Kenangan SK St Patrick, Mukah

Posted on April 16, 2012

1


SK St Patrick_pintu gerbang

Pada 1 hingga 9 Ogos 1995, saya bertugas sebagai guru sambilan (tidak terlatih) dengan elaun harian RM17.40 di SK (dulu SMB) St Patrick, Mukah.

Ia adalah kali pertama dan terakhir dalam sejarah hidup saya setakat ini menerima upah daripada kerajaan.

Terus terang saya katakan apabila dipanggil cikgu, perasaan saya ‘berbunga’ sedangkan sekadar menggantikan seorang guru yang berkursus selama sembilan hari.

Walaupun tempoh itu singkat, namun ia memberi satu makna besar kepada diri saya terutama dalam bidang pelajaran dan pembelajaran.

Satu perkara yang saya tidak dapat lupakan semasa di sekolah itu ialah bagaimana pada hari pertama saya dengan tidak sengaja telah memalukan seorang murid yang buta huruf di hadapan rakan sekelas.

Sebelum insiden itu, saya telah meminta sesiapa murid yang ingin membaca agar mengangkat tangan.

Sebahagian besar daripada mereka telah berbuat demikian.

Segelintir kecil hanya membatu.

Barangkali anda sudah menjangka apa tindakan saya.

Ya, saya telah memilih salah seorang daripada mereka yang duduk diam untuk membaca.

Tidak sempat saya menyuruh budak lelaki itu bangun, beberapa murid lain dengan nyaring dan hampir serentak memberitahu: “Dia tidak pandai baca, cikgu.”

Entah mengapa tiba-tiba naik angin (saya bukan marah terhadap kata-kata mereka, tetapi saya berasa bersalah dan sebak membuat budak pendiam itu bertambah malu dek disasarkan).

Pada hal sememang sudah diketahui dia tidak pandai membaca.

Lantas saya lalu bersuara dengan tegas “Hey, yang lain tolong diam, OK!” sambil menghampiri budak tadi.

Bayangkan itulah kali pertama saya masuk kelas.

Secara spontan itu sahaja terbaik saya dapat lakukan untuk meredakan situasi, sambil berfikir bagaimana cara supaya si mangsa terjerat dalam umpan tersebut tidak terlalu menanggung aib.

Masa itu saya sudah tahu dia memang tidak yakin untuk membaca di khalayak.

Tetapi di situlah timbul empati.

Melihat budak itu terus tunduk, saya terus mengarahkan budak-budak lain supaya diam dan mendengarnya membaca.

“OK, (masa itu saya ada sebut namanya) kamu tidak perlu berasa takut, biar cikgu bantu…kamu sebut apa yang kamu tahu (sebab saya yakin dia pasti tahu sekurang-kurang dapat menyebut suku kata).”

Dengan perlahan budak itu membaca mengikut suku kata dan akhirnya membentuk satu ayat dengan jayanya.

Kemudian saya meminta sesiapa lagi yang kurang tahu membaca untuk mengangkat tangan.

Tanpa menunggu lama dua orang menangkat tangan termasuk seorang murid perempuan yang kelihatan comot wajah dan bajunya.

Kali ini saya tidak lagi menyuruh membaca sebaliknya saya suntikkan semangat.

“OK, kamu bertiga tingkatkan kebolehan membaca.

“Cikgu yakin suatu hari kamu akan dapat membaca kalau berusaha. Murid-murid lain yang pandai membaca tolong ajar mereka.”

Cuma satu yang saya lupa sepatutnya saya meminta sekelas bertepuk tangan agar murid tadi tahu selepas sesuatu kerjaya ganjarannya ialah pujian daripada orang lain dan kebanggaan pada diri.

Sebab dua hal itu yang tidak dapat dipegang. Itu adalah suatu bentuk motivasi milik peribadi sebagaimana anda mendapat sorakan dan tepukan ketika menerima hadiah selepas mendapat tempat pertama dalam acara sukan atau akademik.

Dan melalui kisah lampau ini, tidak penting untuk saya mengetahui siapa tidak dapat membaca.

