Budaya produk pelancongan Mukah

Posted on April 27, 2012

1


Kaul_Mukah_2012

Memetik kata YB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semasa menjadi Menteri Pelancongan Sarawak suatu ketika dahulu, sememangnya bentuk tarikan pelancongan yang hendak Kerajaan wujudkan di Mukah adalah berbentuk budaya.

“Namun saya tidak menolak bahawa usaha yang dilakukan ini akan dapat melonjakkan budaya masyarakat Melanau ini ke peringkat antarabangsa.

“Sekaligus ia menjadi penyuntik semangat kepada warga Melanau ini untuk terus mengamal dan membudayakan tradisi ini. Biarpun ia hadir hanya sebagai produk pelancongan,” katanya, berhubung kesan Kaul dari segi sosio-budaya penduduk tempatan khususnya etnik Melanau.

Johari menyifatkan perpaduan adalah inti utama program seumpamanya. Dan hakikat ini semenangnya telah wujud sejak sekian lama di Mukah, dahulunya daerah kecil nelayan.

Bahkan aktiviti seperti itu akan menjadi tarikan kepada pelancong asing selain dari Semenanjung dan Brunei Darussalam setiap kali bulan April menjelma.

Temuramah dengan Menteri Pelancongan Sarawak

Kaul sememangnya sudah terkenal dan sinonim dengan suku kaum Melanau yang terdiri daripada golongan Islam, Kristian dan Pagan.

Namun, belum ada lagi produk yang cukup menonjol selain budaya sehinggalah sukan memancing diperkenalkan beberapa tahun lalu semasa Abang Johari memegang portfolio Menteri Pelancongan.

Walaupun ramai peminat termasuk di kalangan penduduk tempatan meminati sukan memancing, tetapi ia belum cukup menandingi program kebudayaan yang terhasil daripada pelbagai himpunan warisan seperti kraftangan, tarian, mainan, hiburan dan sastera.

Kebanyakan orang datang ingin menyaksikan upacara Kaul kerana kebudayaannya yang unik, tidak terdapat di tempat lain di negeri ini.

Tidak hairanlah banyak pusat penginapan didirikan termasuk yang bertaraf satu bintang, bagi memenuhi permintaan pengunjung ke Pesta Kaul yang semakin meningkat saban tahun.

Suasana di tapak Pesta Kaul 2012

Umpamanya Kingwood Resort terletak kira-kira 15 kilomter dari pusat bandar dan Kingwood Hotel di tengah pusat bandar Mukah, dengan harapan menampung permintaan tinggi pengunjung ke daerah itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Setakat ini jumlah hotel dan Inn tidak mencukupi terutama pada musim Pesta Kaul, sehinggakan ramai di kalangan pemilik rumah persendirian merebut peluang itu untuk menawarkan bilik sewa.

Sebagai contoh, motel di premis Pukok Garden, yang terletak di jantung bandar Mukah menawarkan bilik dengan kadar sewa antara RM40 hingga RM65 untuk penginapan satu malam.

Kewujudan motel tersebut di simpang-siur Jalan Orangkaya Setiaraja tidak mendapat publisiti meluas kerana ia sebenarnya hanya untuk ahli kepada satu produk kesihatan yang ingin menginap di sana.

Memandangkan kebanyakan bilik hotel sudah habis ditempah, motel tersebut membuka tempahan awal dari sanak-saudara dan rakan taulan pemilik sendiri dari Brunei tiga bulan sebelum ia beroperasi secara rasmi pada 8 April lalu.

Terendak sering kelihatan dipakai di sekitar Pesta Kaul 2012

Bayangkan motel yang tiada penghawa dingin (kipas siling sahaja) kerana pengusaha menitikberatkan kempen hijau, nampaknya bukan lagi menjadi soal, asalkan ada daripada tiada.

Seorang penghuni warga Brunei memberitahu saya, dia sudah lapan tahun berturut-turut menyaksikan Pesta Kaul, malah pernah menyertai sendiri sebahagian daripada aktiviti yang disusun atur semasa Pesta Kaul.

