Kaul Mukah: Antara Ritual dan Komersial

Posted on April 20, 2012

0


Kaul Mukah_2

Majlis perasmian Kaul Mukah 2012, dijadual dirasmikan oleh Ketua Menteri YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 21 April ini, dijangka lebih meriah daripada kaul sebelumnya.

Berbeza dengan dahulu, pesta yang bakal dianjurkan minggu ini bakal membabitkan dua program rasmi, iaitu perasmian dan penutupan, yang dijadual dilakukan oleh Yang Dipertua Negeri seminggu kemudian.

Beberapa hari sebelum pesta bermula, bahang pesta mula dirasai dengan menyaksikan pihak terbabit bertungkus lumus membuat persiapan terakhir untuk memastikan segala aktiviti disusun atur berjalan lancar.

 

Selain kerja gotong-royong membabitkan para penduduk membersihkan pantai berdekatan pesta iaitu Kala Dana, ada pihak lain turut bekerja keras membuat persiapan masing-masing.

Antara kegiatan menarik perhatian ramai berlangsung dari 20 hingga 29 April ialah Pertandingan Menggubah Serahang, Upacara Ritual Kaul Mukah, Perakaran Serahang, Perarakan Seni Warisan Budaya, Pertandingan Lagu Klasik dan Senam Seni 1Malaysia.

Tidak kurang menarik ialah Pertandingan Memancing, Pertandingan Mewarna dan Fesyen, Mr&Ms. Jerd, Pertandingan Lagu Klasik, Persembahan Kebudayaan, Kaul Photo Hunter, Perahu Tambang Berhias, Pertandingan Menjala Ikan, Pertandingan Isak A Melanau serta Helicopter Ride.

Setiap tahun, paling menarik untuk disaksikan ialah kehadiran Gerai Komuniti, Gerai Pameran dan Jualan,

Misalnya, Gerai Komuniti Kampung Tutus Ulu, rekaannya begitu unik terutamanya di bahagian siling menggabungkan atap rumbia dan ‘babat’(sejenis anyaman daripada kulit dahan rumbia).

Dari celah-celah mata ‘babat’ itulah udara dari laut masuk ke ruang dalam gerai, keadaan di dalamnya agak sejuk berbanding udara terik di luar.

Gubahan bahan mentah lain berasaskan rumbia menambah lagi keunikan gerai tersebut.

Bayangkan apa perasaan anda apabila memasuki sebuah gerai yang seni dan bahan mentah binaannya berasaskan sumber rumbia?

Pasti teruja terutama kalau anda adalah orang dari luar Mukah dan pertama kali menjejak kaki ke tempat dengan siling sebegitu rupa.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga dan JKKK Tutus Ulu, Encik Laily bin Rosli berkata, gerai tersebut adalah hasil usaha sama secara gotong-royong para penduduk kampung terbabit.

“Mereka telah bertungkus-lumus menyiapkan kerja seperti menganyam ‘babat’, ‘kelisep’ dan membuat atap sejak tiga minggu lalu,” katanya.

Katanya, kos mendirikan gerai tersebut menelan belanja lebih RM2,000, termasuk menggunakan RM700 diberi oleh kerajaan khusus untuk tujuan mendirikan gerai tersebut.

“Sebahagian lagi kita menggunakan geran peruntukan daripada KRT iaitu sebanyak RM500, geran JKKK RM500. Selebihnya disumbang oleh syarikat swasta,” jelas Laily.

Sejak diperkenalkan, pertandingan kategori Gerai Komuniti antara kampung setempat dalam Pesta Kaul beberapa tahun lalu, Gerai Komuniti Kampung Tutus Ulu yang turut mempamer pelbagai barangan kraftangan dan barangan antik, meraih tempat pertama dan kedua. Bagaimana tahun ini?

Selain keunikan siling dan dinding diperbuat daripada ‘babat’, gerai berkenaan turut mempamerkan pelbagai barangan kraftangan berkaitan dengan kerja memproses sagu, jala menangkap udang serta kuih dan biskut tradisional.

Di sebalik aktiviti dan rupa bentuk Kaul zaman sekarang, Kaul bukan saja pernah menjadi isu kerana cenderung kepada usaha komersial oleh sebilangan golongan lama.

Bahkan golongan yang lahir pada zaman moden, belum ramai mengenali pergeritan kaul secara mendalam sehingga tercetus soalan “Apa Itu Kaul Sebenarnya, boleh jelaskan…”?.

Hal ini jelas memang ada di antara mereka tidak begitu jelas dengan pengertian kaul dan ingin penjelasan daripada rakan lain dalam kumpulan lawan tersebut.

Kita tidak menyalahkan mereka, kerana generasi baru terutama yang masih muda tidak akan mengambil peduli seandainya ibu bapa atau nenek dan datuk mereka tidak bercerita mengenainya—suatu sambutan yang penuh mistik pada asalnya.

Namun pada masa sekarang maklumat di hujung jari…pendek kata Google sahaja dah dapat informasi. Tetapi ia tidak cukup kerana dengan cara itu mereka mungkin hanya mengenali Kaul secara luaran sahaja.

Tidak hairanlah bagi mereka Kaul tidak lebih daripada pesta untuk beriadah bersama rakan, ahli keluarga dan bertemu sanak-saudara yang jarang bertemu pada luar musim perayaan kegaamaan.