Hayati Merdeka melalui karya Keris Mas

Posted on August 30, 2011

0



Detik 12 tengah malam setiap 30 Ogos dinanti-nanti untuk menyambut kedatangan tarikh keramat 31 Ogos di mana Tanah Melayu keluar dari belenggu penjajahan British 54  tahun lalu.

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat akan meraikannya malam ini dengan pelbagai cara sebagai memperingati detik-detik penuh sentimental itu.

Jalur Gemilang dan Bendera Sarawak dikibarkan di kebanyakan rumah di kampung.

Sebelum merdeka iaitu sejak 1511, Tanah Melayu telah dijajah empat kuasa asing iaitu Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun selama 446 tahun.

Kesedaran di kalangan generasi baru terutama yang lahir selepas 31 Ogos 1957 perlu melihat keperitan hidup dilalui nenek-moyang mereka di bawah telunjuk pemerintahan barat khasnya.

Hanya dengan itu mereka dapat mewujudkan kesedaran dalam diri mereka tentang kepentingan sejarah gerakan kemerdekaan tokoh-tokoh pejuang yang kini tinggal nama.

Walaupun perayaan menyabut Hari Kemerdekaan tahun ini akan diadakan pada 16 September sempena Hari Malaysia kelak, namun ia bukan isu.

Generasi sebelum merdeka, Pukok bin Meratim menunjukkan gambar bingkai menerima anugerah perkhidmatan pada 1964.

Apa yang penting esok dan 16 Sept nanti harus dimanfaatkan untuk mengimbas kembali perjuangan terdahulu agar dapat menimbulkan kesan dalam serta memahami erti kemerdekaan negara.

Penduduk pada zaman lama sebelum merdeka, telah mula berjuang menentang bentuk penjajahan Barat yang pertama iaitu Portugis di Melaka pada tahun 1511.

Tidak seperti menjelang tahun-tahun terakhir Tanah Melayu mengecapi kemerdekaan, perjuangan penduduk di kalangan Melayu dahulu kala adalah melibatkan pertumpahan darah.

Dalam konteks Sarawak, Sharif Masahor dan Rentap adalah pejuang terbilang antara tahun 1853 hingga 1860.

Perjuangan Sharif dengan rakan seperjuangan beliau, Datuk Patinggi Abdul Gapur tercetus apabila James Brooke mencerobohi penguasaan Sungai Rajang, tengah Sarawak.

Mereka melakukan serangan ke atas kubu Inggeris di Kanowit (sekarang ini dalam bahagian Sibu) ulu Sungai Rajang, selain merebak ke Kuching.

Sementara Rentap turut sangat dikenali dalam sejarah Bumi Kenyalang yang dikatakan pahlawan Iban memiliki kekebalan menyerang kubu Brooke di Sungai Sekarang.

Salah satu puncanya ialah tidak berpuas hati dengan tindakan Inggeris menghapuskan kegiatan perlanunan dan amalan memburu kepala manusia sejak turun-temurun.

Seorang lagi tokoh pejuang  di negeri ini ialah Banting (1893 hingga 1920-an) yang mengetuai penduduk  Iban di hulu Sungai Batang Lupar menentang askar Brooke.

Mengikut sejarah punca utama penentangan ialah tindakan Inggeris menghapuskan amalan lama penduduk tempatan iaitu adat memburu kepala manusia.

Sebelum adad ke-20  kebanyakan bentuk penentangan terhadap penjajah adalah melibatkan perjuangan pertumpahan darah.

Namun sebahagian masyarakat kita, khususnya generasi baru menikmati pembangunan hasil perjuangan generasi dahulu.

Sebab itu ramai mereka tidak dapat menghayati erti kemerdekataan dalam erti kata sebenar…

Di sesetengah tempat termasuk di Putrajaya dan Kuala Lumpur kedatangan Hari Kemerdekaan dikomersialkan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan seperti aktiviti lumba kereta tanpa henti 24 jam.

Manakala di tempat yang lebih kecil seperti bandaraya Kuching segelintir golongan remaja lebih gemar bermotosikal sambil membawa bendera Sarawak dan Jalur Gemilang secara suka-suka di jalan raya pada malam sambutan.

Begitulah setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menghayati kemerdekaan.

Saya pula lebih suka membaca cerpen tulisan Keris Mas sambil mengimbau detik-detik zaman penjajahan melalui babak tertentu dalam karya cerpen beliau.

Banyak karya Sasterawan Negara itu berkisar dengan perubahan moral individu dan sosial, hak dan ekonomi orang Melayu di Semenajung, nilai kepimpinan dan nilai perpaduan di kalangan penduduk di sana.

Koleksi cerpen terpilih karya Keris Mas banyak berkisar tentang kisah beberapa tahun sebelum merdeka.

Keris Mas sendiri selepas itu terbabit dalam perjuangan politik hingga 1948 apabila Darurat diisytiharkan  pada Oktober 1945 sehingga menyebabkan sebuah parti diharamkan.

Apapun ketika bertugas sebagai wartawan, Keris Mas lebih dekat dengan tanggungjawab sosial beliau di mana pada 1950-an perjuangan ke arah mencapai kemerdekaan turut dilaungkan dalam tulisanya.

Pemerhati berpendapat tempoh tersebut memberi ruang kepada Keris Mas menyampaikan mesej serta aspirasi beliau melalui tulisan umum dan cerpen.

Beliau dengan kepintarannya menyelit semangat kebangsaan yang menebal di kalangan watak utama dan sampingan seperti dalam cerpen ‘Kejadian di dalam Estet’, ‘Pemimpin Kecil dari Kuala Semantan’, ‘Menjelang Merdeka’ dan ‘Merdeka tidak Mengerti’.

Keris Mas dalam karya kreatifnya bukan setakat mampu menghidupkan imaginasi dan memberi kesan psikologi kepada peminat cerpen seperti saya.

Bahkan kesempurnaan dan kematangan bakat itu menunjukkan kesanggupannya mengisi hasil buah fikiran dan pengalamannya menerusi kata, ayat dan pengolahan karangannya.

Posted in: Pembangunan, Sarawak