Namun pengajaran paling berharga bagi saya daripada insiden dalam kelas 17 tahun dulu itu ialah betapa sifat empati adalah suatu ‘kuasa’ yang dapat membuka hati orang khususnya kepada mereka yang rasa rendah diri kerana kelemahan kendiri dan mungkin latar belakang keluarga serba kekurangan.

Secalit nostalgia itu tidak akan terkubur sekali pun sekolah SK St Patrick itu tidak kelihatan tidak lama lagi apabila ia dirobohkan untuk tujuan pembinaan jalan raya ke tapak Pesta Kaul, Kala Dana, Jun nanti.

SK St Patrick mungkin juga akan menimbulkan pelbagai kenangan di kalangan bekas-bekas penuntut di sana.

Teka-teki timbul sekarang, sama ada kelak Kerajaan akan terus mengekalkan nama SK St Patrick di tapak baru kira-kira 1 kilometer dari sekolah itu?

Jika kekal saya dan mereka tumpang gembira.

Begitu juga kalau sebalik berlaku.

SK St Patrick merupakan sekolah Mission pertama di Mukah pada tahun 1903 dimulakan oleh Rev Father Mulder.

Menurut sejarah, Mission itu bermula pada tahun 1905 oleh dua orang paderi iaitu Rev Father Aloysius Stotter dan Rev Webar.

Pada tahun 1910, Brother Simon dan dibantu oleh Mr Joseph Boo (Kampung Tellian) berusaha mendirikan sebuah rumah dan bangunan sekolah bagi menampung pertambahan bilangan murid dari 20 orang kepada 60 hingga 70 orang.

Sehingga tahun 1916, sekolah tersebut hanya menerima murid lelaki sahaja.

Memandangkan perlunya sekolah untuk menerima murid perempuan juga, maka Mrs Ben Boult memulakan sekolah Convent yang pertama di Mukah.

Malangnya, Perang Dunia Ke-2 telah memusnahkan usaha Mission di Mukah.

Pada tahun 1953, nama asal sekolah tersebut – Sacred Heart, Mukah – ditukar dengan nama baru, iaitu St Patrick, Mukah.

Ini adalah untuk menempatkan sekolah rendah dan menengah yang dijaga oleh seorang ketua (Father).

Pada 1 April 1970, bermulalah sekolah dipisahkan iaitu SK St Patrick Mukah dan SMK St Patrick, di bawah jagaan Guru Besar dan Pengetua masing-masing.

Berikut ialah nama-nama pihak pentadbiran dan Guru Besar bagi sekolah SMB St Patrick mulai 1 April 1970. Mr Paul Boyer (mendiang), Mr Anselm Assai Sidin, Mr Henry Lee Liong Ing dan Mr Dominic Aseng.

Pada 1 Jun 2002, sebahagian daripada guru-guru dan murid-murid SK St Patrick, Mukah telah dipindahkan ke SK Mukah untuk membolehkan sekolah tersebut beroperasi mengikut jadual.

SK St Patrick, Mukah tinggal hanya enam kelas pada tahun 2001, iaitu dari Tahun 1 hingga Tahun 6.

Pada tahun 2003, kelas semakin bertambah daripada 8 kelas pada tahun berkenaan kepada 11 kelas pada tahun 2004.

Enrolmen murid bertambah seramai 308 pada awal tahun 2004.

Pada tahun 2005, kelas telah bertambah seperti sediakala iaitu sebanyak 12 kelas.

Enrolmen murid juga bertambah iaitu seramai 322 orang.

Dari segi pencapaian cemerlang SK St Patrick memenangi Johan Anugerah Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri Kategori Sekolah Luar Bandar pada tahun 1995.

Selain itu, ia juga mendapat Johan Pertandingan 3k Peringkat Negeri Sarawak (2000) dan Johan Peringkat Negeri Pertandingan Buku Skrap (2001).

Kali terakhir saya memasuki ruangan SK St Patrick ialah pada 21 Mac 2012.

Harapan saya ialah moga-moga nama SK St Patrick bukan sahaja terus mekar dalam ingatan masyarakat di Mukah khususnya dan Sarawak amnya; jauh di sudut hati saya berdoa agar nama itu dikekalkan bagi sekolah baru yang menggantikan tapak itu nanti.

Posted in: Pembangunan, Sarawak