“Saya sangat tertarik dengan kebudayan masyarakat Melanau yang unik. Satu perkara lagi mereka bersatu padu dalam menjayakan upacara sebesar ini tanpa mengira latar belakang agama. Mereka sentiasa mesra dan menghormati pengunjung luar,” ujarnya.

Pada 28 April, Tapak Kaul iaitu Kala Dana sekali lagi akan menerima kunjungan ramai apabila acara penutupan dijadual disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri pada sebelah pagi.

Berbalik kepada perkara disentuh oleh Johari tadi, saya secara peribadi bersetuju memang tidak banyak yang dapat ditonjolkan bagi produk pelancongan di Mukah melainkan kebudayaan warisan Melanau itu sendiri.

Perkhidmatan refleksologi turut disediakan di tapak Pesta Kaul 2012

Sekalipun kedudukan Mukah berada di tepi pantai dengan suasana indah, tetapi pantai yang tidak begitu bersih ditambah air laut yang cetek lagi berkelodak, maka ia tidak sesuai untuk diperkatakan sebagai produk pelancongan.

Oleh itu saya berani memperkatakan salah satu daya tarikan dalam cabang warisan Melanau iaitu Pantun Melayu Sarawak, yang sangat terkenal di bahagian ini.

Sebelum itu, pembaca jangan salah faham, sekali pun disebut sebagai ‘Pantun Melayu’ ia tidak semestinya membabitkan golongan Melayu sahaja.

Dalam pengertian yang diterima pakai di Bumi Kenyalang, terdapat tiga unsur dalam Pantun Melayu Sarawak yakni bergendang, bertandak dan bermukun.

Ketiga-tiga aktiviti itu saling bergantung dan seandai satu tiada maka pincanglah ia bagai lagu tanpa irama.

Populariti Pesta Kaul membuka peluang untuk peniaga kecil-kecilan tempatan

Pantun Melayu Sarawak sebenarnya telah dibudayakan dalam warisan golongan Bumiputera di negeri ini sejak turun-temurun terutama Melayu, Melanau dan Iban.

Encik Rosli Mat iaitu pakar dalam perkembangan Pantun Melayu Sarawak berpendapat Pantun Melayu Sarawak tiada kaitan dengan agama, dan ia telah bertapak di sini lebih awal dari agama Islam mahupun Kristian.

“Cuba anda dengar dalam rancangan radio tempatan, bermukun (acara berbalas pantun) bersiaran mengikut bahasa masing-masing.

“Dengan kata lain Pantun Melayu Sarawak adalah untuk semua bangsa, malah kalau orang bukan Bumiputera berminat pun, mereka boleh turut serta.”

Kata Rosli, seorang pesara dari PDRM, kalau mengikut tradisi peserta seboleh-boleh menggunakan pakaian lengkap dengan pakaian Melayu termasuk songkok ketika bermukun dan bertandak.

“Agar nampak lebih kemas, Pantun Melayu Sarawak apabila sampai ke peringkat pertandingan pakaian yang lengkap itu adalah suatu bonus kerana ia diambil kira oleh hakim,” ujar beliau yang mengaku mewarisi bakat berpantun dan bertandak daripada orang tuanya.

Kata Rosli lagi, belajar pantun dan bertandak, tidak semudah difikirkan sesetengah pihak kerana beliau mempelajarinya dengan tekun sejak zaman remaja lagi, sehinggakan terdapat pantunnya telah dibukukan oleh seorang pensyarah.

Sejak diwartakan dalam kalender tahunan Sarawak, Kaul Mukah semakin dikenali ramai seperti mana Festival Muzik Hutan Tropika, dengan masing-masing ada peminat tersendiri.

Kita percaya Pantun Melayu Sarawak jika ditonjolkan lagi sebagai salah satu unsur daya tarikan setiap kali Lembaga Pelancongan Sarawak mempromosikan Kaul Mukah di peringkat antarabangsa, ia mampu menarik lebih ramai pelancong asing ke pesta Kaul dan Mukah.