Modus operandi ragut emas ‘secara baik’

Posted on April 20, 2012

0


Setiap langkahnya diperhati oleh sekumpulan tidak dikenali sejak dari tadi.

Dia ialah seorang warga emas berusia 70-an, kini menjadi sasaran kumpulan penjenayah itu.

Mereka terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki sedang dalam melaksanakan rancangan mereka untuk meragut segala emas di badan orang tua itu.

Namun cara mereka meragut bukan seperti yang kita pernah baca dalam berita akhbar, dengar dalam radio dan televisyen, atau lihat sendiri berlaku depan mata sebelum ini.

Sebaliknya, modus operandi empat durjana itu licik sehingga boleh meyakinkan mangsa, dan orang ramai di sekeliling pun tidak menyedari akan kegiatan jahat mereka.

Mereka bagaikan orang baik, berpakaian kemas dan bersopan santun; pada mula memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Jabatan Kebajikan.

Itulah yang dikatakan oleh mangsa ketika menceritakan insiden yang berlaku ke atasnya baru-baru lalu.

Katanya, dia tiba-tiba dihampiri oleh seorang wanita tidak dikenalinya tatkala dia sedang berjalan di pasar untuk membeli ikan.

Di kawasan pasar basah inilah mangsa dihampiri seorang wanita tidak dikenali

“Dengan sopan, perempuan berusia 40-an itu bertanya khabar lalu memperkenalkan diri bahawa dia dari Jabatan Kebajikan.

“Menurut perempuan itu, dia ingin membawanya ke pejabat untuk menerima sejumlah sumbangan.

Dalam keadaan ragu, warga emas tadi pun percayalah dengan kata-kata ‘pegawai’ tadi, memandangkan butiran kata-kata yang sopan lagi meyakinkan.

Tetapi apabila berada di dalam van dinaiki bersama geng tadi, dia sudah merasakan sesuatu yang pelik lagi mencurigakan.

“Mereka pergi keluar dari kawasan bandar, dengan alasan untuk membawa beberapa lagi ‘orang’ di Balingian untuk dibawa ke Pejabat Kebajikan.

“Pada masa sama meminta saya mengeluarkan gelang emas, rantai emas dan anting-anting emas yang saya pakai.

“Dengan alasan agar tampak orang susah dan layak untuk menerima sumbangan kebajikan ketika dalam proses temubual oleh ‘pegawai’ berkenaan di pejabat nanti.”

Menurut nenek malang itu, dia sebenarnya dalam ketakutan yang amat sangat, sekalipun penjahat itu tidak menggunakan kekerasan.

Namun oleh kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, dia pun akur menyerahkan segala barangan perhiasan di badannya.

“Saya sudah tahu ini adalah suatu yang tidak betul berlaku. Tapi saya sangat takut untuk berbuat apa-apa,

“Apatah lagi saya duduk di antara seorang wanita dan lelaki tidak dikenali sebelah menyebelah. Di hadapan dua lelaki termasuk seorang pemandu,” jelasnya.

Nenek malang dari Kampung Tellian Ulu itu kemudian menjelaskan, selepas tiba di simpang dia pun diturunkan dan ditinggalkan begitu sahaja di tepi jalan dalam keadaan terpinga-pinga.

Demikianlah insiden yang pernah berlaku ke atas beberapa orang tua, menjadi mangsa penipuan yang berleluasa suatu ketika dahulu di daerah Mukah yang kini sedang pesat berkembang sebagai pusat bandar baru.

Bagaimanapun, sindiket penipuan membabitkan penduduk di sini kini terkawal, kata Mohamad Morshidi Bin Mustapha, Timbalan Ketua Cawangan Khas II Sarawak.

Katanya, PDRM di daerah ini telah melakukan kerja dengan baik menangai kegiatan terebut sebelum ia merebak secara berleluasan.

Kes penipuan akan disisat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan pihak Cwangan Khas akan membantu dari segi sokongan.

“Kes sebengini akan diserah kepada Ketua Polis Daerah. Setakat ini Ketua Polis Daerah telah melakukan dengan baik dan keadaan adalah terkawal,” jelas beliau, ketika Majlis Penutupan Kursus Masyarakat Berpembelajaran/Pembangunan Modal Insan Siri 2/2012, Cawangan Khas Sarawak dengan Kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial di Dewan Utama Kem Belia Mukah, baru-baru ini.

Mohamad Morshidi Bin Mustapha (kanan), bersalaman dengan para peserta kursus Cawangan Khas

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung beberapa siri kes penipuan membabitkan mangsa di kalangan warga emas yang ditipu oleh pihak tidak dikenali.

Dalam keramaian menjelang Pesta Kaul 2012, bandar Mukah dan tapak pesta iaitu Kala Dana khasnya, akan kembali menjadi tumpuan ramai dari segenap masyarakat dari jauh dan dekat.

Adakah ada lagi penyangak-penyangak merancang menyamar sebagai orang baik untuk meragut emas mangsa secara diam-diam semata-mata untuk mendapatkan baranngan berharga itu? Awas…

Posted in: Sarawak