Transformasi Berpersatuan Berdasarkan Analisis SWOT

Posted on February 20, 2012

0


ja afar

“Pastikan persatuan penulis yang diwujudkan bukan setakat suka-suka berpersatuan tetapi lebih kepada memikirkan kegiatan atau menentukan arah tuju kesusasteraan, khususnya di negeri Sarawak dan umumnya di Malaysia.

“Kerajaan Negeri Sarawak akan terus menyokong dan membantu dalam usaha memartabatkan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan…”

Demikian petikan daripada kata-kata Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud semasa berucap merasmikan Hari Sastera ke-12 di Kuching pada 2001.

Salah seorang ahli Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Ja’far Haji Hamdan berkata: Sejarah persatuan di Sarawak cukup panjang.

Kata Ja’far, cerita tentang persatuan penulisan penuh dengan segala makna emosi yang terlalu sukar untuk diungkapkan secara terperinci atau mahu disembunyikan dalam lipatan sejarah.

“Batas waktu yang telah dilalui seakan memberi tanda bahawa setiap yang berlaku itu, memungkinkan bertunasnya kematangan untuk memahami setiap erti suka dan duka berpersatuan.

“Namun untuk kecenderungan bagi membina semula yang roboh atau membangunkan semula yang rebah di Bumi Kenyalang.

“Khususnya berpersatuan tidak pernah padam dalam jiwa dan tidak pernah mengenal erti kalah dalam semangat perjuagan karyawan Sarawak,” kata “Ja’far.

Menurut Ja’far transformasi dalam pengertian yang khusus adalah melakukan perubahan bentuk, sifat, rupa mahupun keadaan.

Beliau seterusnya berkata seperti ini: Perubahan yang sama sekali memberi pengertian baru yang lebih memaknakan keperluan berpersatuan, sekalipun bukan penyempurnaan yang mutlak.

Harapan dan hasrat ini tentu sahaja berpihak kepada prinsip untuk memberi ruang dan peluang yang lebih sesuai dengan keadaan atau boleh dimanfaatkan dengan lebih menyeluruh agar karyawan yang berada dalam lingkungan berpersatuan merasai nikmat keakraban berpersatuan.

Dalam konteks perbincangan ini, tranformasi berpersatuan bermaksud perubahan keadaan berpesatuan daripada yang biasa dilakukan menjadi keadaan yang luar biasa untuk dimanfaatkan.

Hakikat ini secara lahiriahnya dianggap sesuatu yang mengada-ada atau dianggap angan-angan yang tidak ada realitinya.

Tetapi sebagai satu landasan pemikiran yang dicirikan dengan kehendak dan tuntutan yang sentiasa mendesak, transformasi berpersatuan ini wajar dilihat dari sisi yang lain, yang lebih relevan dengan perubahan yang lebih intim dengan keperluan dan yang lebih sinonim dengan perjuangan.

“Ini bukan bermakna selama ini, sesuatu yang telah berlaku itu dianggap satu kegagalan, kerana hal-hal yang telah berlalu menjadi titik mula pengeritan untuk generasi kini mengorak perjalanannya.

“Secara umumnya, sejarah berpersatuan di negeri ini telah mengemukakan satu episod yang wajar dihayati dan difahami untuk dijadikan mekanisme yang menyediakan jawapan kepada persolan yang mungkin akan timbul kembali nanti.

“Sudah tentu hasrat dan harapan ini berdasarkan situasi yang sudah dilalui oleh sejarah, yang sedang dialami ketika ini dan yang akan dihadapi pada masa hadapan,” katanya.

Namun untuk mendapat penilian yang lebih rinci melalui pandangan peribadi ini kata Ja’ afar, maka penelitian umum tentang berpesatuan ini ditekuni melalui analisis SWOT (Strengh, Weaknesses, Opportunities, Threats) iaitu untuk melihat kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran dalam menggembeleng usaha-usaha yang mewajarkan satu transformasi berpersatuan dilaksanakan di negeri ini.

1. Kekuatan

Melakukan tranformasi berpersatuan, sewajarnya dilihat dari segi kekuatan yang ada dalam diri karyawan negeri Sarawak. Sebab karyawanlah yang membina dan berada dalam persatuan itu sendiri. Merekalah yang harus bertanggungjawab secara sedar bagi menetukan hidup mati persatunnya.

Penentuan itu dicirikan oleh keupayaan membina kesatuan visi dan misi berpersatuan, kesanggupan mempergiat dan memperkasa setiap acara atau kegiatan serta kecenderungan menganjak perubahan demi perubahan dalam keperluan karyawan dari semasa ke semasa selaras dengan prinsip kekuatan tradisi bangsa, agar rempuhan terhadap pemodenan serta pembangunan daripada pelbagai sudut harus ditangani melalui kejituan mengemukakan pemikiran dalam nilai pengkaryaan.

2. Kelemahan

Kelemahan paling utama dalam berpersatuan ialah keupayaan memperkasakan persatuan sebagai satu ruang atau medan yang mampu merubah ciri-ciri kepengarangan daripada hanya berkarya kepada tuntutan tanggungjawab untuk melakukan penyebaran pemikiran secara lebih bermakna.

Dalam konteks berpersatuan, unsur-unsur keseimbangan yang didominasi oleh ‘orang lama’ dan ‘orang baru’ amat wajar diberi perhatian. Unsur pemisahan antara dua satu ini sewajarnya dijadikan satu perkaitan atau jalinan yang mengukuhkan, bukan menjarakkan makna perjuangan berpersatuan.

3. Peluang

Dalam berpersatuan, terlalu banyak peluang yang disediakan oleh pelbagai pihak sama ada oleh agensi kerajaan, media mahupun swasta. Justeru berpersatuan harus melihat bahawa jalinan kerjasama dan pemupukan sinergi yang kukuh hendaklah berlandaskan prinsip untuk menjadikan masyarakat terbina dalam ruang lingkup yang berdaya saing daripada segi kekuatan pemikiran, keutuhan sahsiah keperibadian dan kematangan menentukan yang betul dan salah. Ini tentu sekali merupakan tanggungjawab karyawan untuk menyediakan bahan karya ke arah tersebut.

4. Cabaran

Cabaran paling besar dalam berpersatuan adalah membentuk nilai kesatuan yang unggul dengan misi yang berpaksikan nilai sebagai hamba Kepada-Nya.

Sebagai pengarang atau penulis, secara tidak langsung telah ‘mencipta’ sebuah dunia yang dicatur oleh penulis atau pengarang dengan menentukan setiap watak, mengatur sebab akibat, menggubah kejiwaan dengan pengisahan dan sebagainya bagi menekuninya agar menjadi sebuah karya.

Maka, cabaran paling besar yang dihadapi oleh pengarang dalam arus pemodenan kini adalah memenuhi kehendak pasaran yang mahukan elemen hiburan, sensasi dan populariti sebagai pencernaan dalam pengkaryaan.

Justeru, berpersatuan juga terdorong untuk berada dalam tarikan komersial itu bagi menentukan kelangsungannya sebagai sebuah perkumpulan yang terdiri daripada karyawan yang juga mahukan sensasi dan populariti.

Berpersatuan wajar dijadikan tempat untuk memikirkan kaedah ataupun pendekatan yang membolehkan pengkaryaan bergerak selaras dengan kehendak pasaran tetapi berlandaskan akar tradisi yang murni dan asli.

Akhir kata Ja‘far, tentu sahaja akan berlaku pertelagahan pandangan dan pendapat khususnya antara pendukung sastera dengan pengikut popular.

Posted in: Budaya, Sarawak, Sastera