Obsesi ‘K-Pop’

Posted on February 15, 2012

0


K-Pop_6

Obsesi!… Itulah kata hati saya secara spontan apabila mendapati minat mendalam dua adik-beradik terhadap kumpulan muzik pop dari Korea Selatan.

Saya mulanya macam tidak percaya kerana dari penampilan luaran dua gadis berusia 20-an itu tidak menampakkan mereka peminat K-Pop.

Namun, itulah hakikatnya. Mereka yang sudah ada kerjaya masing-masing sanggup berbelanja ratusan ringgit semata-mata untuk menyaksikan konsert kumpulan-kumpulan popular K-Pop dari Korea di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu.

Gadis berketurunan Cina itu yang telah memiliki kerjaya masing-masing, membeli tiket melalui Internet, lama sebelum konsert diadakan, kerana bimbang tiket habis dijual.

Dengan menaiki kapal terbang Twin Otter dari Mukah ke Kuching, destinasi mereka terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dari KLIA, mereka terus menaiki pengangkutan awam menuju ke Bukit Jalil dan tiba di sana beberapa jam sebelum konsert bermula.

Pada malam itu, mereka bersama ribuan penonton lain, rata-rata di kalangan muda-mudi begitu terhibur dengan persembahan artis pujaan mereka, terutama kumpulan lelaki.

Barulah puas hati….Tamat konsert mereka berdua kembali ke KLIA untuk terus balik ke Kuching, sebelum kembali ke Mukah.

Anda di luar sana tentu geleng kepala apabila mendapati ada di kalangan segelintir penduduk sekecil Mukah datang ke Bukit Jalil semata-mata untuk muzik dan artis diminati.

Kisah mereka sekadar untuk saya berkongsi betapa industri muzik hiburan Korea kuat mempengaruhi jiwa penonton Asia, khususnya di kalangan remaja.

Aura Korea sebenarnya bukan dalam bidang muzik sahaja. Lihat sahaja Winter Sonata – sebuah drama bersiri Korea Selatan arahan Yoop Seok-Ho yang cukup popular di rantau Asia suatu ketika dahulu.

Pengaruh siri drama lakonan Choi Ji-Woo dan Bae Yong Joon disifatkan seperti satu gerakan gelombang ke seluruh Asia, selepas disiarkan di Jepun pada tahun 2002.

Kisah cinta antara dua pelakon berwajah menarik itu turut ditonton begitu ramai peminat di kalangan wanita Malaysia, termasuk Sarawak.

Ditanya satu soalan apa kelebihan drama Korea dan kumpulan K-Pop, seorang rakan yang turut meminati kedua-duanya dengan bersahaja berkata: “Drama Korea slow dan menyentuh perasaan. Lagi pula latar tempat babak lakonan di luar sangat menarik mata memandang manakala ahli kumpulan K-Pop, wajah mereka comel-comel…”

Untuk muzik, secara jujur saya sendiri terpegun dengan persembahan Rain.

Pada hakikatnya dari segi nyanyian ketangkasan tariannya, beliau memang patut digilai ramai muda-mudi.

Tetapi Rain adalah artis solo dan mungkin kehadirannya bersifat universal sebab kebanyakan peminat muzik rancak gemar melihat aksi tangkas dan lincah penyanyi ketika membuat persembahan.

Apa yang menjadi bahan cerita ialah ‘budaya Korea’ bagaikan angin yang bertiup kencang dari utara ke sebelah selatan muka bumi, apabila kumpulan muzik K-Pop semakin digilai ramai termasuklah dua wanita tadi.

Ramai remaja tergila-gilakan kumpulan K-Pop.

Tidak kurang yang obsesi sehingga mempengaruhi cara berpakaian dan fesyen rambut mereka ala artis Korea diminati masing-masing.

Walaupun dari segi pakaian dan fesyen rambut, dua wanita yang saya maksudkan itu tidaklah menonjolkan ala artis idola, namun minat mereka terhadap muzik itu jelas dengan majalah-majalah terkumpul di rumah mereka.

Sebenarnya, kalau melihat dari sudut lebih terbuka, kegilaan sedemikian tidaklah luar biasa.

Samalah juga dengan peminat bolasepak yang sanggup berbelanja sakan membeli tiket stadium, seandainya pasukan gergasi kelab Liga Inggeris datang ke negara mereka.

Umpamanya kelab glamour Manchester United, Liverpool dan Chelsea datang bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mereka yang berkemampuan tidak lokek untuk mengeluarkan sejumlah wang membeli tiket termasuk untuk ahli-ahli keluarga.

Sebab kehadiran pasukan kelab itu mungkin sekali dalam tempoh beberapa tahun.

Walaupun mungkin bukan dalam kategori obsesi, tetapi ia adalah peluang keemasan daripada membuang masa lebih banyak wang pergi di stadium Old Trafford, Anfield atau Stamford Bridge di England.

Bezanya antara dua jenis manusia tadi ialah golongan pertama dimaksudkan lebih kepada meminati muzik, tarian seperti electro-pop, hip-hop, Rock dan R&B.

Sementara kedua menjurus kepada sukan bolasepak, sungguhpun menyaksikan bolasepak itu sendiri adalah juga hiburan.

Ini bukan sahaja berlaku di tempat kita, tetapi di negara Asia lain termasuk China, Hong Kong, Jepun, Taiwan, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Menurut sejarah muzik K-Pop di Korea, agen pencari bakat terbesar Korea Selatan iaitu S.M.Entertainment milik usahawan negara tersebut, Lee Soon Man memulakan kumpulan K-Pop berkumpulan gadis dan lelaki remaja pada pada 1995.

Hasilnya lewat 1990-an usaha seterusnya oleh YG Entertainment, DSP Entertainment dan JYP Entertainment meletup apabila berjaya mencungkil lebih ramai bakat muda dengan begitu cepat.

Antaranya S.E.S Fin. K.L, H.O.T, G.o.d, Fly to the Sky dan Shinhwa telah mencapai suatu kejayaan besar pada masa itu.

Zaman itu juga hip-hop dan R&B di Korea sangat popular dan berjaya termasuk Drunken Tiger.

Sejak itu dan mulai era milineum, K-Pop menjadi genre arus perdana di kebanyakan negara berkulit sawo matang Asia.

Apa pun ia dikatakan tidak begitu diminati di negara orang putih, walaupun ada usaha dilakukan di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Kecuali Wonder Girls, salah seorang artis muzik dari Asia paling berjaya dengan jualan album singles melebihi sejuta unit menerusi lagu Tell Me, So Hot dan Nobody.

Begitulah….Sebenarnya semua muzik baik untuk seseorang terutama bagi menenangkan fikiran.

Bak kata seorang kenalan FB, kalau sekali dia mendengar sesebuah lagu diminatinya, dia akan terus jatuh hati degan muzik tersebut sampai bila-bila.

Bagi saya pula, lagu mendiang Whitney Houston I Will Always Love You dengan suara tinggi lagi sungguh mendayu tidak akan mudah dilupa peminat muzik di kalangan masyarakat sedunia sehingga akhir hayat.

Posted in: Budaya, Sarawak