang kecil sebagai elemen kekangan, Alberts yang berasal dari Belanda berkata, ia bukan penentu utama, sebaliknya kemahiran dan sifat profesional jauh lebih penting.

“Pada dasarnya semua orang adalah sama dari segi fizikal…tidak kira orang Eropah, Latin ataupun Asia,” katanya.

Berbalik kepada pasukan negeri yang kini kembali menggunakan slogan keramat Ngap Sayot, apakah semangat yang ada pada pemain hari ini sama dengan semangat kental yang ditunjuk oleh anak-anak didik Awang Mahyan seperti Busman Ismail, Razak Ismail, Roslan Ismail dan Mohd Ali Sapiee (sekadar menyebut beberapa nama)?

20120204-184342.jpg
Apapun, bak kata Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Datu Sudarsono Osman, perlu memandang ke depan merancang pelbagai program sebagai usaha untuk mengangkat semula martabat bola sepak negeri.

Sebenarnya mereka sudah mencapai sasaran pertama iaitu layak ke Liga Super pada tahun 2012.

FAS tidak meletakan harapan terlalu tinggi kerana pasukan ini masih dalam proses ‘pembikinan’ ke arah sebuah pasukan elit seperti era Alan Vest (1991 hingga 1998) sebelum kali terakhir menyaksikan Sarawak ke pentas final Piala Malaysia pada 1999 di bawah bimbingan Jalil Ramli.

Posted in: Sarawak