Kisah penjaja dan Pesta Kaul Mukah

Posted on April 30, 2012

0


EkspoKaul2012_

Perniagaan secara kecil-kecilan di bawah kanopi memang sudah sinonim dengan jualan murah pelbagai jenis barangan yang boleh ditawar dengan harga lebih rendah daripada pihak penjaja.

Antara barangan yang paling popular ialah produk kesihatan (makanan tambahan), pakaian dan kecantikan. Lazimnya, pembeli paling banyak produk terbabit ialah golongan wanita.

Namun, timbulnya perasaan ‘menang membeli dan menang memakai’ terhadap individu terbabit banyak bergantung kepada kebijaksanaannya dan budi bicara si penjual terbabit ketika berurus niaga.

Jika seseorang itu bijak melakukan penawaran, maka diskaun boleh mencecah sehingga potongan harga sebanyak 50 peratus.

Pakaian Batik Kelantan adalah antara barangan yang paling menarik para pengunjung wanita ke Ekspo Kaul; pakaian tersebut ditawarkan diskaun 50 peratus pada hari-hari terakhir Pesta Kaul

Atas faktor itulah, kunjungan orang ramai ke tapak sesuatu pesta keramaian sentiasa menggalakkan apatah lagi kalau ia hanya diadakan setahun sekali, termasuklah pada musim Ramadhan.

Bagi sesetengah orang yang bijak merebut peluang, jualan di tempat sedemikian adalah kesempatan terbaik untuk menawar harga barangan yang diidam terutama pakaian jeans, kemeja-T dan kain batik dari Semenanjung Malaysia yang tidak dijual pada hari biasa lain.

Lihat sahaja sikap pengunjung ke gerai-gerai di bawah kanopi semasa Pesta Kaul Mukah, Pesta Benak dan Pesta Layang-layang Bintulu (sekadar menyebut beberapa contoh) yang diadakan setiap tahun.

Walaupun sebilangan besar pengunjung ke pesta sekadar untuk bersiar-siar dan hanya ‘window shopping’, tidak kurang juga memang pembeli tulen dan datang ingin mendapatkan barangan berkenaan khususnya batik Kelantan.

Melihat dari sudut pihak penjaja pula, mereka sudah tentu ingin mengaut keuntungan sebanyak mungkin sepanjang berjual di tapak disediakan. Malangnya tidak semua pesta disertai menjanjikan pulangan seperti disasarkan.

Secara umumnya, kuasa beli di kalangan pengguna dipengaruhi masa, tempat dan sikap pembeli di sesuatu tempat.

Demonstrasi produk amat penting bagi menarik pembeli

Sehubungan ini, saya dengan rasa rendah hati ingin berkongsi sedikit maklum balas daripada para peniaga di tapak disediakan oleh pihak berwajip semasa Pesta Kaul 2012 yang baru sahaja selesai semalam.

Rata-rata penjual, sama ada mereka yang berjual di tapak Kala Dana mahupun di pekan lama Mukah dari 20 hingga 29 April lalu, menyatakan jualan mereka adalah ‘lembab’ berbanding tahun lepas.

Encik Mizan, penjaja pakaian jeans berasal dari Samarahan yang berjual di tapak Pekan Lama Mukah selama 10 hari berkata, perniagaan mereka kali ini tidak mencapai sasaran ditetapkan.

“Kita buat sasaran jualan lebih tinggi kali ini, berdasarkan sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai semasa musim Pesta Kaul 2011. Tetapi sasaran itu gagal dicapai.”

Kata Mizan, bilangan pengunjung yang ramai ke tapak gerai hanya berlaku pada hujung minggu, sementara pada hari lain suasana agak lengang.

Sementara Encik Rooney, seorang usahawan berusia 30-an terlibat dengan jualan beg dan kemeja-T di tapak pekan lama Mukah turut tidak mencapai sasaran jualan seperti mana Kaul tahun lepas.

“Pada Kaul tahun lalu, kita hanya buka selama empat ke lima hari sahaja termasuk hari kemuncak, tapi perolehan adalah lumayan daripada yang kita dapat baru-baru ini,” katanya.

Rooney menyifatkan tempoh lebih seminggu berjual adalah terlalu panjang ditambah pula jumlah kawasan tapak gerai dibuka sudah bertambah sehingga menjejaskan jualan produk mereka.

“Saya berharap Pesta Kaul akan datang, tempoh tersebut dikurangkan seperti mana dahulu,” ujarnya yang turut membuka gerai makan dan minum di sebuah premis di bandar baru Mukah.

Dalam pada itu, menurut penjual kain batik dari Kelantan, Hajah Faridah, mereka sudah mengenal pasti di mana pasaran produk syarikatnya di Sarawak.

“Kami datang ke Sarawak di setiap pesta peringkat kebangsaan termasuklah Pesta Kaul dan Pesta Layang-layang Bintulu dan satu lagi pesta di Sibu…

“Daripada tiga yang kami pernah sertai, jualan di Sibu adalah paling memberansangkan,” katanya sambil memberi komen bahawa jualan semasa Pesta Kaul 2012 tidak begitu menggalakkan berbanding tahun lalu.

Satu lagi perkara tidak kurang penting untuk diberi perhatian ialah pihak berwajip tidak harus mengenakan kadar sewa “tinggi” ke atas penyewa di tapak disediakan.

Hal itu telah dibangkitkan pihak persatuan penjaja menjelang Pesta Kaul lalu di mana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dikritik apabila mengenakan sewa bagi kanopi bersaiz 10×10 kaki persegi sebanyak RM500 untuk tempoh 10 hari.

Namun, PBT terbabit sanggup bertolak-ansur dengan desakan penjaja lantas memberi diskaun 40 peratus. Manakala yang berharga RM1,000 diturunkan kepada RM700.

 

Posted in: Budaya, Ekonomi, Sarawak